Skip to main content

MALUMNI satukan alumni UA, perkasa jaringan nasional di UMS

KOTA KINABALU, 18 April 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat dan Bengkel MALUMNI Bil. 2/2026, yang berlangsung dengan jayanya selama dua  hari.

Ia menghimpunkan kepimpinan dan penggerak alumni universiti awam dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh peranan alumni di peringkat nasional.

Program ini dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), selaku Pengerusi MALUMNI, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMPSA merangkap Timbalan Pengerusi MALUMNI, Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UMPSA, Ts. Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin, bersama barisan Pengarah Pusat Alumni universiti awam (UA) dan pasukan masing-masing.

Sepanjang penganjuran program, mesyuarat dan bengkel ini bukan sahaja menjadi medan perbincangan rasmi, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkukuh jaringan kerjasama, menyelaras hala tuju, serta merangka pendekatan baharu dalam memperkasa ekosistem alumni UA. 

Antara fokus utama termasuklah pelaksanaan agenda Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) Alumni Back to Campus, yang dilihat mampu mengaktifkan semula penglibatan alumni serta meningkatkan sumbangan mereka kepada pembangunan universiti dan negara.

Dalam ucapan penghargaan, pihak MALUMNI merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada UMS atas penganjuran yang cemerlang, tersusun dan penuh komitmen tinggi. 

Dedikasi jawatankuasa penganjur dan layanan mesra yang diberikan telah memastikan kelancaran program dan keselesaan semua delegasi yang hadir. 

Pada sebelah malam, delegasi MALUMNI telah diraikan dalam satu majlis makan malam rasmi yang penuh bermakna. 

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor serta barisan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dari universiti-universiti awam. 

Kehadiran kepimpinan tertinggi ini mencerminkan sokongan padu terhadap agenda pemerkasaan alumni negara.

Mesyuarat dan Bengkel MALUMNI Bil. 2/2026 berjaya menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan penggerak alumni universiti awam. 

Usaha kolektif ini diharapkan menjadi pemangkin kepada gerakan alumni yang lebih dinamik, berimpak tinggi serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara.

Malah, program ini turut mengukuhkan komitmen semua pihak untuk terus melangkah ke hadapan sebagai satu pasukan yang lebih kuat, dalam membina legasi alumni yang mampan dan berdaya saing demi masa depan pendidikan tinggi Malaysia.

MALUMNI satukan alumni UA, perkasa jaringan nasional di UMS

Oleh: Ts. Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim