Thavirat pelajar perintis program Ijazah Dual UMPSA-BJTU teruja menjadi Jurutera Sistem (Elektrifikasi) MRL
PEKAN, 14 Februari 2025 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Thavirat Supkhasin a/l Aran, 26 yang merupakan graduan perintis program Ijazah Dual UMPSA Beijing Jiaotong University (BJTU) teruja bagi mulakan kerjayanya sebagai Jurutera Sistem (Elektrifikasi) di Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Dungun, Terengganu mulai 5 Mac depan.
Beliau yang berasal dari Kelantan itu kini memiliki bidang Electrical Engineering in Automation dari BJTU).
Malah, beliau juga bakal bergraduasi bersama graduan lain pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 tahun ini bagi menerima ijazah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa).
Beliau juga berbangga dan tidak percaya apabila berjaya menamatkan pengajian di dua buah universiti ini.
Ujarnya, pengalaman belajar di UMPSA dan BJTU memberikannya peluang untuk mendalami dua sistem pendidikan yang sangat berbeza.
“Di UMPSA, pendekatan lebih berfokus kepada amali dan aplikasi teori dalam konteks Malaysia, sementara di BJTU, saya banyak terdedah kepada teknologi dan penyelidikan yang lebih mendalam, terutamanya dalam bidang railway.
“Saya belajar untuk menyesuaikan diri dengan kedua-dua sistem yang masing-masing mempunyai kekuatannya tersendiri,” katanya yang mengikuti program dua tahun di UMPSA dan dua tahun pengajian di BJTU, China.
Selain itu baginya, perbezaannya adalah terletak pada struktur kurikulum dan pendekatan pengajaran.
“Di UMPSA, lebih banyak projek berkumpulan dan kajian kes yang melibatkan industri tempatan, sementara di BJTU, lebih kepada pengajaran teori dan penyelidikan mendalam.
“Di China, tumpuan lebih kepada pencapaian akademik dan ujian, manakala di Malaysia, terdapat lebih banyak elemen praktikal dan interaksi dengan industry,” ujarnya.
Ditanya mengenai cabaran utama semasa menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan di BJTU, menurutnya, cabaran terbesar adalah menyesuaikan diri dengan budaya pembelajaran yang lebih formal dan ujian yang sering memberi tekanan.
“Selain itu, faktor bahasa juga menjadi cabaran, walaupun kebanyakan subjek diajar dalam bahasa Inggeris, saya perlu berusaha lebih untuk memahami konteks budaya yang mempengaruhi cara pengajaran dan komunikasi.
“Program Ijazah Dual UMPSA sangat istimewa kerana memberi peluang buatnya memperoleh pengetahuan dan pengalaman dari dua universiti yang terkenal.
“Program ini memberikan saya kelebihan kerana bukan sahaja mendapat ijazah dari dua buah universiti terkemuka, tetapi juga mempunyai pengalaman antarabangsa yang sangat dihargai oleh majikan,” katanya.
Tambahnya lagi, ia memberikan beliau kelayakan dan kemahiran yang lebih berdaya saing, terutamanya dalam bidang Teknikal dan Kejuruteraan.
“Selain itu juga, saya dapat memperluas jaringan di kedua-dua buah negara dan memberi kredibiliti tambahan apabila memohon pekerjaan di pasaran global.
“Ijazah dari UMPSA dan BJTU memberi pengiktirafan daripada dua universiti yang kuat dalam bidang Kejuruteraan yang membuka peluang kerjaya lebih luas.
“Malahan, manfaat terbesar adalah kemampuan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan dalam persekitaran yang pelbagai budaya,” jelasnya.
Kemahiran belajar bahasa Mandarin bukan sahaja membantunya di China tetapi juga memberi kelebihan dalam dunia pekerjaan, terutamanya apabila berurusan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan China.
Beliau berharap para pelajar lain tidak melepaskan peluang untuk memohon dan mengikuti program ini agar lebih ramai pelajar memilih program ijazah dual UMPSA.
Ujar beliau lagi, bagi pelajar yang berminat untuk mengikuti program ini, haruslah berani menampilkan diri dan bersedia melangkah ke atas pentas antarabangsa.
“Banyak pengalaman manis dan susah senang ketika menuntut di sini apatah lagi, saya bersama 44 pelajar lain yang mengikuti program ini merupakan barisan pelajar perintis program yang sama-sama berjaya naik ke pentas untuk menerima dua ijazah daripada dua universiti berbeza.
“Cabaran terbesar adalah menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya dan bahasa di China.
“Saya mengatasinya dengan berusaha untuk belajar bahasa Mandarin secara aktif dan berinteraksi dengan pelajar tempatan untuk memahami lebih banyak tentang budaya mereka,” ujarnya.
Malah, beliau juga tidak malu untuk bertanya apabila menghadapi kesukaran dalam pelajaran.
Lebih bermakna, program ini turut mengubah perspektif beliau dan rakan-rakan lain dengan membuka mata terhadap kepelbagaian dan pentingnya kemahiran komunikasi serta fleksibiliti dalam menyelesaikan masalah.
Katanya, beliau kini lebih memahami kepentingan kerjasama antarabangsa dan bagaimana pengalaman antarabangsa ini dapat memperkayakan kehidupan serta kerjaya saya.
UMPSA melakar sejarah baharu apabila kumpulan pertama seramai 45 graduan program kerjasama UMPSA-Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang Kejuruteraan Rel pada 9 Januari lalu.
Daripada jumlah itu, seramai sepuluh orang pelajar tamat pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, 20 orang pelajar (Kejuruteraan Mekanikal) dan 15 pelajar orang (Kejuruteraan Awam).
UMPSA juga merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sebelas program ijazah dual dengan kerjasama rakan strategik termasuk dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman, Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, BJTU (China), Tianjian University (China), Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU),Kazakhstan dan yang terkini dengan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 97 views