PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2025/1446H
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera kepada warga UMPSA yang saya hormati dan kasihi,
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita sekali lagi dikurniakan kesempatan untuk menyambut bulan Zulhijah yang penuh keberkatan serta merayakan Hari Raya Aidiladha dalam suasana aman dan harmoni.
Aidiladha mengangkat kisah agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS sebagai simbol ketaatan, pengorbanan dan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah SWT. Ia mengajar kita bahawa makna sebenar pengorbanan tidak terletak pada ritual semata mata, tetapi pada kesanggupan meletakkan kepentingan ummah melebihi kepentingan diri sendiri.
Dalam konteks hari ini, pengorbanan turut diterjemah melalui ketabahan kita dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk krisis kesihatan, perubahan iklim, dan ketidaktentuan global. Ia menuntut kita untuk terus cekal, berdisiplin dan mempunyai daya tahan (resilience) yang tinggi dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sebagai warga akademia dan masyarakat.
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi kejayaan dan mengucapkan tahniah buat semua warga UMPSA apabila universiti melakar sejarah berjaya menerima pengiktirafan Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) dengan Status Akreditasi Tahap Emas daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) dan akreditasi antarabangsa ini menjadikan UMPSA sebagai universiti awam (UA) dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang TVET di Asia Pasifik.
Dalam memperluas akses pendidikan tinggi negara, UMPSA juga berbangga apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada empat universiti yang dilantik Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) dalam menjalankan penilaian verifikasi kualiti Stand-alone Micro-credentials (SAMC) bagi tahap Sijil (T-3) hingga Ijazah Kedoktoran (T-8) tertakluk kepada syarat-syarat yang selari dengan piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Selain itu, UMPSA juga kini mempunyai Pusat Serantau Kemahiran Vokasional China-Malaysia dengan penubuhan China-Malaysia Chinese Plus Vocational Skils Regional Development Center (Malaysia) hasil jalinan kerjasama dengan Center for Language Education and Cooperation (CLEC) dan Hebei University.
Segala usaha ini bakal merealisasikan aspirasi agenda pengantarabangsaan UMPSA sebagai Hab TVET Termaju ASEAN seperti yang saya nyatakan dalam Amanat Naib Canselor UMPSA 2025 yang lalu.
Warga UMPSA yang saya hormati,
Menjelang sambutan hari raya ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga UMPSA, sama ada yang berada di kampus mahupun yang pulang ke kampung halaman.
Semoga perayaan ini menjadi medan untuk kita memperkukuh silaturahim, memperdalam rasa syukur dan memperbaharui keikhlasan dalam setiap bentuk pengorbanan demi kebaikan kita bersama.
Tidak lupa sekalung penghargaan buat para penyumbang daripada pihak Maybank Islamic Berhad, RHB Islamic Bank dan staf UMPSA yang telah menyumbang Sembilan ekor lembu bagi menyempurnakan ibadah korban yang dilaksanakan di bawah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) pada 10 Jun ini di Masjid UMPSA Kampus Gambang.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi apabila dapat menikmati suasana beribadah dalam keadaan aman damai. Justeru, marilah kita bersama-sama berdoa dan tidak melupakan saudara Islam kita di Gaza dan wilayah wilayah lain yang sedang bergolak, yang sedang diuji dengan penderitaan, penindasan dan kehilangan.
Dengan kesabaran dan ketabahan mereka, tersirat pengajaran besar tentang kekuatan jiwa dan makna sebenar pengorbanan. Maka, Aidiladha ini juga wajar menjadi detik untuk kita memperluas rasa empati dan solidariti melalui doa, sokongan, dan kesedaran yang tulus.
To our international friends, collaborators, and students,
On the occasion of Eid al Adha, we extend our heartfelt greetings of peace, unity, and goodwill. May this blessed celebration serve as a reminder for us all, regardless of culture or background, of the enduring values of compassion, selflessness, and perseverance. Let us continue to strengthen the bonds of friendship, deepen mutual respect, and work hand in hand towards a more inclusive, understanding, and harmonious world.
Buat warga UMPSA yang pulang menyambut Aidiladha, utamakan keselamatan sepanjang perjalanan. Kepada yang menunaikan ibadah korban, laksanakanlah dengan penuh keinsafan dan hikmah agar ibadah ini benar benar menjadi lambang ketaatan dan keberkatan.
Akhir kata, semoga Aidiladha kali ini menyuntik semangat baharu dalam diri kita untuk terus bersatu hati, berbakti dengan ikhlas dan berkorban demi kesejahteraan bersama.
Marilah kita membina kekuatan dari dalam yang berteraskan nilai keimanan, kasih sayang, dan tanggungjawab bersama demi masa depan yang lebih harmoni dan bermakna.
Sekian, Wabillahi Taufak Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Aidiladha, ikhlas daripada saya.
PROFESOR DR. YATIMAH ALIAS
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 209 views