Skip to main content

Kombinasi Minat dan Bakat Kepimpinan Siti Aisyah dinobatkan Tokoh Siswa UMP

Kuantan, 28 Februari– Kombinasi minat dan bakat kepimpinan dalam menjayakan aktiviti kesukarelawanan menjadikan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Siti Aisyah Darmawansyah dinobatkan Tokoh Siswa UMP pada Majlis Anugerah Kokurikulum & Sanjungan Pelajar 2018 anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertempat di Hotel Vistana, Kuantan baru-baru ini.

Beliau sentiasa mengambil peluang menyertai program khidmat sosial anjuran universiti antaranya Global Student Outreach di Satun, Thailand dan Program kesukarelawanan  bersama gelandangan di Kuala Lumpur. Malahan, ianya bukan halangan buat Siti Aisyah memikul tanggungjawab besar apabila dipilih sebagai Exco Kesukarelawanan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2017/2018 walaupun sentiasa sibuk dengan tugasan pengkuliahan di Fakulti Pengurusan Industri (FIM).

Begitu juga dengan  pemilihannya sebagai  Pengarah Expoconvo 2018, Pengarah Kursus Kepimpinanan, Pengarah Aceh Global Exploration,  Program Khidmat Masyarakat Antarabangsa di Indonesia , Go Green SASET  dan menceiakan hospital dengan membuat mural di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom.

Dalam majlis yang sama juga, Siti Aisyah,23 turut menerima Anugerah Sanjungan pelajar teras Kesukarelawanan. Dengan kemenangan tersebut beliau membawa pulang hadiah wang tunai, sijil, trofi dan pakej percutian.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato Yusserie Zainudin yang turut dihadiri Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd Rahman Safie.

Menurut Prof. Dato Yusserie, para pemenang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan komitmen yang tinggi di dalam penglibatan aktiviti kokurikulum sepanjang tahun lalu.

“Pengiktirafan ini diharapkan dapat menjadi inpirasi dan membakar semangat mahasiswa lain untuk terus beraktiviti. Semua penglibatan mahasiswa dalam aktiviti ini akan direkodkan dalam Sistem Pembangunan Pelajar dan Sistem extra Co-curiculum (x-CGPA) dan akhirnya akan diterjemahkan di dalam transkrip kokurikulum sebagai transkrip kedua,” katanya.

Beliau percaya ianya boleh membantu para graduan untuk mendapat pekerjaan yang baik. Pada masa yang sama pihak universiti turut memberi tumpuan terhadap tiga elemen yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik iaitu kegembiraan (happiness), kasih sayang (love) dan saling hormat menghormati (mutual respect) hendaklah diterapkan dalam program dan kehidupan di dalam kampus.

,Bagi Siti Aisyah, beliau sama sekali tidak menyangka kemenangan ini kerana saingan hebat-hebat belaka. Namun bersyukur dengan rezeki ini dan ingin menghadiahkan kepada kedua ibubapanya. Tambah anak pasangan Darmawansyah Abdullah dan Sri Umiaty Saubari  ini,  kemenangan itu membakar semangatnya untuk meningkatkan lagi dalam aktiviti dan mengukuhkan semangat ke­sukarelawan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Seramai 15 pemenang anugerah turut dirai antaranya penerima Anugerah Naib Canselor dimenangi oleh Muhammad Ameen Abdul Azis, Anugerah Timbalan Naib Canselor pula dimenangi oleh Muhammad Amrun Aniq Muhammad Saidi dan Anugerah Kelab Terbaik pula telah dimenangi oleh Kelab Penyayang serta  anugerah Penasihat Terbaik dimenangi oleh Rozana Shahadan.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri