Skip to main content

Pasukan E-Motion UMPSA dinobat Juara Keseluruhan NxGV Challenge 2025

SERDANG, 12 Mei 2025 – Pasukan E-Motion dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengharumkan nama universiti apabila muncul sebagai Juara Keseluruhan dalam pertandingan Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2025 yang mempamerkan kehebatan menghasilkan prototaip kenderaan EV di MAEPS, Serdang  baru-baru ini.

Pasukan diketuai Muhammad Iman Zahin Harun daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang terdiri daripada 14 mahasiswa dari jurusan teknologi dan kejuruteraan automotif serta pensyarah dan staf teknikal itu berjaya menampilkan persembahan terbaik sepanjang kejohanan dengan membangunkan kenderaan elektrik inovatif selaras dengan aspirasi mobiliti masa hadapan yang lebih mampan dan mesra alam. 

Hadiah disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad sempena Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran NxGV 2025. 

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berbangga dengan pencapaian terbaik pasukansepanjang kejohanan. 

“Pertandingan ini pastinya menyokong usaha membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan menyokong pembangunan dasar EV negara.

“Keterujaan mereka jelas terpancar dalam membangunkan sebuah prototaip kereta bersama gabungan pelajar pelbagai fakulti dengan penyeliaan oleh FTKMA dan Pusat TVET Termaju UMPSA,” ujarnya yang berpeluang hadir bertemu pasukan pada hari kedua pertandingan. 

Pasukan E-Motion UMPSA dinobat Juara Keseluruhan NxGV Challenge 2025

Hadir sama Dekan FTKMA, Profesor  Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad

Menurut Profesor Dr. Yatimah, sebagai sebuah universiti teknikal dengan pendekatan TVET, beliau dapat menyaksikan pembelajaran di bilik kuliah dizahirkan secara praktikal oleh pelajar. 

“Malahan NxGV Challenge merupakan platform berprestij yang menguji kebolehan pelajar dalam merekabentuk serta membangunkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi, menepati ciri mobiliti masa hadapan,” ujarnya. 

Peserta pertandingan ini dinilai berdasarkan kecekapan teknologi, keunikan reka bentuk dan kemampuan menyelesaikan cabaran teknikal dalam pembangunan kenderaan.

Sementara itu, bagi Menurut Muhammad Iman Zahin, beliau berasa amat bangga dan teruja apabila diumumkan sebagai peserta pertandingan ini. 

“Kemenangan ini adalah di luar jangkaan dan amat bermakna buat kami semua. 

“Pencapaian ini merupakan hasil kerjasama erat, komitmen tinggi sdan semangat tidak pernah berputus asa dalam kalangan setiap ahli pasukan.

“Malah, kejayaan ini bukanlah satu pengakhiran, tetapi menjadi pemula kepada perjalanan yang lebih besar,“ katanya. 

Tambahnya, kami berazam untuk terus berkembang sebagai satu pasukan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

“Harapan kami adalah untuk membina legasi yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang. 

“Persediaan rapi telah dilakukan sejak dari awal lagi iaitu bermula dengan fasa perancangan dan analisis teknikal bagi memenuhi spesifikasi pertandingan, sehinggalah ke fasa pembuatan serta fabrikasi kenderaan.

“Kami membahagikan tugasan mengikut kepakaran ahli, iaitu ada yang fokus kepada sistem elektrik, mekanikal dan juga pengurusan,“ ujarnya. 

Pasukannya juga tidak pernah bersendirian, malahan mendapat sokongan daripada pihak UMPSA, pensyarah, Pusat Kejuruteraan Automotif serta kelab fakulti seperti Mechapro yang amat besar ertinya buat pelajar. 

Katanya, selain itu, perjalanan ke puncak juga turut melalui beberapa cabaran.

“Antaranya, kesukaran terbesar yang dihadapi pasukan ialah pengurusan masa antara tuntutan akademik dan projek serta kekangan dalam mendapatkan komponen-komponen yang sesuai bagi memastikan Go-Kart EV dapat berfungsi dengan sempurna,” ujarnya. 

Pasukan E-Motion UMPSA dinobat Juara Keseluruhan NxGV Challenge 2025

Pasukan UMPSA menjuarai 4 kategori yang dipertandingkan, antaranya tempat pertama Autocross, Skidpad, Endurance dan Anugerah Kertas Terbaik (Best Paper Award) oleh Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris manakala UMPSA berada di tempat kedua bagi kategori Acceleration dan lain-lain anugerah. 

NxGV Challenge 2025 merupakan program anjuran Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua), Malaysia Automotive Robotics & loT Institute ( MARii ) dengan kerjasama Society of Automotive Engineers Malaysia (SAEM). 

Pada peringkat ini sebanyak sepuluh pasukan terbaik terpilih daripada institusi pengajian tinggi, termasuk universiti, politeknik, dan kolej swasta  menyertai cabaran membina EV gaya go-kart dalam pertandingan yang diadakan di Litar APD, MAEPS Serdang bersempena dengan Malaysia Autoshow 2025.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Naqiah Puaad