UMPSA tampil 6 wakil di peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025
PEKAN, 1 Oktober 2025 – Seramai enam wakil Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pencapaian ini menjadi bukti keupayaan dan kecemerlangan mahasiswa UMPSA dalam pelbagai bidang sama ada kepimpinan, perpaduan, inovasi, kelestarian, keusahawanan mahupun kesukarelawanan.
Wakil akhir terdiri daripada Aniq Zamzamy Sibron (Tokoh Perpaduan Siswa), Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2023/2024 (Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa Negara), Fatini Nasuha Ahmad Puad (Tokoh Kelestarian Siswa), Mohd Mohsin Ismail (Tokoh Usahawan Siswa), Kamaleshwahrran Naidu (Tokoh Daya Usaha dan Inovasi Siswa), serta Haze Chua Si Jie (Anugerah Tokoh Sukarelawan).
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias mengucapkan tahniah dan mendoakan agar mereka meraih kejayaan.
“Anugerah Tokoh Siswa memberi pengiktirafan kepada peranan individu dan badan mahasiswa yang berjaya memanfaatkan secara positif ruang dan peluang yang disediakan oleh universiti dalam melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran akademik yang tinggi, sahsiah diri cemerlang dan mempunyai ciri-ciri personaliti unggul di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, kepimpinan pelajar amat penting kerana mereka adalah ejen perubahan negara.
“Jadikan pengalaman ini sebagai medan latihan untuk melatih diri menjadi pemimpin berwibawa, berintegriti dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum mara ke peringkat akhir, UMPSA telah menganjurkan Bengkel Pemantapan dan Penyediaan Profil Calon ATSN 2025 pada 5 hingga 7 September lalu.
Bengkel tiga hari itu memberi pendedahan dan bimbingan intensif kepada 25 calon UMPSA merangkumi pelbagai kategori pencalonan seperti Tokoh Kepimpinan, Tokoh Perpaduan, Tokoh Inklusif, Tokoh Sukarelawan, Tokoh Khidmat Komuniti, Tokoh Kelestarian, Tokoh Seni dan Warisan, Tokoh Inovasi, dan Tokoh Usahawan Siswa.
Majlis Penganugerahan ATSN 2025 dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober ini di Hotel Marriot Putrajaya.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 46 views
Reports by: