Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

Kolaborasi Industri-UMP antara terbaik dunia dalam kebolehpasaran graduan

BIL. 48 SEP 2019

Usaha berterusan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam berkolaborasi dengan industri bermula daripada perancangan akademik sehingga libat sama industri bersama komuniti memperlihatkan keberhasilan apabila universiti ini tersenarai tempat ke-71 terbaik dunia dan pertama di Malaysia bagi kriteria Kerjasama dengan Majikan (Partnership with Employer) dalam penarafan QS Graduate Employability 2020 (QS GE) yang diumumkan pada 19 September 2019 yang lalu. 
 
Penarafan ini turut menobatkan UMP berada pada kedudukan 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan 2020. 

Turut berada pada kelompok yang sama adalah Management and Science University (MSU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). 

Manakala Universiti Malaya (UM) diumum sebagai universiti terbaik di Malaysia dari segi kebolehpasaran graduan selepas tersenarai dalam kedudukan ranking 141-150 daripada 500 universiti terbaik dunia.  

BIL. 48 SEP 2019

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, UMP akan terus memberikan yang terbaik di samping meningkatkan kualiti graduan dan kebolehpasaran graduan bagi melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. 

“Ia juga akan meningkatkan keupayaan bagi memperkasa bidang pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi seiring dengan keperluan industri di negara ini. 

“Sebagai salah sebuah universiti yang agak muda pada usia 17 tahun ini, universiti sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. 

“Program kejuruteraan dan teknologi sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman,” katanya. 

Model kerjasama akademik bagi program Dwiijazah Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Automotif dengan HsKA dan program Dwiijazah Kejuruteraan Perniagaan dengan Hoshschule Reutlingen University (HsRT) di Jerman adalah termasuk pengantarabangsaan UMP dalam membina jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan Republik Persekutuan Jerman. 

Oleh itu, graduan-graduan daripada model kerjasama akademik ini akan lebih mudah ditawarkan pekerjaan daripada syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Jerman.

Kolaborasi profesional bersama alumni dalam Industry Network Alumni Platform (INAP) juga sebagai suatu platform buat alumni UMP membina hubungan (networking), berinteraksi dan memberi sumbangsaran atas kapasiti profesional mereka. 

Penganjuran Karnival Kerjaya dan CEO@Faculty Programme memperhebatkan penyertaan daripada sektor industri sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh industri tersebut. 

BIL. 48 SEP 2019

Antara program yang dijalankan bersama CEO yang dipilih adalah siri kuliah jemputan, perbincangan panel dan juga pengajaran bersama (co-teaching).

UMP juga menilai kebolehan graduan bukan sahaja daripada segi peningkatan akademik malah turut menilai kebolehan pelajar dalam bidang keusahawanan, kemampuan pengurusan, kemahiran sosial dan berkomunikasi bagi memenuhi kehendak industri moden masa kini yang memerlukan graduan bukan hanya bijak akademik, tetapi berketerampilan dalam kemahiran insaniah dan kemahiran interpersonal. 

Pusat Kecemerlangan Industri (I-CoE) juga dilihat sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan yang mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterapkan dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan merangkumi empat program teras iaitu program internship berstruktur (SIP), penempatan industri, pembangunan bakat dan Training of Trainers. 

Penilaian QS GE ini dibuat dengan mengambil kira lima petunjuk utama iaitu Reputasi Majikan (30 peratus), Hasil Alumni (25 peratus), Kerjasama dengan Majikan (25 peratus), Hubungan Majikan – Pelajar (10 peratus) dan Kadar Kebolehpasaran Graduan (10 peratus). 

Pengukuran bagi kriteria ini adalah berdasarkan kepada pengkalan data Scopus Elsevier terhadap kerjasama penyelidikan dari tahun 2013–2017 dan kerjasama membabitkan 2000 syarikat global terkemuka yang disenaraikan oleh Fortune dan Forbes.


Penyelidikan dan Inovasi

Kit Kerusi Roda Bermotor untuk warga emas

BIL. 48 SEP 2019

Prihatin terhadap kepayahan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih untuk bergerak, dua pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu Dr. Mohamad Heerwan Peeie, 32 daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA) dan Dr. Syafiq Fauzi Kamarulzaman, 33 daripada Fakulti Komputeran (FCom) berjaya mengubah suai kerusi roda biasa di pasaran kepada kerusi roda bermotor untuk digunakan khusus buat warga emas dan mereka yang memerlukan alat bantuan untuk bergerak.
 
Dr. Mohamad Heerwan berkata, dengan adanya kerusi roda bermotor ini dapat membantu mengurangkan beban staf pusat tersebut dan memberi kebebasan kepada penghuni serta membantu mengembalikan keyakinan diri dan keceriaan kepada penghuni pusat tersebut.

BIL. 48 SEP 2019

“Produk ini dibina berdasarkan standard rekaan kerusi roda di pasaran yang mana modul motor elektrik, bateri dan kawalan, direka khas untuk kesesuaian pasang siap pada mana-mana kerusi roda yang ada di pasaran.  

“Selain itu, modul-modul dalam kit kerusi roda bermotor tersebut boleh disesuaikan dengan ketinggian dan saiz kerusi roda pasaran yang berbeza,” kata Dr. Mohamad Heerwan.
 
Ujarnya, kit tersebut hanya memerlukan dua jam pengecasan melalui pengecas yang dibekalkan untuk pergerakan berterusan selama lapan jam. 

“Manakala modul bateri dalam kit tersebut juga mempunyai ciri keselamatan seperti kunci keselamatan dan kelajuan boleh dilaras mengikut kesesuaian pengguna.
 
“Malahan modul kawalan juga boleh disesuaikan mengikut tangan pengguna sama ada sebelah kanan atau kiri bagi memudahkan seseorang yang kurang upaya untuk mengawal dengan lebih mudah. 

“Modul motor dalam kit ini mampu membawa seseorang seberat 100 kg mendaki curam 20 darjah dengan mudah,” katanya. 
 
Menurut Dr. Syafiq pula, matlamat hasil penyelidikan ini dapat memberi kebebasan kepada warga emas dan individu kurang upaya dalam menjalankan urusan harian, sekali gus memudahkan penjaga-penjaga individu tersebut. 

“Ternyata, hasil kerjasama bersama Pusat Jagaan Mahmudah, penghuni merasa lebih bebas dan staf boleh lebih bekerja bersama penghuni dengan lebih mudah dan efisien.   

BIL. 48 SEP 2019

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Mahmudah, Sazali Mohidein mengalu-alukan kerjasama ini dan turut membantu dalam aktiviti mencari dana. 

Menurutnya, pengubahsuaian kerusi roda asal kepada bermotor memudahkan pergerakan penghuni warga emas dan kurang upaya di rumah tersebut memandangkan mereka kekurangan staf bagi membantu pergerakan penghuni untuk ke surau, ruang makan, riadah dan sebagainya.
 
Kedua-duanya yang juga Felo Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) berkata, kajian bermula apabila Dr. Mohamad Heerwan menerima geran penyelidikan bagi projek mengubah suai kerusi roda biasa di pasaran kepada kerusi roda bermotor. 

Kajian telah bermula sejak tahun 2017 dan selepas beberapa prototaip, satu rekaan utk pengkomersialan telah dihasilkan. 

BIL. 48 SEP 2019

Pihaknya juga telah mendapat sokongan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMP melalui geran pengkomersialan universiti. 
 
Anggaran kos bahan tersebut adalah sekitar RM2,500 dan buat masa ini mereka sedang bakal dipasarkan secara meluas mulai pada awal tahun hadapan. Produk ini telah mendapat anugerah pingat perak pada Malaysia Teknology Expo (MTE) pada tahun 2019.

Menurut Dr. Syafiq, pada masa akan datang mereka berhasrat memperkenalkan elemen Internet of Things (IoT) di kit tersebut sebagai pemantauan kondisi pengguna, yang mana ciri-ciri biometrik seperti kadar penafasan, degupan jantung, suhu badan boleh dipantau secara atas talian dan direkod bagi membantu kesan simpton-simpton penyakit.  
 
Tambahnya, pihaknya mengalu-alukan orang ramai menyumbang bagi membantu warga emas di pusat ini. 

“Hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada pusat kebajikan bukan sahaja boleh memenuhi keperluan harian pusat tersebut, malah membantu perkembangan teknologi yang diperlukan oleh pusat-pusat tersebut. 

“Sekiranya, keperluan pusat-pusat tersebut dapat berhubung kepada platfom penyelesaian yang tepat, inovasi berkualiti dan bermakna dapat dihasilkan. Beliau turut bercadang untuk menyesuaikan lebih banyak lagi hasil penyelidikan para pensyarah UMP bersama pusat-pusat kebajikan melalui inisiatif crowdfunding.
 
Dr. Mohamad Heerwan dan Dr. Syafiq Fauzi kedua-duanya merupakan penyelidik yang mempunyai pengalaman lebih lima tahun sewaktu menyambung pengajian di Jepun. 

Dr. Mohamad Heerwan mempunyai kepakaran dalam bidang Automotif terutamanya berkaitan kenderaan elektrik, sistem kawalan dan robotik. 

Begitu juga dengan Dr. Syafiq Fauzi yang mempunyai kepakaran dalam bidang Elektronik dan Sistem Komputer yang mana beliau sedang melaksanakan kajian berkenaan Kepintaran Buatan (AI), Sistem Perkakasan Internet (IOT) dan robotik.


Artikel/Rencana Pilihan

Memuliakan Guru di Era Pendidikan Abad Ke-21

BIL. 48 SEP 2019

Oleh: AHMAD IRFAN IKMAL HISHAM
e-Mel: irfan@ump.edu.my

BIL. 48 SEP 2019

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah SWT. Mulianya manusia, adalah kerana ilmu. Sejak awal penciptaan Nabi Adam AS di syurga, Allah SWT telah mengajar baginda ilmu pengetahuan secara langsung, hingga menyebabkan para Malaikat dan Jin terdiam, walaupun pada permulaannya mereka mempersoal penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
 
Firman Allah SWT, “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar." (al-Baqarah:31).
 
Atas sebab itu, Allah SWT  sentiasa memuliakan orang yang berilmu, khasnya yang terlibat dalam menyebarkan ilmu, seperti guru. Dalam Islam, kedudukan guru adalah terlalu istimewa. Seorang penyair Arab Mesir, Ahmad Shauqi pernah menyatakan,
 
“Sambutlah guru, dan berikan penghormatan untuknya. Hampir-hampir seorang guru menyamai kedudukan seorang Rasul.”
 
“Tahukah siapa orang yang lebih mulia dan lebih agung berbanding insan yang membangun dan membina jiwa dan akal?”

 
Beberapa tahun lepas, dunia pendidikan moden mula mempromosi Pendidikan Abad Ke-21. Proses pembelajaran yang berpusatkan kepada murid memberikan penerapan terhadap beberapa elemen penting seperti komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika. Selain itu, proses pembelajaran dan pengajaran juga memberikan fokus kepada kaedah belajar dengan melakukan (learning by doing) selain kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
 
Antara impak gagasan ini ialah pemanfaatan teknologi maklumat dalam sistem pembelajaran. Ini membabitkan platform pembelajaran yang kompleks, sehinggalah aplikasi ringkas seperti grup sosial media Whatsapp, yang membolehkan ibu bapa dan guru berhubung mengenai pembelajaran anak-anak di sekolah. Di peringkat pengajian tinggi pula, pembelajaran atas talian semakin mendapat tempat. Bahkan terdapat beberapa kursus yang menawarkan program atas talian sepenuhnya, tanpa keperluan untuk bertemu dengan guru.
 
Antara kesan daripada perkembangan ini ialah persoalan adab dengan guru. Isu perselisihan dalam grup Whatsapp sekolah memang kerap berlaku. Kadang-kadang membabitkan isu yang remeh-temeh, seperti kehilangan barangan anak, yang membawa kepada serangan melulu kepada guru. Mahasiswa di universiti pula semakin kurang mementingkan adab dalam berkomunikasi dengan guru. Kemuncaknya, menghantar e-mel atau surat permohonan latihan industri atau permohonan kerja pun ditolak oleh majikan kerana kejanggalan dalam berkomunikasi kesan pengabaian adab.
 
Guru dan pensyarah di universiti juga dinilai atas talian oleh pelajar mereka. Sekiranya pensyarah seorang yang tegas dalam kelas, kebiasaannya pelajar akan memberikan penilaian yang rendah kepada pensyarah berkenaan. Ada juga kes pelajar yang tidak berpuas hati dengan pensyarah, mereka akan terus melaporkan ke pengurusan tertinggi, tanpa berbincang dahulu dengan pensyarah berkenaan. Walaupun diberikan ruang untuk pembelaan, tetapi malangnya imej sudah pun tercalar.
 
Guru hanyalah manusia biasa, mungkin melakukan kesilapan. Tetapi hilang adab dengan guru, baik daripada pelajar apatah lagi penjaga boleh menyebabkan terputusnya keberkatan ilmu yang akhirnya merugikan pelajar itu sendiri. Amat jauh sikap menghormati guru generasi terdahulu dengan sekarang.
 
Abdullah bin Abbas, sepupu nabi yang muda, dilaporkan sentiasa menghormati salah seorang gurunya, senior dalam kalangan sahabat iaitu Zaid bin Thabit. Diriwayatkan, beliau sentiasa menghulurkan tangga kecil apabila Zaid ingin menunggang kuda dalam permusafiran. Ini dilakukan oleh Ibn Abbas sebagai adab kepada guru, walaupun beliau sendiri adalah seorang yang faqih dalam agama.
 
Imam al-Shafi’i juga amat teliti dalam menghormati gurunya. Beliau amat berhati-hati apabila membelek kitab, supaya tidak mengeluarkan bunyi bising, semasa berada dalam majlis ilmu yang dikendalikan oleh Imam Malik.
 
Imam Abu Hanifah pula dilaporkan tidak pernah melunjurkan kakinya ke arah rumah gurunya Hammad sebagai penghormatan kepadanya, walaupun jarak antara kedua-dua rumah mereka agak jauh.
 
Hasil daripada sikap menghormati guru ini, maka mengalirlah keberkatan dalam diri pelajar. Anak murid yang hebat, yang belajar dari guru yang hebat, akhirnya menjadi seorang guru yang hebat. Untuk menghormati guru, tiada modal wang ringgit yang sepatutnya pelajar perlu keluarkan. Guru tidak pernah mengharapkan hadiah dan sanjungan, sebaliknya yang diperlukan ialah penghargaan serta sikap saling menghormati dalam persekitaran pembelajaran.
 
Buat para guru, terima kasih atas komitmen anda untuk mendidik anak bangsa menjadi orang yang berilmu. Jagalah keizzahan status seorang guru agar dihormati oleh anak murid. Sentiasalah berpenat dan berkorban dalam membentuk generasi akan datang. Maka amat tepat sekali pemilihan tema Hari Guru 2019 yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Yang Berhormat  Dr. Mazlee Malik, iaitu ‘Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi’.
 
Penulis ialah Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. 

Newsletter Image
BIL. 48 SEP 2019