Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

UMP diiktiraf Universiti Terbaik Penyelidikan dan Inovasi

BIL. 54 NOV 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dinobatkan universiti terbaik dalam Penyelidikan dan Inovasi apabila menerima Anugerah Malaysia’s Research Star Award 2019 bagi Research and Innovation Excellence (Institution) untuk Non-Research University manakala  Universiti Malaya (UM) dinobatkan universiti terbaik penyelidikan dan inovasi untuk Universiti Penyelidikan.  

Hadir menerima anugerah ialah Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam majlis yang diadakan di Hotel Zenith, Putrajaya pada 6 November 2019 yang lalu.

Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Dr. Mohd. Gazali Abas yang hadir mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi merasmikan Anugerah Malaysia’s Research Star Award dan Pengiktirafan Jurnal CRÈME 2019 anjuran KPM dengan kerjasama Clarivate Analytics dan Elsevier. 

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Dato’ Kamel Mohamad.

Selain Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan Institusi, pihak Clarivate Analytics menganugerahkan Hot Review Paper (seorang penerima), Research and Innovation Excellence Researcher (tujuh orang penerima). 

BIL. 54 NOV 2019

Manakala pihak Elsevier menganugerahkan 12 orang penyelidik sebagai penerima MRSA bagi kategori International Collaboration (tiga orang penerima), Prominent Topics in Research (empat orang penerima), Citation Classic (empat orang penerima) dan Young Researcher (seorang penerima).

UMP turut berbangga dengan kejayaan pensyarah UMP, Profesor Madya Dr. Wan Azmi Wan Hamzah yang telah memenangi dua anugerah MRSA iaitu kategori Prominent Topics in Research untuk bidang Penyelidikan Pemindahan Haba. 

Penyelidikan beliau adalah berkaitan dengan teknologi nanopartikel dispersion yang diterbitkan di dalam jurnal berkualiti dan diiktiraf berimpak tinggi berdasarkan sitasi yang diterima daripada pengkalan data Elsevier.

Beliau yang menjangkau usia 35 tahun juga turut dinobatkan sebagai Young Researcher berdasarkan pemilihan penyelidik terbaik di bawah usia 40 tahun. 

Penerbitan beliau banyak tertumpu kepada aplikasi bendalir dalam bidang Automotif. Antara produk berimpak yang terhasil daripada penyelidikan beliau adalah bendalir penyejuk nano untuk radiator kenderaan, pelincir nano untuk penyaman udara kenderaan, dan yang terkini cat nano untuk komponen Automotif.

BIL. 54 NOV 2019

Berkaitan dengan penerbitan pula, sebanyak 116 penerbitan telah direkodkan di dalam data Scopus dengan jumlah sitasi 2083 dan h-index 27. 

Daripada jumlah penerbitan tersebut, sebanyak 97 penerbitan telah diindeks oleh Web of Science. Sebanyak 57 penerbitan telah dikategorikan jurnal berimpak tinggi Q1 yang menyumbang kepada data sitasi yang tinggi di dalam pengkalan data Elsevier. Sebahagian besar penerbitan ini adalah di dalam bidang pemindahan haba.

Selain itu, seramai 15 penyelidik dari Malaysia menerima Anugerah Highly Cited Researcher 2018 daripada Clarivate Analytics yang merupakan pengiktirafan peringkat dunia bagi penyelidik Malaysia yang mendapat sitasi tertinggi satu peratus dalam Web of Science.

Majlis tersebut turut memberi Pengiktirafan Jurnal Crème 2019 kepada 27 jurnal Malaysia yang menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa berdasarkan metric jurnal CiteScore, Impact Factor, Quartile Journal dan jumlah sitasi.    

Menuju kegemilangan, UMP terus melakar kejayaan membanggakan buat warganya dan bagi Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kejayaan ini milik bersama tatkala UMP berusia semuda 17 tahun sebagai sebuah Universiti Awam (UA) dan merupakan salah satu universiti teknikal (MTUN) di Malaysia.
 
Dengan slogan `Bergerak Bersama’, warga UMP akan terus memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem Kejuruteraan dan Teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini selain meningkatkan keupayaan latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di negara ini.


Akademik dan Antarabangsa

Pendidikan fleksibal pembelajaran secara atas talian (MOOC)

BIL. 54 NOV 2019

Penganjuran Persidangan Antarabangsa The ASEM MOOC Stakeholders' Forum 2019 berjaya berkongsi kepakaran daripada wakil rangkaian ASEM MOOC yang memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan kursus pembelajaran dalam talian (MOOC) yang  melibatkan universiti terlibat serta rakan strategik ASEM di rantau ini.
  
Lebih 130 peserta dalam kalangan akademik dalam dan luar negara termasuklah Jepun, Korea, Thailand dan Filipina berkongsi pengalaman mengaplikasi konsep teknologi dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran  dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat selaras dengan perkembangan terkini dunia pembelajaran secara atas talian.
 
Hadir merasmikan persidangan ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. 

Turut hadir Naib  Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff,  Pengarah Pusat K-MOOC, National Institute of Lifelong Education (NILE) Kementerian Pendidikan Korea, Jaedong Cho, Pengarah Jabatan Kecemerlangan Akademik KPM, Profesor Madya Dr Wan Zuhainis Saad yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMP dan Pengarah Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL), Ts. Dr. Adzhar Kamaludin.
 
Menurut Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah, peningkatan pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran khas menjadi trend terbaharu pendidikan pada zaman Revolusi 4.0 (IR4.0) di Asia dan Eropah. 

BIL. 54 NOV 2019

“Para pelajar perlu mempersiapkan diri dalam membangunkan kemahiran dan kapabiliti menggunakan teknologi bagi memperoleh pengetahuan serta mengadaptasi data dalam proses pembelajaran. 

“Persidangan anjuran KPM dan UMP ini memfokuskan terhadap pembangunan MOOC dan Global Classroom UMP kepada masyarakat pendidik di seluruh dunia seiring dengan perkembangan sistem pendidikan terkini,” katanya merasmikan Persidangan Antarabangsa The ASEM MOOC Stakeholders' Forum 2019 di Hotel Zenith Putrajaya pada 7 November 2019 yang lalu. 
 
Beliau menyokong usaha UMP dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang melaksanakan kursus pembelajaran dalam talian (MOOC) dengan memfokuskan pengetahuan dan kemahiran praktikal (hands-on) bagi memenuhi keperluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.
 
Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar berkata, UMP telah memulakan kerjasama program secara MOOC ini sejak tahun 2017 dengan pihak Tan Chong Education (Tan Chong Group) yang membolehkan staf mekanik mereka mengikuti program teknologi automotif di Tan Chong Automotive Technology (TCAT). 

Seramai 30 pelajar mengikuti program Energy Efficient Vehicles (EEV) Hybrid System secara MOOC yang dikendalikan pihak CIReL dan pada tahun ini, TCAT menawarkan program yang mengandungi lima modul untuk tempoh tiga bulan latihan melibatkan seramai 13 pelajar di Pusat Latihan Kota Bahru.
 
Dengan pendidikan secara fleksibel ini akan memberi peluang pelajar yang mengikuti program ‘hands-on’ MOOC dengan mengaplikasikan pengetahuan terhadap objek rangkaian internet (IOT), teknologi robotik, data analitik, aplikasi Arduino dan integrasi pembuatan berkaitan keperluan Revolusi 4.0 (IR4.0).

Hadir membentangkan kertas kerja adalah wakil KMOOC, Profesor Dr. Eunsil Hong dan Dr. Wonsook Hyun daripada Sungkyunkwan University, Korea.  

Turut sama membentangkan kertas kerja ialah Profesor Madya Dr. Jintavee Khiasang daripada Chulalongkorn University, Thailand dan Profesor Natthakan Iam-on, Mae Fah Luang University mewakili ThaiMOOC. 

Dr. Gan Leong Ming (UMP) juga berkongsi mengenai MalaysiaMOOC manakala mewakili JMOOC adalah Profesor Yasushi Kodama daripada Hosei University Jepun dan PhilippineMOOC diwakili Dr. Ria Mae H. Borromeo daripada University of the Philippines Open University (UPOU).


Penyelidikan dan Inovasi

2 produk UMP menang Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2019)

BIL. 54 NOV 2019

Produk yang dihasilkan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Mohd Najib Razali iaitu produk MNRg-Treat yang dihasilkan untuk merawat sisa air berminyak menggunakan formulasi berteknologi hijau telah dianugerahkan Anugerah Usahawan Penyelidik Tahun Pengkomersialan Malaysia 2019 (MYC 2019) anjuran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) pada 10 Oktober 2019 yang lalu.

Satu lagi produk iaitu Hidung Elektronik (Electronic Nose) atau e-Nose yang dihasilkan oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Sharfi Najib dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Profesor Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri pula telah dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Usahawan Inovator Baharu MCY 2019.

BIL. 54 NOV 2019

Kedua-duanya telah memenangi hadiah bernilai RM100,000 setiap satu dalam bentuk tunai dan geran.

Menurut Mohd Najib, MNRg-Treat merupakan produk formulasi semula jadi untuk memisahkan sisa buangan air berminyak dan membantu merawat air yang dilepaskan industri agar memenuhi piawaian alam sekitar yang ditetapkan.

“Sisa minyak yang diperangkap akan dirawat menjadi produk sekunder iaitu minyak gris yang boleh didapati dengan harga yang amat berpatutan. 

“Produk berinovasi ini mampu meningkatkan kualiti alam sekitar dan telah mula dijual dan diguna pakai di seluruh negara,” ujarnya.

Penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 2012 ini mendapat sokongan beberapa geran penyelidikan universiti, antaranya geran MyRA Incentive Fund (Lab2Market) UIC161003 – Bio-Coagulant and Smart System for Sustainable Water Treatment dan geran TERAJU iaitu Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang bernilai RM500,000.00 sebagai menyokong idea perniagaan.

Produk MNRg-Treat ini telah dilesenkan dan mula dikomersialkan oleh sebuah syarikat start-up yang dikenali sebagai MNR Multitech Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Teknologi e-Nose keluaran UMP pula telah dibangunkan bagi menggantikan penggunaan hidung manusia dan haiwan untuk kegunaan industri. 

BIL. 54 NOV 2019

Menariknya, teknologi ini dibangunkan dengan data yang disokong penuh secara saintifik dan telah mula digunakan oleh syarikat antarabangsa seperti Ajmal Perfume iaitu syarikat pengeluar gaharu terbesar di dunia bagi menganalisis kualiti dan keaslian resin gaharu serta produk-produk berkaitan serta Sime Darby Oil, Thailand bagi menganalisis kualiti dan kesegaran minyak masak yang dikeluarkan di kilang mereka. e-Nose kini dikomersialkan oleh syarikat spin-off UMP yang dikenali sebagai Synbion Sdn. Bhd.

Kedua-dua syarikat yang memasarkan produk ini juga merupakan syarikat yang dibimbing oleh Technology Park Malaysia (TPM) dan produk ini telah dilancarkan pada hari penyampaian anugerah berkenaan yang diadakan bersempena penganjuran 10th International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia 2019 (IGEM 2019) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Pengkomersialan, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi serta Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings Sdn. Bhd., Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman.


Penyelidikan dan Inovasi

Penyelidikan UMP tarik minat Duzce Universiti Turki meterai kerjasama

BIL. 54 NOV 2019

Delegasi Duzce Universiti (DU) Turki yang berkunjung ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 30 Oktober 2019 yang lalu berpeluang bertemu dengan para penyelidik UMP dan  berkongsi kepakaran mengenai penyelidikan berkaitan Plant-based Special Ingredients for Food and Drinks oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Industri Kluster Bioteknologi, Profesor Madya Dr. Nina Suhaity Azmi.

Dalam pertemuan ini, Profesor Dr. Arun Gupta daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses turut memberi penerangan mengenai Animal-Based Halal Biochemistry Ingredients Extracts manakala Pengarah Pusat Kecemerlangan Bioaromatik,  Profesor Madya. Dr. Saiful Nizam Tajuddin menyampaikan taklimat mengenai Perfumery and Cosmeceutical Products.  

BIL. 54 NOV 2019

Kunjungan ini turut menyaksikan berlangsungnya majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMP dan Duzce Universiti (DU) Turki bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan khususnya terhadap pembangunan penyelidikan dan akademik.

Dalam MoU yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP Kampus Gambang itu, pihak DU Turki  diwakili Rektornya, Profesor Dr. Nigar Demircan Cakar serta Ketua Doktor, Universiti Hospital (Perubatan) Profesor Dr. Oner Abidin Balbay manakala Naib Canselor UMP, Profesor Dr. Ir. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari mewakili tuan rumah.

Profesor Dr. Ir. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama selain menyokong hubungan pendidikan tinggi antara institusi pendidikan tinggi serta menggalakkan pertukaran dan hubungan staf akademik, penyelidik dan pertukaran pelajar.

"Kedua-dua pihak mengharapkan supaya lebih banyak perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai bidang menerusi jaringan kerjasama ini,” katanya. 

BIL. 54 NOV 2019

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Profesor Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin.

Pihak DU turut berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi akademik dan penyelidikan melalui program Mevlana Exchange Protocol yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Turki bagi program mobiliti pelajar dan staf berserta perbincangan lanjut berkenaan peluang kerjasama program Erasmus

Program pertukaran Mevlana adalah program yang bertujuan pertukaran pelajar dan staf akademik antara institusi pendidikan tinggi Turki dan Institusi pendidikan tinggi di negara-negara lain.

DU yang mula ditubuhkan pada tahun 2006 kini mempunyai seramai 33 ribu pelajar. DU merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terletak  di wilayah Black Sea, Turki dan mempunyai 14 fakulti, empat institut, dua kolej, sepuluh sekolah vokasional dan beberapa pusat penyelidikan dan aplikasi serta hospital penyelidikan.


Jalinan Kerjasama

UMP dan PCMTBE jalin kerjasama strategik

UMP dan PCMTBE jalin kerjasama strategik

Peluang kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan PETRONAS Chemicals MTBE Sdn. Bhd. (PCMTBE) bakal memanfaatkan kedua-dua pihak dalam perkongsian teknologi, modal insan, kepakaran pengetahuan, pembangunan akademik dan pembangunan penyelidikan.

Perkongsian ini adalah untuk merangsang produktiviti dan inovasi terutamanya dalam bidang berkaitan rawatan sisa air serta pengkomputeran dinamik bendalir.

Majlis menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) oleh Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bersama Ketua Pegawai Eksekutif PCMTBE, Azlimi M. Lazim pada 1 November 2019 yang lalu di Gebeng, Kuantan. 

Turut sama hadir, Ketua Jabatan Perkhidmatan Teknikal PCMTBE, Hajah Salma M. Kassim dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMP, Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

UMP dan PCMTBE jalin kerjasama strategik

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, UMP komited untuk bersinergi dengan pihak industri bagi melaksanakan kerja-kerja perundingan, penyelidikan dan pembangunan dalam projek-projek bersama yang telah dan akan dikenal pasti. 

“Melalui kerjasama ini juga, UMP dalam jangka masa panjang berupaya menyumbang kepada kemajuan industri di negara ini dengan membangunkan bakat-bakat profesional dan teknokrat yang memenuhi keperluan industri. 
 
“Justeru, pihak pengurusan bersedia membuka ruang yang seluas-luasnya kepada tenaga akademik dari disiplin ilmu yang berkaitan untuk terlibat langsung dalam program latihan bagi memperkaya pengalaman teknikal dan meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang-bidang tersebut. Ini termasuklah peluang bagi staf industri menyambung pendidikan tinggi dan mengikuti kursus profesional (jangka pendek) di universiti ini.  
 
“UMP mempunyai tenaga akademik yang hampir 90 peratus daripada 800 staf akademik universiti mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dalam pelbagai bidang kepakaran Kejuruteraan dan Teknologi seperti Mekanikal, Pembuatan, Kimia, Sains Komputer termasuklah Kejuruteraan Jerman,” ujar beliau. 
 
UMP kini sedang merealisasikan agenda memindahkan teknologi kepada masyarakat serta meningkatkan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) aras tinggi bagi mengupaya kebolehan teknikal negara. 

Kelebihan UMP yang mempunyai Pusat Bahasa Moden dalam menawarkan pelbagai bahasa antarabangsa termasuklah penubuhan Confucius Institut (CI) dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Mandarin merupakan suatu keunikan.
 

UMP dan PCMTBE jalin kerjasama strategik

Profesor Ir. Dr Wan Azhar berkata, pihaknya juga berpeluang untuk membina kurikulum bersama dengan pihak industri yang dapat memberi nilai tambah kepada staf mereka terhadap pengembangan kerjaya. 

“Selain itu juga berupaya menjalankan penyelidikan bersama dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan industri,” katanya. 
 
Manakala menurut Azlimi, pihaknya mengalu-alukan kerjasama ini terutamanya dalam bidang teknikal khususnya melibatkan kepakaran Teknologi dan Kejuruteraan berkaitan operasi dan penyelidikan di organisasi tersebut.

Dalam pada itu, delegasi UMP turut diberikan taklimat keselamatan yang menjadi keutamaan dalam budaya kerja mereka di samping berpeluang menyaksikan sendiri operasi di loji PCMTBE di Gebeng. 

Hadir sama Pemangku Ketua Pustakawan, Dzull Zabarrod Ahmad dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Dr. Mohd. Bijarimi Mat Piah.


Rencana/Artikel Pilihan 

Industri Nadir Bumi dari Sudut Pandang Pembangunan Lestari (Bahagian II)

BIL. 54 NOV 2019

Oleh: PROFESOR MADYA DR.-ING. MOHAMAD RIZZA OTHMAN
e-Mel: rizza@ump.edu.my

Bahagian I telah diterangkan secara ringkas konsep pembangunan lestari, apa itu nadir bumi dan impaknya kepada ekonomi negara. Bahagian II pula akan membincangkan industri ini dari aspek alam sekitar dan sosial.

BIL. 54 NOV 2019

Impak Terhadap Alam Sekitar

Walaupun hadir secara semula jadi dalam alam sekitar, nadir bumi mempunyai sifat toksik dan boleh membawa kepada pelbagai implikasi kesihatan seperti kanser, masalah pernafasan, kehilangan gigi dan juga kematian. Walau bagaimanapun, elemen nadir bumi boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Oleh itu, sukar untuk mengklasifikasikan kesannya terhadap manusia kerana setiap satu elemen mempunyai sifat dan tahap ketoksikan yang berbeza. Sesetengahnya tidak berbahaya manakala yang lain menimbulkan risiko. Kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan untuk mengenal pasti tahap keselamatan untuk manusia. 

Industri nadir bumi banyak dikaitkan dengan kesan alam sekitar akibat dari aktiviti perlombongan and pemprosesan bijih nadir bumi seperti monazite dan xenotime. Kawasan di mana aktiviti ini dijalankan berkemungkinan menyebabkan pengumpulan NORM seperti thorium dan uranium. Selain itu, proses pengesktrakan bijih nadir bumi melibatkan penggunaan banyak bahan kimia seperti asid dan pelarut. Residu yang terhasil iaitu Water Leached Purification Residue (WLP) dan Neutralization Underflow Residue (NUF) berserta NORM tinggi jika tidak dirawat akan tersebar ke bawah tanah dan boleh memberi ancaman kepada kehidupan akuatik dan ekosistem lain di sekitar kawasan tersebut. 

Bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, kawalan terhadap aktiviti ini amat penting. Kerajaan China misalnya pada Mei 2010 telah melancarkan kempen menutup aktiviti perlombongan haram terutama di selatan China kerana terdedah kepada pelepasan residu ke dalam bekalan air awam. Malaysia juga pernah digemparkan dengan pencemaran radioaktif di Bukit Merah pada tahun 1982. Dilaporkan kos untuk memulihkan kawasan pemprosesan tersebut dianggarkan mencecah $100 juta. Pada tahun 2011, sebuah loji pemprosesan nadir bumi telah dibina di Kuantan, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), bagi memproses lanthanide pekat (lanthanides concentrate) yang dibawa dari Mount Weld di Australia. Selepas insiden loji nuklear Fukushima pada Mei 2011, industri nadir bumi di Malaysia terkena tempiasannya. Walaupun loji nuklear dan loji nadir bumi berbeza prosesnya, tetapi tetap berlaku protes terhadap aktiviti pemprosesan bijih nadir bumi tersebut. Mereka mendakwa, sisa thorium yang terkandung dalam bijih nadir bumi di LAMP akan terkumpul dan menyebabkan kesan radioaktif seperti insiden Bukit Merah. Penyiasatan yang dilakukan oleh panel The International Atomic Energy Agency (IAEA) di bawah PBB pada Jun 2011, bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa ketidakpatuhan piawaian keselamatan radiasi antarabangsa dalam projek tersebut. 

Baru-baru ini pula, sebuah jawatankuasa khas di bawah MESTECC telah ditubuhkan untuk menyiasat operasi LAMP atas desakan orang ramai. Mereka mendapati (i) operasi LAMP mematuhi standard keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (ii) LAMP menghasilkan dua residu utama iaitu WLP yang mengandungi NORM dan NUF pada kuantiti sangat tinggi (iii) LAMP menjalankan kajian kitar semula WLP dan NUF (iv) pendedahan pekerja terhadap hazad radiasi adalah di bawah tahap yang dibenarkan (v) terdapat peningkatan kepekatan logam berat. Di dalam kertas kerja tersebut, jawatankuasa khas telah mencadangkan beberapa perkara antaranya (i) membina tapak penstoran residu NUF (ii) mengenal pasti lokasi pembinaan fasiliti pelupusan kekal WLP jika tidak perlu dibawa keluar dari Malaysia (iii) menyediakan peruntukan untuk tujuan R&D. Sikap cakna masyarakat terhadap isu ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada pihak industri dan kerajaan agar lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam operasi kilang pemprosesan ini.

Di Amerika Syarikat pula, peraturan perlombongan nadir bumi lebih ketat menyebabkan semua aktiviti perlombongan dan pemprosesan nadir bumi ditutup. Namun, keadaan ini dijangka berubah akibat dari perang ekonomi Amerika Syarikat-China. Sementara itu, di beberapa buah negara lain, tiada peraturan perlombongan dan pemprosesan nadir bumi yang jelas menjadikan aktiviti ini lambat berkembang dan tidak terkawal. Jelas sekali, industri ini memerlukan kerjasama dalam dan luar negara bagi merangka polisi meminimakan kesannya terhadap alam sekitar serta memperkukuhkan rantaian bekalan antarabangsa. 

Tanggungjawab Sosial

Mana-mana negara perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Peluang tersebut boleh dibuka melalui penerokaan dan pembukaan perusahaan atau industri tempatan seperti Proton, TNB, PETRONAS, YTL, Farm Fresh dan banyak lagi. Selain itu, peluang pekerjaan dalam negara juga turut disumbang oleh pelabur luar melalui pembukaan operasinya di Malaysia. Peluang pekerjaan tersebut bukan sahaja datang dari operasi kilang bahkan akan berkembang ke kontraktor, subkontraktor sehinggalah ke perusahaan kantin. Justeru, Malaysia hendaklah dilihat sebuah negara yang menawarkan prospek dan polisi yang mesra pelabur agar dapat menarik minta mereka melabur di sini. Menutup operasi pemprosesan nadir bumi sedia ada di Malaysia tanpa sebarang tindakan kawalan dan intervensi bukanlah satu tindakan yang baik kerana ini akan memberi persepsi yang buruk kepada pelabur luar yang berpotensi.

Sebagai bahan asas kepada pelbagai industri, nadir bumi akan memberikan satu lonjakan baharu bagi meningkatkan daya saing negara di peringkat global seperti mana berlaku dalam industri minyak dan gas, getah serta kelapa sawit. Jika penglibatan negara dirancang secara teratur dan holistik, industri ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, mengembang bidang Penyelidikan dan Inovasi, melahirkan ilmuan dan tenaga mahir serta mengembangkan industri huluan dan hiliran negara.

Contohnya, bekalan nadir bumi yang mudah diperoleh dalam negara akan menggalakkan para penyelidik dan perusahaan tempatan menggunakannya untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan produk. Kenderaan elektrik dan tenaga hijau antara projek berprospek tinggi untuk dibangun dan dikembangkan di Malaysia. Secara tidak langsung, kerancakan penyelidikan dan pembangunan ini akan melahirkan lebih ramai pakar bidang serta tenaga mahir yang merupakan elemen penting dalam k-ekonomi dan agenda TVET. Mereka inilah kelak yang akan mengembangkan inovasi negara dalam membangunkan produk-produk berteknologi tinggi selain mengeksport kepakaran negara dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pakar dari luar. 

Apa yang berlaku di LAMP, memberikan nafas baharu dalam kawalan, penguatkuasaan dan amalan terbaik industri perlombongan dan pemprosesan galian. Selain nadir bumi, isu ini juga secara tidak langsung memberi kesan kepada industri perlombongan dan pemprosesan galian lain seperti bauksit, besi, timah dan emas. Pengusaha akan memastikan operasi mereka berjalan dengan baik dan mematuhi peraturan berkaitan Safety, Health and Environment (SHE)  kerana industri ini bukan lagi kecil atau tersorok tetapi industri yang berpotensi dan mendapat perhatian ramai pihak. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan di  Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 


Rencana/Artikel Pilihan

Mengarus Perdana Progam TVET Aras Tinggi Transformasi Minda Berkemahiran Tinggi 

BIL. 54 NOV 2019Oleh  : Ts. Mohammad Affendy Omardin
e-Mel: affendi@ump.edu.my

BIL. 54 NOV 2019

Bagi menjayakan transformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050, Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai satu suntikan penerokaan minda tenaga kerja tempatan dalam menghidupkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Ratusan ribu pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal bakal menghidupkan alam TVET menjelang 2020. TVET dilihat sebagai pencetus masyarakat berkemahiran tinggi.

Sejak dahulu lagi, pendidikan negara kita yang berteraskan kepada menulis, membaca dan mengira (3M) merupakan kelayakan asas bagi seorang pelajar. Pendekatan 3M diperhalusi dengan menganalisa mengimaginasi, menerokai, mempelopori, memasarkan, serta berkebolehan mengenal pasti dan menyelesaikan masalah. Pemikiran asas tinggi mencorak manusiawi pelajar yang akan meningkatkan sifat kemanusiaan dan ciri hidup yang mulia supaya seseorang pelajar memiliki keperibadian yang lebih unggul.

Bidang TVET menyediakan pembelajaran pendidikan dan latihan kemahiran yang merupakan satu suntikan ke arah menjadi produk komersial. TVET perlu dilihat sebagai satu pendekatan pendidikan yang mengiktiraf seseorang supaya mempunyai kepelbagaian kecerdasan dan kemahiran psikomotor. Graduan TVET dilihat mempunyai kekuatan kemahiran dan kemahiran vokasional dan teknikal mampu menjana keperluan industri masa kini. 

Imej TVET perlu dilihat sebahagian bidang profesional di mana pekerja yang terlibat mempunyai kemahiran yang tinggi dan mampu menerokai kerja dalam bidang yang kategorikan dirty, difficult and dangerous (kotor, bahaya dan sukar) (3D). Disamping itu bidang TVET mempunyai masa depan yang cerah, sekaligus menangkis tanggapan masyarakat bahawa TVET adalah sesuai untuk kerja-kerja 3D sahaja. Bidang TVET dilihat secara keseluruhannya yang cukup mencabar dimana ianya memerlukan seseorang itu mempunyai daya ketahanan mental yang kuat. Oleh itu, bagi memperkasakan pendidikan tinggi TVET, pendekatan strategi utama perlu dibangunkan menerusi pembangunan teknologi, kopentensi bakat, peningkatan visibiliti, pemerkasaan pembelajaran serta pengajaran yang merangsang minda ke arah teknologi baharu. 

TVET Aras Tinggi

Dana Wibawa Pendidikan TVET dan program Bootcamp adalah satu usaha menjadikan TVET aras tinggi. Pemerkasakan kopetensi  tenaga pengajar menerusi program upskilling dan reskilling adalah bertujuan merealisasikan agenda pendidikan TVET aras tinggi. Pendidikan TVET dilihat berkembang dengan adanya Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). TVET di MTUN berperanan sebagai penggerak pembelajaran yang berfungsi sebagai kilang pengajaran (teaching factory) sekali gus membolehkan graduan MTUN sentiasa bersedia untuk industri (industri ready). Selain memperkasakan ekosistem TVET, jaringan industri dan universiti mampu menjayakan hasrat negara dalam mencapai status negara maju 2030. Bantuan geran akan melatih bakal graduan dan menggalakkan pemindahan teknologi dari universiti kepada masyarakat menerusi sokongan dana industri dan aktiviti penyelidikan di institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini. 

Pendidikan TVET perlu diberi sebagai laluan penuh untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovasi dan mampu menghadapi saingan dan risiko-risiko pada peringkat global dan serantau selaras dengan keperluan semasa. Peruntukan dalam Belanjawan 2020 membolehkan TVET direalisasikan melalui pemerkasakan TVET dengan menaiktaraf peralatan, pengambilan tenaga pengajar yang berpengalaman dan kerjasama strategik dengan industri tempatan dan antarabangsa. 

TVET sebagai Pilihan Utama dan Versatil

TVET tidak perlu lagi dilabelkan sebagai bidang yang dipinggirkan kerana ia mampu menyediakan bidang pekerjaan, sekali gus menjadi pilihan utama. Ini kerana, TVET selalu digambarkan sebagai pilihan kedua, ketiga atau terakhir berbanding bidang akademik yang sering kali menjadi rebutan pelajar sekolah untuk melanjutkan pelajar ke institusi pengajian tinggi negara ini. TVET harus dijadikan sebagai pilihan utama dan semua peneraju TVET perlu komited dalam melahirkan tenaga berkemahiran seiring negara maju. 

Nilai versatil dan kebolehpasaran graduan TVET perlu dijenamakan untuk mencapai satu keupayaan kearah dorongan industri (industry driven). Sehubungan itu, seharusnya peluang ini dicapai bagi menempah penempatan kerjaya semasa industri yang menuju kearah automasi dan mekanisasi seiring era IR4.0.

Pendidikan TVET harus dijenamakan sebagai versatil supaya dilihat sebagai bidang pengajian yang setaraf dengan pendidikan berteraskan akademik. Penekanan yang lebih harus diberikan dalam meyakinkan masyarakat bahawa graduan TVET turut mempunyai masa hadapan yang cerah.  Ia dapat membantu negara dalam mencapai lebih 30 peratus pekerjaan mahir pada tahun 2020. Graduan TVET diharap dapat mencipta pelbagai pekerjaan baharu, selain memenuhi pasaran peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta. Ramai graduan yang telah dilatih dalam TVET kini bekerja dalam suasana bilik berhawa dingin dengan menerima gaji yang menarik. Oleh itu, penjenamaan TVET sebagai versatil dilihat mampu melahirkan graduan TVET yang berketerampilan untuk perjawatan peringkat pengurusan tertinggi dan profesional. 

BIL. 54 NOV 2019

Bidang TVET Mampu Menyediakan Peluang Pekerjaan Lebih Tinggi

Laluan kerjaya graduan TVET dilihat boleh mengubah perspektif pendidikan teknikal negara iaitu dengan mengubah kurikulum pembelajaran dan pengajaran supaya memfokuskan lebih 60 peratus kepada  TVET. IR4.0 dilihat sebagai satu perintis pelajar kepada TVET untuk menerokai sistem robotik dan teknologi baharu. Aktiviti bernilai tinggi seperti teknologi termaju pembinaan, industri elektrikal dan elektronik mampu menjana ekonomi digital berasaskan generasi kelima dan industri 4.0. Selain itu, pemerkasaan penggunaan teknologi seperti Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) dapat membiasakan pelajar TVET dengan dunia pekerjaan dan latihan.

TVET Perintis Pekerjaan Digital

Perkembangan pesat dunia digital hari ini memerlukan tenaga akademik teknikal meningkatkan lagi kemahiran pembelajaran seiring abad ke-21. Penjenamaan semula bidang TVET mampu menjadikan bidang TVET sebagai ikon pekerjaan teknikal yang elegan. Bidang pendidikan TVET negara perlu dipertingkatkan lagi dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berteknologi digital selari dengan keperluan IR4.0. Kurikulum TVET harus mewujudkan dengan mengambil kira prinsip dalam era digital.

Strategik TVET 

Institusi TVET perlu diselaraskan dengan kerjasama pintar bersama pemain industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran. Penjanaan kewangan kepada pelatih TVET mampu menghasilkan tenaga kerja berkualiti. Graduan kemahiran teknikal perlu diterap dengan pengetahuan teknologi selaras dengan arus kemajuan industrialisasi semasa. Kerjasama dan kesepakatan industri perlu dipertingkatkan dan menguntungkan kedua-dua pengamal TVET. Pendedahan teknologi terkini seperti teknologi mesin berkapasiti tinggi, sistem dan aplikasi perkomputeran, dan strategi pemasaran serta perniagaan berasaskan teknikal. 

Memperkasakan TVET

Bagi meluaskan TVET aras tinggi, pelbagai program teknikal ditawarkan oleh jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Kualiti pendidikan aras tinggi dan penyelidikan teknikal oleh akademia boleh meningkatkan pendidikan dan pembangunan kurikulum TVET pada peringkat nasional dan global. Transformasi digital perlu diperkenalkan bertujuan mempersiapkan graduan TVET bagi pasaran kerja dalam pengeluaran pintar. Selain itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut memberi peruntukan bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC). 

BIL. 54 NOV 2019

Mengangkat Martabat dan Kepakaran TVET

Tenaga kepakaran dalaman yang dimiliki sesebuah universiti di samping tahap kecekapan dan jaringan kerjasama di antara industri yang berkolaborasi akan menyumbangkan kepada sektor pekerjaan yang berpotensi tinggi dalam kebolehpasaran graduan yang kompeten. 

TVET dilihat mampu memberikan keyakinan, daya saing, kebolehpasaran, dan menyerlahkan pencapaian pelajar. Kurikulum dan tenaga pengajar akademia yang bijak menggunakan kaedah dan peralatan digital turut dapat menarik minat pelajar dalam mendalami kursus pilihan. 

TVET perlu menjadi pilihan pembelajaran teknikal dan vokasional yang elegan dan mempunyai tarikan yang tersendiri. Graduan tetap memilih dan mempelopori  bidang pekerjaan ini walaupun kotor, bahaya dan sukar kerana gaji dan ganjaran yang lumayan. Ia sepadan dengan keringat dan tenaga yang dicurahkan graduan. Majikan harus mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan teknikal graduan TVET. Ini kerana, graduan TVET mampu menepati keperluan yang diperlukan majikan selaras dengan inisiatif kerajaan yang mahukan pembelajaran TVET dalam arus perdana. Pengiktirafan TVET menjadikan graduan TVET serba boleh, tidak kira dalam akademik atau kemahiran teknikal. Justeru, bakal graduan TVET perlu dilengkapi dengan kemahiran teknoprenuer dan kreatif agar menjadi pilihan utama majikan pada masa akan datang.

Pembudayaan TVET, Pangkalan Ilmu Teknologi dan Kreatif

TVET perlu diperkasakan menerusi industri baharu yang berkaitan future of work sebagai bandar integrasi sebagaimana Silicon Valley di negara maju. Ini mampu untuk menjadikan TVET sebagai hub ke arah inovasi berteknologi tinggi dan pembangunan teknikal saintifik.

Penjenamaan Profesion Unggul dengan TVET 

Menceburi bidang TVET dengan penjenamaan baharu membolehkan kerjaya TVET diiktiraf dan dikenali oleh industri. Graduan TVET perlu menjadi pemula dalam mencipta peluang baharu dan produk inovasi seiring kemahiran yang dimiliki. Graduan yang bakal dihasilkan bukan sahaja pakar dalam bidang akademik malah berketerampilan dalam bidang teknikal dan vokasional. Selain itu, bakat, idea dan inovasi teknikal  bersepadu dapat meningkatkan kemahiran dan kreativiti bakal graduan TVET. Oleh itu, graduan  TVET yang dilahirkan lebih holistik dengan ciri-ciri keusahawanan, berdaya memimpin; berbakat cemerlang dan mampu menjadi kepimpinan TVET. 

Pengiktirafan TVET 

Pengiktirafan perlu diberikan kepada tenaga akademia teknikal, dan pengajar vokasional dan teknikal agar berdiri setaraf pengamal TVET pada peringkat global. Perubahan kurikulum TVET di institusi pembelajaran TVET menerusi pembelajaran yang relevan mengikut kehendak semasa, seterusnya diterapkan dalam pembelajaran. Akademia perlu memperkasakan TVET menerusi teoritikal, teknikal dan praktikal dalam bidang teknik dan vokasional. Pembangunan silibus perlu seiring dengan kehendak industri masa kini. Rakan strategik terdiri daripada pemain industri dari dalam dan luar negara perlu mengiktiraf pembangunan TVET. Pengiktirafan akreditasi di bawah Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) dan Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC) dan Lembaga Teknologis Malaysia dan Lembaga Jurutera Malaysia dilihat mampu memperkasa program berasaskan TVET. 

Graduan dan perintis TVET harus mendapat peluang penempatan di industri. Justeru, penempatan latihan industri perlu diperhebatkan lagi. Program-program seperti kerjasama pintar bersama organisasi yang telah berjaya menempa nama pada peringkat nasional mahupun global bukan sahaja mampu meningkatkan nilai kebolehpasaran penuntut TVET bahkan menambah baik ekosistem pendidikan negara. 

Menjenamakan Pekerjaan 3D 

Bidang pendidikan teknikal, latihan bidang kritikal dan sektor pekerjaan kotor, bahaya dan sukar (3D) perlu ditambah baik dan diperhebatkan lagi. Bidang-bidang kritikal boleh merangsang minat graduan bagi melahirkan pekerja teknikal tempatan yang mahir. Peruntukan yang tinggi daripada kerajaan dapat menaiktaraf peralatan dan melantik tenaga pengajar daripada industri sekali gus meningkatkan taraf TVET. 

Nilai tambah kejayaan organisasi berdaya cemerlang perlu mengubah senario tempat kerja yang kondusif, selesa dan selamat. Organisasi juga perlu mencungkil tahap kebolehan dan bakat bagi memberikan keseronokan bekerja.

Ubah persepsi kerjaya 3D sebagai satu bidang yang mencabar minda. Sudah sampai waktunya, pihak kerajaan, akademia dan industri mengembalikan minat graduan dan rakyat tempatan terhadap kerja-kerja teknikal dan bidang 3D. 

Setiap tahun pembelajaran teknikal semakin mencabar terutama pendekatan teknikal dan vokasional. Oleh itu, persepsi negatif terhadap kerjaya 3D harus diubah dengan pendekatan mendalam.  

BIL. 54 NOV 2019

Terapkan Budaya 3R 

Pengamal TVET haruslah berfikir berasaskan kerja-kerja penyelenggaraan iaitu yang mengutamakan kerja-kerja memperbaiki, mengganti dan memulihkan (3R) dalam mana-mana bidang TVET yang diceburi supaya boleh berfikir dengan kreatif dan kritikal. 

Menaik Taraf Kemudahan

Pelbagai jenis kemudahan seperti kemudahan tempat pengajaran dan pembelajaran TVET perlu dipertingkatkan lagi. Pencapaian Internet iaitu sewaktu melayari laman sesawang juga perlu ditambah baik agar lebih laju. Selain itu, kemudahan seperti bilik kuliah yang lebih moden dan makmal berteknologi tinggi dan maju perlu diwujudkan agar dapat menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang TVET. 

Sektor ekonomi teknikal negara perlu dijana oleh warga tempatan sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing. Ini dapat melestarikan dan memperkasakan TVET. Bidang TVET mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang berpotensi pada peringkat nasional bagi mengharung IR4.0. Kerjasama dari semua pihak berkepentingan dan membolehkan TVET sebagai pendidikan dan kerjaya pilihan utama pada masa depan. Peredaran teknologi terkini dalam latihan industri membolehkan pembudayaan TVET dan graduan berkemahiran tinggi diiktiraf dan terkenal bukan sahaja dalam negara malah di seantero dunia. 

TVET dan Landskap Komuniti 

TVET dilihat mempunyai potensi melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi sekali gus mengukuhkan potensi negara bagi pembangunan masa depan. Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi mampu melonjak ke arah aktiviti nilai tambah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang-bidang berkenaan. TVET melalui komuniti harus berusaha menyokong perusahaan kecil dan sederhana yang boleh mewujudkan 150,000 pekerjaan berkualiti tinggi dan mengukuhkan ekosistem pembuatan dan perkhidmatan negara. Aktiviti yang bernilai tinggi dalam industri elektrik dan elektronik juga  mampu menaikkan TVET ke arah kemahiran digital berasaskan generasi kelima dan industri 4.0. 

TVET dan Keusahawanan

Graduan TVET perlu mempunyai ciri-ciri keusahawanan iaitu mampu mencari dan mencipta sendiri pekerjaan, selain berkebolehan membuka dan menguruskan perniagaan sendiri. MTUN boleh melahirkan graduan dengan bakat teknikal ke arah membangun ekonomi. Ia juga mampu menyediakan graduan dengan tahap kebolehpasaran yang tinggi bagi menjayakan agenda TVET iaitu melahirkan golongan muda yang berkerjaya dan profesional. TVET dilihat sebagai satu bidang yang mampu mempelopori inovasi yang bakal menghasilkan paten dan inovasi pengkomersialan yang akhirnya dapat memberi pulangan kepada negara. 

Penyaluran Dana TVET Pendidikan 2020

Pembentangan Belanjawan 2020 memperlihatkan sokongan kerajaan menerusi pertambahan peruntukan bagi memperkasakan program TVET. Peruntukan RM5.9 biliion akan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu dalam dunia pekerjaan. 

Sehubungan itu, melalui penyaluran dana itu mampu menggalakkan kemajuan bidang TVET dan membantu melahirkan lebih ramai tenaga industri yang mahir. Pertambahan elaun sebanyak RM100 dalam belanjawan 2020 untuk pelatih TVET disifatkan langkah positif dan meringankan perbelanjaan semasa menjalani latihan industri. Golongan muda yang menyertai bidang TVET juga akan meningkat. 

Dana TVET seperti MyBrain15 boleh menjadi satu landasan untuk melahirkan lebih ramai pakar TVET yang berintelek terutama pendidikan TVET pada peringkat Sarjana, Doktor Falsafah (phD) serta Doktor Kejuruteraan. Pendedahan kepada dunia pekerjaan yang sebenar boleh dirasai sendiri oleh pelatih TVET melalui penempatan latihan industri. Ini kerana, penempatan latihan industri merupakan satu elemen terbaik untuk memberi pendedahan kepada pelatih TVET untuk mengendalikan peralatan berteknologi tinggi yang digunakan dalam industri sebenar sejajar dengan kehendak majikan. 

TVET sebagai Ikon Teknikal Negara

Bakal-bakal graduan TVET dilihat mampu menghadapi perubahan ke arah ekonomi digital iaitu Revolusi Perindustrian 4.0 serta mendukung aspirasi kerajaan selaras dengan Matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kemuncak kepada semua teras TVET adalah dapat melahirkan graduan teknikal yang dinamik, progresif, berketerampilan, berimej versatil dan hands-on bagi mewarnai landskap TVET yang profesional. Penempatan TVET menerusi inisiatif Malaysia Kerja mampu mewujudkan lebih ratusan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang.

Newsletter Image
BIL. 54 NOV 2019