Teater UMPSA ‘Hentian Sebelah' tambat hati penonton
PEKAN, 17 Mei 2026 – Pementasan teater bertajuk ‘Hentian Sebelah’ berjaya mencuri perhatian warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi jalan cerita yang sarat dengan emosi, nilai kemanusiaan dan realiti kehidupan masyarakat.
Teater yang dipentaskan dengan jayanya di Dewan Kuliah 1, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) itu merupakan karya alumni UMPSA iaitu Aliff Adzham.
Ia menampilkan kisah kehidupan beberapa individu yang dipertemukan di dalam sebuah bas, masing-masing membawa kisah, harapan dan konflik tersendiri.
Dengan gabungan elemen drama, humor dan mesej sosial, pementasan tersebut berjaya memberi impak mendalam kepada penonton.
Menurut Pengarah Teater, Ahmad Idlan Ahmad Rafee yang merupakan pelajar tahun 2, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), pada asalnya beliau mengharapkan agar produksi ‘Hentian Sebelah’ ini menjadi sebuah hentian bagi ahli Kelab Senandika daripada projek, makmal malah konflik yang dialami sebagai pelajar.
“Saya harap pementasan ini menjadi sebuah hentian untuk mereka menjadi diri mereka sendiri dan menonjolkan bakat masing masing melalui medium seni di samping keluarga produksi Senandika yang saling menyokong satu sama lain.
“Kemahiran seni penyampaian lisan yang dijadikan salah satu objektif pementasan ini semetinya telah digilap dalam kalangan ahli produksi.
“Namun, di sini juga saya melihat kemahiran teknikal yang dipraktikkan oleh ahli produksi terutamanya bagi mendirikan sebuah pentas realisme yang melibatkan pertukangan kayu, besi, serta kemahiran pendawaian elektrik,” ujarnya.

Katanya lagi, kemahiran teknikal ini diajar dan dilaksanakan merentasi bidang bagi setiap ahli produksi tanpa mengira fakulti dan kepakaran masing masing dengan tujuan menjayakan pementasan ini bersama-sama
Hentian Sebelah bukan sekadar sebuah persembahan seni, tetapi juga medium untuk menyampaikan mesej tentang perjuangan hidup dan kepentingan memahami manusia daripada pelbagai latar belakang.
Penonton bukan sahaja terhibur tetapi turut berfikir dan menghayati mesej yang disampaikan.
Manakala menurut Pengarah Bersama, Muhammad Amirul Danial Ramzuzzaman yang juga merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), ini merupakan pengarahan pertama beliau dan banyak cabaran yang perlu dihadapi serta ditangani.
“Banyak cabaran dari segi komunikasi, cara kerja dan sebagainya.
“Namun, itulah pelajaran dan pengajaran yang menjadi batu loncatan untuk kami sama-sama menjayakan pementasan ini,” ujarnya.
Gandingan dua pengarah ini turut mengharapkan slogan ‘teater memanusiakan manusia’ mampu memberi pengajaran yang bermakna kepada produksi ini melalui bakat dan kemahiran yang digilap agar terus mekar menjadi asas rujukan para penggiat seni teater UMPSA yang bakal melaksanakan produksi akan datang.
Seramai 300 orang penonton yang hadir kedua-dua hari pementasan yang terdiri daripada pelajar UMPSA, orang awam, pelajar sekolah dan alumni.
Menurut salah seorang penonton dari Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darussalam Al-Mukhtar Pekan, Nur Qiyra Batrisha Redzuan, teater tersebut berjaya menyentuh emosi dan memberikan pengalaman berbeza buat dirinya.
“Saya rasa sangat seronok kerana pertama kali menonton teater.
“Jalan cerita Hentian Sebelah ini sangat menghiburkan.
“Banyak babak yang lucu, tetapi dalam masa sama memberi kesan mendalam,” katanya.
Tenaga produksi pementasan ini terdiri daripada 35 orang pelajar UMPSA.
Teater ini dianjurkan bagi memperkasakan seni persembahan dalam kalangan mahasiswa di samping menjadi platform untuk mengetengahkan bakat kreatif pelajar UMPSA dan membuktikan bahawa seni teater masih relevan sebagai medium komunikasi yang mampu menyatukan melalui cerita dan emosi yang dikongsi bersama.
Turut hadir meraikan pementasan ialah Pengarah Pusat Kebudayaan (PusKeb) UMPSA, Mohd Zaki Ahmad.
Beliau menyatakan penghargaan terhadap usaha mahasiswa dalam mengangkat seni teater sebagai medium pendidikan dan pembangunan sahsiah.
“Pementasan Hentian Sebelah ini mampu menjadi platform terbaik untuk mahasiswa mengembangkan bakat, meningkatkan keyakinan diri serta menyampaikan mesej positif.
“Teater bukan sekadar hiburan, tetapi ruang untuk mahasiswa belajar berkomunikasi, memahami emosi manusia dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Saya berharap lebih banyak karya kreatif seperti ini dapat diketengahkan pada masa akan datang,” katanya.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Kebudayaan
- 57 views
Reports by: