Skip to main content

UMPSA anjur Bengkel Teknik Vokal gilap bakat nyanyian pelajar

GAMBANG, 17 Mei 2026 - Kelab Sigma Melody di bawah naungan Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan satu Bengkel Teknik Vokal yang telah berlangsung pada 17 dan 18 Mei baru-baru ini.

Program dua hari itu memberi fokus kepada pembangunan kemahiran asas dan lanjutan dalam teknik vokal, termasuk kawalan pernafasan, intonasi, serta artikulasi yang berkesan.

Bengkel dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman dalam bidang vokal dan seni persembahan, dengan pendekatan latihan praktikal yang intensif. 

Para pelajar turut diberi peluang menjalani sesi latihan secara individu dan berkumpulan bagi memperkukuh keyakinan serta ekspresi vokal mereka. 

Selain itu, penganjuran bengkel itu turut memberi manfaat kepada pelajar, khususnya dalam meningkatkan kemahiran vokal secara profesional di samping mengasah keyakinan diri ketika membuat persembahan atau pengucapan awam. 

UMPSA anjur Bengkel Teknik Vokal gilap bakat nyanyian pelajar

Kemahiran ini bukan sahaja penting dalam bidang seni dan budaya, malah memberi kelebihan dalam pembentangan akademik, aktiviti kokurikulum dan dunia kerjaya kelak. 

Di samping itu juga, pelajar mendapat peluang untuk berinteraksi dan membina jaringan bersama jurulatih serta rakan pelajar yang mempunyai minat yang sama. 

Perkongsian pengalaman dan teknik daripada jurulatih turut menyumbang kepada pengetahuan serta meningkatkan motivasi pelajar untuk terus mengasah bakat. 

Penasihat Kelab Sigma Melody, Muhammad Fakhruddin Fadzilah berkata, dalam jangka masa panjang, inisiatif seperti ini berpotensi melahirkan kumpulan bakat vokal universiti yang lebih kompeten dan berdaya saing, sekali gus menyokong pembangunan program kebudayaan rasmi universiti. 

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan penyertaan pelajar dalam pertandingan seni suara di peringkat lebih tinggi dan membentuk graduan yang lebih yakin, komunikatif serta bersedia menghadapi alam pekerjaan. 

“Program seperti Bengkel Teknik Vokal ini bukan sahaja mencungkil bakat pelajar, tetapi juga menyokong usaha universiti dalam melahirkan graduan holistik serta membuka potensi jangka panjang dalam bidang seni dan budaya yang boleh dikembangkan sebagai nilai tambah kepada university,” ujarnya. 

Manakala menurut Presiden Kelab Sigma Melody yang juga merupakan mahasiswa tahun 4 dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Adib Amirin Azman berkata, penganjuran bengkel seperti ini sangat memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus aktif dalam pembangunan bakat dan aktiviti seni budaya universiti. 

“Kami berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berbakat, yakin dan mampu membawa nama universiti ke peringkat lebih tinggi” ujarnya. 

Secara keseluruhannya, kesemua peserta dibimbing secara rapat oleh jurulatih vokal sepanjang sesi latihan bagi memastikan setiap peserta memperoleh kefahaman serta penguasaan teknik vokal yang baik. 

Oleh itu, penganjuran bengkel teknik vokal ini membuktikan bahawa pelajar dalam bidang Teknikal dan Kejuruteraan juga mampu aktif serta menyerlah dalam bidang seni dan kebudayaan. 

Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri