UMPSA anjur Konvensyen Perkongsian Amalan Terbaik Pasca Mobiliti Staf 2025
GAMBANG, 5 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Konvensyen Perkongsian Amalan Terbaik Pasca Program Mobiliti Staf UMPSA dengan kehadiran hampir 200 orang staf universiti.
Program ini bertujuan menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman serta amalan terbaik hasil penyertaan staf dalam program mobiliti di dalam dan luar negara.
Konvensyen ini melibatkan seramai 20 orang pembentang yang membentangkan dapatan serta impak program mobiliti masing-masing menerusi enam sesi selari yang berlangsung di bilik berasingan.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pendaftar UMPSA, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim yang menzahirkan penghargaan kepada semua pembentang dan peserta serta menekankan kepentingan pemindahan dan pengayaan ilmu secara menyeluruh agar manfaat program mobiliti dapat diperluaskan kepada seluruh warga universiti.
Seterusnya, ucaptama dan perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program mobiliti bukan sahaja meningkatkan kompetensi individu, malah berupaya memperkukuh jaringan kolaborasi strategik serta memperkasa kecemerlangan institusi secara holistik dan mampan.
Dalam sesi khas bersama Naib Canselor, tiga pembentang terpilih telah diberi peluang membentangkan dapatan utama di hadapan beliau, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin@Murad, Pengarah
Pusat Teknologi Digital, Ts. Mohd Rashid Abu Bakar dan Penolong Pegawai Tadbir, Mohd Khairulnazri Saidi.
Pembentangan tersebut merangkumi impak pelaksanaan mobiliti terhadap pengajaran dan pembelajaran, pengurusan akademik serta pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa.
Pada majlis yang sama, turut dilancarkan e-dokumen Inisiatif Mobiliti Staf UMPSA 2025: Amalan Terbaik dan Pelan Tindakan yang merupakan dokumentasi rasmi universiti bagi merekod dan memusatkan maklumat pelaksanaan Program Mobiliti Staf Tahun 2025 di bawah Agenda Transformasi 1: Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu, selaras dengan Amanat Naib Canselor UMPSA Tahun 2025.
Dokumentasi ini disusun secara sistematik merangkumi latar belakang program, maklumat penyertaan staf, amalan terbaik serta pelan tindakan susulan.
Ia diwujudkan sebagai repositori strategik universiti yang berfungsi memperkukuh tadbir urus, pembangunan bakat, jaringan kerjasama serta amalan kerja di UMPSA secara menyeluruh berdasarkan dapatan dan cadangan amalan terbaik yang dikemukakan oleh para peserta program mobiliti.
Sebelum program diteruskan dengan sesi selari di enam bilik berbeza, naib canselor turut menyampaikan rumusan keseluruhan dengan menekankan keperluan tindakan susulan yang berfokus dan berimpak tinggi agar setiap dapatan mobiliti diterjemahkan kepada inisiatif strategik yang menyumbang secara langsung kepada kecemerlangan universiti.
Program diakhiri dengan sesi taklimat oleh Pengarah Pusat Jaringan Global UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi yang berkongsi hala tuju pengantarabangsaan universiti serta perancangan mobiliti staf pada masa akan datang.
Penganjuran konvensyen ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasa pembangunan bakat staf serta memastikan setiap pelaburan dalam program mobiliti memberikan pulangan strategik yang signifikan kepada universiti dan pemegang taruh.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 12 views
Reports by: