Skip to main content

UMPSA tuan rumah Sambutan Hari AIDS Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pahang, perkukuh kesedaran dan hapuskan stigma HIV/AIDS

PAYA BESAR, 25 November 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah Sambutan Hari AIDS Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Kampus Paya Besar, dengan menghimpunkan pelbagai agensi, komuniti dan warga universiti dalam usaha memperkukuh kesedaran mengenai HIV/AIDS serta membudayakan sikap prihatin tanpa stigma dan diskriminasi terhadap individu yang hidup dengan HIV.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Mohd Rahim Sulong diiringi oleh Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud.

Mengangkat semangat perjuangan menentang stigma melalui tema aktiviti ‘The Red Walk Against Stigma’, sambutan ini bukan sekadar platform penyebaran maklumat kesihatan, malah menjadi wadah untuk menggalakkan masyarakat memahami kepentingan pencegahan, saringan awal, akses kepada rawatan serta sokongan kepada komuniti yang terkesan dengan HIV/AIDS.

Pengisian program dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan pendaftaran peserta dan petugas, diikuti aktiviti senamrobik sebelum peserta dilepaskan bagi menyertai aktiviti Briskwalk – The Red Walk Against Stigma pada jam 8.00 pagi.

UMPSA tuan rumah Sambutan Hari AIDS Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pahang, perkukuh kesedaran dan hapuskan stigma HIV/AIDS

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dan berinformasi disediakan termasuk Pertandingan Pentas Ekspresi, Pertandingan Reka Poster dan Slogan Kreatif, Explorace serta Kuiz Interaktif Kahoot. 

Pengisian turut diserikan dengan sesi Pocket Talk bertajuk ‘Ending AIDS Starts with Access’ yang disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Bandar Kuantan, Dr. Zulkifli Harun dan ‘Turning Awareness into Action’ oleh Kaunselor HIV/AIDS, AyieTDF. 

Menariknya, sambutan ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan dan pameran agensi bermula jam 8.30 pagi yang melibatkan Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kelab Rakan Muda (KBS), KOMITED Malaysia, perkhidmatan berkaitan PrEP dan ubat HIV, kempen derma darah serta Gender Dysphoria Interest Group.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan saringan kesihatan dan menyertai aktiviti luar dewan yang dikendalikan oleh pasukan Dental Mobile Team serta Wellness on Wheels (WoW), selain mengunjungi pelbagai reruai jualan yang turut memeriahkan sambutan.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Dr. Mohd Rahim Sulong yang turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap komitmen serta sokongan padu mahasiswa dan barisan pensyarah UMPSA sehingga tertubuhnya Kelab PROSTAR UMPSA pada tahun lalu.

Menurut beliau, penubuhan kelab tersebut merupakan satu langkah yang amat bermakna dalam usaha memperkasakan peranan mahasiswa sebagai rakan strategik dalam menyebarluaskan kesedaran dan pendidikan kesihatan, khususnya berkaitan HIV/AIDS dalam kalangan komuniti kampus.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan aktif golongan mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan maklumat kesihatan yang tepat, sekali gus membantu membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan, prihatin dan bebas daripada stigma serta diskriminasi terhadap individu yang hidup dengan HIV.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Borneo, sesi bergambar kenangan bersama tetamu kehormat dan jawatankuasa pelaksana serta lawatan ke tapak reruai sebelum jamuan makan tengah hari.

Penganjuran Sambutan Hari AIDS Sedunia 2026 Peringkat Negeri Pahang di UMPSA ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda kesihatan awam melalui pendidikan, advokasi dan penglibatan komuniti.

Usaha ini diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa HIV/AIDS bukan alasan untuk meminggirkan seseorang, sebaliknya memerlukan pendekatan berasaskan ilmu, empati, sokongan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

Bersama-sama kita hapuskan stigma, tingkatkan kesedaran dan membina komuniti yang lebih prihatin terhadap HIV/AIDS.

Oleh: WALLID WAHIDI HAMZAH, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim