Kembara Eksplorasi Asean Yayasan UMP santuni komuniti Islam di Kemboja
PHNOM PENH, 17 November 2023 - Yayasan Universiti Malaysia Pahang telah melaksanakan program Kembara Eksplorasi Asean@Phnom Penh, Kemboja pada 11 hingga 17 November yang lalu.
Program enam hari yang disertai seramai 13 sukarelawan warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu telah berjaya memberikan manfaat yang besar kepada penduduk kampung di sana.
Beberapa aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, sukaneka, ziarah prihatin, mengecat papan tanda, petang berselawat dan ceramah perdana telah dijalankan di Kampung Chroy Ondeat
Turut diadakan aktiviti-aktiviti seperti perkongsian agama, inspire (motivasi), health talk, fun english, street science dan riadah petang di Madrasah Sulaimaniyah bersama pelajar madrasah.
Pada masa yang sama, penyerahan 100 kit bantuan makanan asas juga diberikan kepada 100 penduduk kampung dan 42 kit bantuan persekolahan untuk kegunaan kegunaan kehidupan seharian mereka hasil sumbangan orang ramai.
Turut dijalankan program benchmarking bersama 20 orang mahasiswa dari Institute Technology of Cambodia (ITC) pada hari ketiga program yang disambut baik oleh Timbalan Ketua Pengarah, Profesor Soy Ty.
Para sukarelawan diberi peluang untuk melawat di kawasan sekitar universiti dan bertukar cerita berkenaan univerisiti masing-masing.
Lawatan ke ITC turut memberikan pendedahan terhadap pesatnya kemajuan teknologi bahkan pada masa yang sama turut membuka ruang pemikiran mereka terhadap inovasi dalam bidang ini.
Meskipun semua peserta tersebut terdiri daripada fakulti yang berbeza, pengalaman lawatan ke ITC tetap menghasilkan kekaguman dan minat yang mendalam terhadap kejuruteraan awam yang dapat menyaksikan bagaimana aplikasi teknologi dalam bidang ini tidak hanya mencakup aspek kejuruteraan, tetapi juga menyentuh kepelbagaian disiplin ilmu.
Sukarelawan juga berpeluang untuk melawat ke Embassy of Malaysia di Kemboja sambil membentangkan tentang perjalanan serta aktiviti yang dijalankan selama tiga hari di perkampungan, madarasah dan juga universiti.
Menurut Puan Nur Herzazzilla Ghazali yang merupakan penasihat kedutaan di Phnom Penh Cambodia, program ini adalah satu inisiatif terbaik dalam melakukan perubahan kualiti hidup masyarakat di Cambodia khususnya penduduk islam di sini.
”Semoga kerjasama antara Yayasan UMP akan terus terjalin dan saya amat berbesar hati untuk turut serta sekiranya program ini diadakan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Program yang menitikberatkan lima kluster utama iaitu teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kerohanian, dan kepimpinan itu telah mencapai kejayaan luar biasa dengan memberikan impak positif yang besar kepada kehidupan harian penduduk kawasan ini.
Melalui pelbagai aktiviti di setiap kluster, program ini tidak hanya memperkukuhkan aspek teknologi dan pendidikan tetapi juga memperkembangkan rohaniah dan memperkuat hubungan kemasyarakatan.
Kejayaan ini merupakan cerminan kesungguhan dan keberkesanan program yang telah dirangka perancangannya sejak enam bulan yang lalu.
Menurut Pengurus Projek, Bayu Hanafi Norhazilan, program ini dapat menunjukkan sikap cakna terhadap kepentingan khidmat komuniti dan sifat kesukarelawan dan membangunkan dan memperkasakan kemahiran, pengetahuan, nilai serta kebolehan berinteraksi dalam diri peserta.
”Mereka juga dapat menyaksikan sendiri nasib penduduk yang susah, daif dan sangat memerlukan sumbangan daripada pihak luar.
”Saya berharap program sebegini perlu diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan citra dan jati diri mahasiswa yang secara langsung memupuk sifat peka kepada kebajikan komuniti bukan sahaja dalam negara malahan di luar negara.
”Dengan pelaksanaan program khidmat komuniti ini, warga UMPSA dapat menyumbang bakti kepada masyarakat luar dan menjalinkan ikatan silaturrahim yang utuh antara mahasiswa dengan komuniti antarabangsa ke arah melahirkan warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara,” katanya.
Disediakan oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Yayasan UMP
- 113 views