Skip to main content

Kongsi Kegembiraan Alumni UMP bawa anak yatim dan asnaf beli kelengkapan raya

Kuantan, 25 Mei- Terpancar keriangan buat 110 penerima sumbangan raya berusia 5 hingga 17 tahun dalam kalangan asnaf dan anak yatim apabila berpeluang memilih sendiri pakaian raya dalam program Ziarah Prihatin Aidilfitri Projek Baju Raya yang berlangsung di Pasaraya Hari-Hari hari ini. 

Program dianjurkan Persatuan Alumni Graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Yayasan Ikram ( I-Bantu), Pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Ikram Muda Pahang, Gema Pahang dan Unit Perhubungan Alumni Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato Dr Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UMP, Mohd. Najib Razali. 

Program bermula pada jam 9.00 pagi ini  membabitkan seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada alumni, staf dan mahasiswa UMP serta wakil daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurut Profesor Dato Dr Yuserrie, program ini sebagai menyokong program MyGift yang dijalankan dalam usaha membantu komuniti setempat dan menggerakkan agenda kesukarelawanan dalam kalangan Alumni dan mahasiswa UMP. 

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban dan merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Selain itu , dalam berkongsi kegembiraan, pihaknya mengharapkan anak-anak yang kurang bernasib baik ini dapat menyambut hari raya dengan penuh keceriaan . 

Mereka berhak untuk berkongsi kegembiraan, sebab itu kami usahakan yang terdaya untuk membantu mereka. Pihaknya menghargai sumbangan daripada individu dan pihak NGO yang sama-sama turut serta menjayakan program ini. 

Dalam usaha membantu keluarga yang berkeperluan ini, penerima sumbangan ini bukan sahaja dibantu pada bulan Ramadan sahaja, namun pelbagai program juga telah dirangka bagi membantu mereka meneruskan kehidupan seharian termasuklah sumbangan baju sekolah "Back to School" pada hujung tahun nanti bagi meringankan beban keluarga. 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri