Lebih 300 sukarelawan UMP bantu pembersihan sisa banjir
KUANTAN, 28 Disember 2021 - Ekoran timbunan sampah sarap di hadapan rumah yang berisiko mengancam kesihatan penduduk, aktiviti sukarelawan pascabanjir yang berlangsung baru-baru ini di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan Taman Bukit Rangin Aman memberi tumpuan terhadap pembersihan dalam rumah dan sekitar kawasan perumahan ini.
Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Misi Bantuan Pascabanjir Paya Besar yang turut disertai lebih 300 sukarelawan pelajar dan staf termasuklah dari anak syarikat UMP iaitu UMP Advanced Education dan Kumpulan UMP Holdings, IPT, NGO, agensi kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga masyarakat setempat.
Kehadiran sukarelawan ini memberi kelegaan buat penduduk dalam usaha membersihkan bahan buangan sekitar taman ini yang terjejas teruk akibat banjir.
Aktiviti kesukarelawan turut disertai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Dr. Mohd. Zabri Yusoff, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar, ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Mohd. Sharil Abdullah dan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, penglibatan tenaga sukarelawan ini amat diperlukan untuk mengangkut sampah sarap rumah penduduk keluar dari rumah mereka serta dari lorong-lorong untuk dipindahkan ke dalam lori yang disediakan ke tempat pelupusan.
“Seramai 100 sukarelawan UMP membantu membersihkan rumah penduduk dan timbunan sampah sarap setelah penduduk mencuci di rumah masing-masing.
“Dengan adanya jengkaut dan lori ini juga dapat mempercepatkan usaha pembersihan sisa banjir ini,” ujarnya.
Masyarakat di sini juga berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik bergerak MERCY Malaysia Pahang Chapter yang beroperasi untuk membantu penduduk mendapatkan ubat dan yang dijangkiti penyakit yang disebabkan oleh banjir.
Para petugas turut menyerahkan kit kebersihan kepada mangsa banjir yang hadir di sini.
Dalam pada itu, sejak beroperasi pada 17 Disember lalu, saban hari Bilik gerakan UMP menyelaras pergerakan misi kesukarelawanan bukan sahaja melibatkan sukarelawan UMP malahan termasuk beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain bagi mengkoordinasi bantuan pascabanjir sejak banjir melanda negeri ini.
Lebih 20 lokasi penempatan membabitkan seramai 1,000 sukarelawan staf dan pelajar turun padang dan bergotong-royong membantu membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas teruk pada kali ini melibatkan daerah Pekan, Kuantan, Temerloh dan Mentakab.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 149 views