NC UMPSA suntik minat pelajar masuk universiti, Study@UMPSA
TAUN GUSI, KOTA BELUD, 2 Mei 2025 - Seramai 130 pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 telah menyertai program Titipan Hasrat bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi, Sabah baru-baru ini bersempena dengan Program Kembara Lestari@ Negeri di Bawah Bayu 3.0.
Profesor Dr. Yatimah dalam ucapannya turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pelajar boleh mencontohi Amilda Budi, seorang alumni SMK Taun Gusi yang kini sedang melanjutkan pengajian di UMPSA dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri,” ujarnya.
Selepas memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Amilda telah menyambung pengajian di peringkat diploma di Politeknik dan kemudian melanjutkan pengajian di UMPSA.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kepada Skuad Yayasan UMPSA yang telah mengadakan Program Kembara Lestari@Negeri di Bawah Bayu 3.0 di sekolah ini dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti aktiviti STEM dan motivasi.
Katanya, dengan kehadiran Skuad Yayasan UMPSA, beliau percaya banyak perkongsian yang boleh dilakukan bersama anak-anak semua.
“Program ini juga memberi peluang untuk berkongsi mengenai program-program akademik yang ditawarkan di UMPSA.
“UMPSA merupakan sebuah universiti awam (UA) yang berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi serta menawarkan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Aras Tinggi.
“Jika kita lihat, peluang untuk menyambung pengajian adalah luas,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap agar anak-anak dapat mengambil peluang ini sebaiknya untuk mengetahui maklumat lanjut tentang UMPSA.
“Saya berharap anak-anak bersedia memikirkan peluang seterusnya untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, bukan sahaja di UMPSA malah di mana-mana universiti yang terdapat di Malaysia.
“Pelaksanaan Program Pesisir TVET BORNEO juga bakal bermula tidak lama lagi sebagai program kerjasama yang akan membuka peluang kepada anak-anak Sabah khususnya lepasan Kolej Vokasional (KV) untuk mengikuti program Sarjana Muda Teknologi UMPSA yang akan ditawarkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS),” tambahnya.
Majlis turut diserikan dengan sumbangan kalkulator kepada 50 pelajar yang terpilih.
Dalam pada itu, sebuah bilik persediaan belajar diubah suai di SMK Taun Gusi dan dinamakan ‘Study@UMPSA’ bagi memberi inspirasi dan semangat pelajar untuk melangkah masuk ke menara gading sejak di bangku sekolah.
Dalam masa yang sama, program itu turut memanfaatkan 300 pelajar melalui Program Inspire yang diperhebatkan dengan pendedahan kepada Projek STEM dan pendekatan inovatif Street Science yang membentuk asas kukuh bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdaya inovasi tinggi dan berupaya memimpin perubahan di peringkat nasional dan global.
Yayasan UMPSA juga telah memperkenalkan program Kembara Lestari yang sebelum ini dikenali sebagai Kembara Prihatin yang bertujuan memperkenalkan jenama UMPSA kepada masyarakat di sini.
Selain itu, program ini juga turut menyantuni pembangunan komuniti setempat di samping menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan melalui pelbagai aktiviti mengikut kluster seperti teknologi, khidmat komuniti, pendidikan, kelestarian, kerohanian, kebudayaan dan bantuan seiring dengan kepentingan Sustainable Development Goals (SDG) dan Environmental, Social, and Governance (ESG).
Program turut melibatkan sukarelawan pelajar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 224 views