Profesor Matematik Malaysia perkasa pendidikan serantau, jayakan program khidmat komuniti antarabangsa di Bandar Lampung
BANDAR LAMPUNG, 8 Januari 2026 - Sekumpulan Profesor Matematik dari Malaysia bersama rakan akademik Indonesia telah melaksanakan program khidmat komuniti antarabangsa di beberapa buah sekolah di Bandar Lampung pada 8 Januari 2026 yang lalu.
Program itu diadakan bersempena dengan sambutan Dies Natalis Ke-32 (Anniversary) Universitas Malahayati, dengan sokongan Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Provinsi Lampung sempena International Professors Summit 2026.
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid, dari Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), program yang bertemakan ‘Numerasi Bukan Sekadar Hitung-hitungan’ itu bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pelajar tentang kepentingan numerasi dalam kehidupan harian dan pembelajaran akademik, sambil mengubah persepsi bahawa Matematik merupakan subjek yang sukar serta menakutkan.
Program ini melibatkan kehadiran dua orang profesor utama di SMA Negeri 5, iaitu Profesor Dr. Norihan Md Arifin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang merupakan pakar Matematik Gunaan dan Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid dari UMPSA yang berpengalaman dalam bidang Statistik Gunaan.
Mereka menyampaikan ceramah berkaitan Aplikasi Matematik dalam dunia sebenar, strategi menyelesaikan masalah, dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mendekati Matematik secara lebih yakin dan kreatif.
Pelajar turut berpeluang mengemukakan soalan secara langsung, sekali gus menjadikan sesi tersebut berlangsung dalam suasana interaktif dan mesra.
Selain program di SMA Negeri 5, beberapa profesor lain turut ditempatkan di sekolah sekitar Bandar Lampung sebagai sebahagian daripada misi besar pengabdian masyarakat.
Antara profesor yang terlibat ialah Profesor Dr. Ismail Mohd dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Jumat Sulaiman dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Wamiliana dari Universitas Bandar Lampung (UNILA), Profesor Dr. Syamsuddin dari Universitas Hasanuddin (UNHAS) Makassar, Profesor Dr. Norasarahaida Saidina Amin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Profesor Sudradjat dari Universitas Padjajaran (UNPAD).
Kehadiran mereka memperluas jangkauan program dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar dan juga guru.
Tambah Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid, pihak sekolah menyambut baik inisiatif ini kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan literasi numerasi, tetapi juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang potensi kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Guru-guru turut mendapat manfaat daripada perkongsian kaedah pengajaran yang lebih inovatif dan sesuai dengan keperluan pendidikan masa kini.
“Program ini secara keseluruhannya berjaya mengukuhkan hubungan antara universiti dan sekolah serta membuka ruang kolaborasi akademik yang lebih kukuh pada masa hadapan, sekali gus menegaskan komitmen Universitas Malahayati dalam memainkan peranan aktif terhadap pembangunan pendidikan di peringkat komuniti,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid, Pusat Sains Matematik
- 38 views
Reports by: