Singgah Sahur UMP santuni anak yatim dan agensi keselamatan
KUANTAN, 15 April 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyantuni seramai 41 anak-anak yatim di Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang di Taman Guru dan bertemu barisan hadapan petugas keselamatan di Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Balai Polis Indera Mahkota bagi mengagihkan juadah bersahur.
Lebih sepuluh kenderaan bersama kira-kira 40 sukarelawan KILAU UMP bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah UMP dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP berkonvoi ke destinasi terpilih bagi mengagihkan 250 bungkus juadah untuk sahur bermula jam 10.30 malam sehingga 1.30 pagi.
Hadir dalam program Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Dato' Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim dan Datin Nur Sharmila Shaheen serta Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato' Mohd Sharil Abdullah yang juga merupakan ahli LPU UMP.
Turut sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, selain beramah mesra, program ini bertujuan berkongsi rezeki dengan menyampaikan juadah sahur.
“Program ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada untuk beramah mesra dengan penghuni rumah pusat jagaan malah juga dapat memupuk keinsafan dan kesyukuran dalam diri,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan duit raya buat anak-anak dan Bakul Rahmah UMP kepada Pengerusi Rumah Anak Yatim Hembusan Kasih Sayang, Ustaz Muhd Muizuddin Abdullah Hashim.
Selain mengeratkan lagi silaturahim sesama agensi di negeri ini, kunjungan ke agensi itu juga secara tidak langsung dapat menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang kepada negara, di samping meraikan Ramadan.
Penyelia Pasukan Bertugas Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Alif Hafizul Mohammad berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan UMP melaksanakan inisiatif ini dan berharap ia diteruskan pada masa depan.
Hadir menyambut sukarelawan, Penyelia Pusat Balai Polis Indera Mahkota, SM Nordin Mohamed Shukur dan Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan diwakili Wan Hasarul Khairi Wan Hassan.
Program Singgah Sahur ini dilaksanakan setiap saban tahun menjelangnya Ramadan bagi mendekati universiti bersama masyarakat seiring dengan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ dan mengangkat agenda kesukarelawan dalam kalangan warganya.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 107 views