Sukarelawan UMP Kilau menabur bakti bersama komuniti di KL
KUALA LUMPUR, 2 April 2023 - Seramai 50 sukarelawan UMP Kilau dalam kalangan Skuad Yayasan UMP dan alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) turun padang menjayakan Projek Secangkir Budi sebagai salah satu inisiatif untuk membantu warga kurang berkemampuan di sekitar Kuala Lumpur.
Sebanyak 300 pek makanan, 50 kit bantuan dan barangan terpakai (preloved) hasil sumbangan orang ramai telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Pengarah Program yang juga merupakan Alumni UMP, Azmira Othman berkata, bermula dengan mengunjungi Keluarga Besar Norlina Alawi di Kampung Cheras Baru, beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Mama’, menyambut baik kehadiran sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Yayasan UMP dan alumni.
“Dalam pelbagai kisah menarik yang dikongsikan oleh ‘Mama’, para sukarelawan dapat mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan anak-anak anugerah, anak-anak yatim dan anak yang kurang bernasib baik yang ‘Mama’ santuni selama 22 tahun.
“Selain itu, skuad Yayasan UMP dan alumni turut berpeluang berbuka puasa bersama 38 orang penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Miskin di Kampung Datuk Keramat.
“Walaupun masa yang terluang agak singkat, tetapi ikatan yang terjalin bersama tidak akan dilupakan dengan pelbagai aktiviti untuk menjalin ukhuwah bersama anak-anak,” katanya.
Tambah Azmira, para sukarelawan secara tidak langsung dapat menjalinkan ukhuwah bersama dengan anak-anak yatim dan juga asnaf meskipun kepenatan namun tetap kekal bertenaga dalam usaha membantu golongan yang memerlukan ini.
Projek Secangkir Budi itu juga turut menyediakan sebanyak 50 pek kit bantuan makanan, barangan terpakai (preloved) seperti pakaian, permainanan kanak-kanak dan barangan keperluan diri kepada golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.
Turut berlangsung Program Singgah Sahur, pengagihan makanan untuk sahur turut diedarkan kepada petugas malam dan gelandangan di kawasan sekitar seperti Tol Ampang, IPD Dang Wangi, Balai Polis Sentul dan Masjid Jamek.
Disediakan oleh: Muhammad Zufli Zuhairi, Yayasan UMP
- 102 views