Terima bantuan Yayasan UMP disangka panggilan Scammer
Kuantan, 26 Oktober 2020 - “Saya menyangka ia adalah panggilan individu scammer apabila menerima panggilan telefon dan mengatakan bahawa saya terpilih menerima Bantuan Insentif Kecemerlangan Matrikulasi -Yayasan UMP,” demikian menurut mahasiswa baharu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Fatin Ayu Kartika Mohd Suzaki, 20, yang awalnya meragui panggilan telefon yang diterimanya daripada staf Yayasan UMP.
Namun, kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP hadir bersama staf Yayasan UMP untuk menyerahkan surat dan sumbangan Insentif Kecemerlangan Yayasan UMP telah mengejutkan beliau sekeluarga.
Menurut bekas pelajar Kolej Matrikulasi Pahang yang meraih keputusan CGPA 3.96 itu, mereka sekeluarga amat terkejut dan sekaligus menghilangkan kegusaran di hati serta teruja dengan bantuan ini.
“Saya tidak menyangka terpilih menerima bantuan itu kerana bagi saya berjaya menyambung pengajian dalam program pilihan iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) di UMP sudah cukup bermakna untuk saya.
“Walau bagaimanapun, saya bersyukur dengan sumbangan ini dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan UMP yang terlalu prihatin kepada mahasiswa baharu, sedangkan saya masih belum berpeluang untuk masuk ke kampus selepas mendaftar secara dalam talian baru-baru ini rentetan arahan pihak kementerian dan universiti akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Menurutnya, kini pembelajaran dalam talian sudahpun bermula dan telah membiasakan dengan norma baharu pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Berkongsi pengalaman dalam pengajian, Fatin Ayu berpendapat para pensyarah di UMP sangat teliti sepanjang sesi pengkuliahan.
Namun baginya perbelajaran secara bersemuka lebih menyeronokkan, tetapi dalam menangani wabak yang sedang melanda negara, beliau dan mahasiswa lain cuba untuk mengadapatasi pembelajaran secara dalam talian.
“Tidak dapat dinafikan kadang kala, sering terdapat masalah talian internet ketika sesi pembelajaran tetapi bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, jadi janganlah kita mudah berputus asa untuk terus berjaya,” katanya.
Bagi ayahnya, Mohd Suzaki Ibrahim pula berkata, anaknya ada menceritakan mengenai panggilan telefon yang mengatakan beliau terpilih untuk menerima sumbangan Yayasan UMP.
Pada mulanya beliau sendiri agak terkejut dengan bantuan ini namun amat menghargai komitmen UMP kepada mahasiswa.
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie turut menerangkan bahawa Yayasan UMP sentiasa proaktif untuk mencari dana bagi membolehkan lebih ramai mahasiswa yang berkeperluan menerima sumbangan.
Sehingga kini, pihaknya masih mengumpul dana yang diperoleh daripada beberapa sumber termasuklah syarikat korporat, sumbangan rakan kerjasama termasuklah pihak Bank Rakyat, alumni dan orang ramai.
Bagi mahasiswa baharu yang mendaftar di UMP, Yayasan UMP telah menyediakan bantuan awal pendidikan iaitu Insentif Kecemerlangan Matrikulasi-UMP, Insentif Pendidikan Yayasan UMP dan Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat dengan sumbangan sebanyak RM1,000 setiap penerima.
Selain itu juga dalam menggalakkan kecemerlangan pelajar yang menerima manfaat daripada Yayasan UMP, Insentif Kecemerlangan Platinum turut diperkenalkan buat mahasiswa yang mendapat keputusan peperiksaan dengan Purata Nilai Gred (GPA) 3.50 ke atas pada setiap semester dengan dengan jumlah RM500 buat mahasiswa terpilih.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 366 views