Skip to main content

UMPSA tingkat kesedaran komuniti terhadap kualiti air melalui program Citizen Scientist: Know Your Water Quality

KUANTAN, 31 Mei 2025 - Seramai 125 peserta termasuk pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan penduduk setempat telah menyertai program Citizen Scientist: Know Your Water Quality. 

Program yang diadakan sebagai satu inisiatif pembelajaran berasaskan perkhidmatan itu merupakan hasil kerjasama antara pelajar Kursus BSB3563 Bioremediation dan pensyarah dari UMPSA bersama komuniti sekitar Kuantan.

Menurut Pengarah Program Citizen Scientist: Know Your Water Quality, Ts. Dr. Nurul ‘Azyyati Sabri, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kualiti air serta impaknya terhadap kesihatan masyarakat. 

“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada pelajar universiti untuk menjalankan ujian saintifik berkaitan kualiti air secara langsung di lapangan di samping menggalakkan jalinan kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam menangani isu alam sekitar.

"Saya berharap program ini dapat menyampaikan ilmu baharu kepada penduduk sekitar Kuantan, khususnya berkaitan kepentingan kualiti air dan kaedah rawatan secara organik. 

"Semoga usaha ini dapat menyemai kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dan dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang demi manfaat bersama," katanya. 

Antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program termasuk ceramah kesedaran mengenai pencemaran air, demonstrasi pengujian kualiti air menggunakan kit ujian lapangan, pengambilan sampel air sungai, penghasilan mudball serta pameran mini dan sesi interaktif bersama penduduk. 

Program itu turut menampilkan sesi ‘Mudball Launch’ sebagai simbolik pemuliharaan sumber air.

Program ini juga menyokong Pelan Strategik UMPSA dalam aspek Pemasyarakatan Ilmu dan Pembelajaran Berasaskan Komuniti serta selari dengan Dasar Alam Sekitar Negara dan Agenda Pembangunan Mampan (SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi).

Kualiti air merupakan isu penting yang perlu ditangani secara bersama. 

Oleh itu, melalui pendekatan saintifik dan penyertaan dari komuniti dapat menghasilkan impak yang lebih menyeluruh dan lestari.

Acara turut diserikan dengan penyampaian plak penghargaan kepada wakil Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta sesi fotografi bersama peserta dan hasil aktiviti. Selain daripada MBK, Regent International School juga merupakan rakan kolaborasi bersama di dalam menjalankan program ini.

Dengan sambutan positif daripada komuniti, program ini diharap dapat dijadikan contoh kepada pendekatan pendidikan berimpak tinggi yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

SULAM adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran P&P yang menggambungkan hasil pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti di mana nilai kredit dan jam perlaksanaan khidmat komuniti itu dikira dalam jumlah jam pelajar belajar bagi kursus yang berkaitan di institut pengajian tinggi (IPT).

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri