2,065 graduan diraikan di penutup tirai Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20
GAMBANG, 10 November 2025 - Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah melabuhkan tirainya pada hari ketiga dengan Sesi 4 dan 5 yang menyaksikan seramai 2,065 graduan diraikan atas pencapaian akademik dan profesional mereka sekali gus menyerlahkan kecemerlangan mereka daripada pelbagai fakulti di samping mengiktiraf penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, kejayaan para graduan ini memperlihatkan kekuatan ekosistem pendidikan teknikal universiti itu yang terus berkembang pesat selari dengan aspirasi negara.
“Graduan bukan hanya penerima ijazah, tetapi pewaris amanah untuk meneruskan legasi UMPSA dalam membina masyarakat berteknologi dan peradaban Madani,” katanya dalam ucapan pada sesi keempat.
Pada sesi berkenaan, Naib Canselor telah menyampaikan ijazah sarjana muda dan diploma kepada seramai 949 orang graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Pengurusan Industri (FPI) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) termasuk 43 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik.
UMPSA turut berkongsi pencapaian membanggakan universiti termasuk penganugerahan antarabangsa APACC dan pensijilan Institut Motor Industry (IMI) United Kingdom, serta kewujudan UMPSA Bosch Rexroth Academy yang menyokong latihan IR4.0.
UMPSA juga terus mengorak langkah dalam bidang Aeroangkasa menerusi kerjasama strategik bersama Pahang Aerospace City Development, K2 (UAE), Lestari Aero Industries dan PEN Aviation.
Tambahnya, UMPSA bakal menawarkan program latihan juruterbang dron dan membangunkan hab latihan terunggul bagi teknologi mobiliti termaju dan roket.
“Pencapaian pelajar juga turut menyerlah di pentas antarabangsa apabila tiga orang pelajar UMPSA terpilih ke Erasmus Mundus Joint Masters Programme, antara program mobiliti paling kompetitif di Eropah.
“Seramai 20 pelajar FPI turut mengikuti mobiliti antarabangsa ke Abdullah Gül University, Turkiye, manakala universiti memperuntukkan RM1.5 juta bagi program mobiliti pelajar tahun 2025.
“UMPSA turut menjadi satu-satunya universiti awam (UA) yang menawarkan 11 program ijazah dual dengan universiti di Jerman, China, Kazakhstan dan Korea Selatan,” ujarnya.
Beliau turut menambah, seramai 15 pelajar kohort pertama program Kejuruteraan Awam UMPSA-BJTU telah bergraduat di China, sementara program bersama Hochschule Karlsruhe, Jerman, mencatat prestasi cemerlang apabila lima daripada tujuh pelajar kini menjalani latihan industri di negara tersebut.
“Antara pencapaian pelajar yang diraikan termasuk penerima Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa peringkat kebangsaan, pemenang Pingat Emas IEM tiga tahun berturut-turut, kejayaan FPI pada peringkat antarabangsa seperti Top 30 SAS Curiosity Cup 2025 dan tempat ketiga Enterprise Resource Management, serta beberapa kemenangan dalam pertandingan analitik perniagaan.
“Pelajar FTKEE pula meraih Anugerah Emas Robosot dan pingat perak tae kwan do Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025,” ujarnya.
Sementara itu, sesi kelima pada sebelah petang pula menyaksikan penganugerahan ijazah sarjana eksekutif, bachelor eksekutif dan diploma profesional dan eksekutif kepada seramai 1,116 graduan UMPSA Advanced termasuk dua orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik.
Tambah Profesor Dr. Yatimah lagi, ini membuktikan komitmen UMPSA memperkasa pendidikan fleksibel yang memberi peluang kepada pelajar dewasa dan profesional menguasai kemahiran baharu.

“Ramai graduan eksekutif kini memegang peranan penting dalam industri termasuk mengetuai pasukan pemerkasaan proses di syarikat multinasional, mengetuai projek kejuruteraan bernilai puluhan juta ringgit, serta terlibat aktif dalam bidang kreatif, media dan keusahawanan.
“Penyertaan wanita yang kini melebihi 34 peratus daripada keseluruhan enrolmen membuktikan bahawa kejayaan tidak mengenal jantina mahupun usia,” ujarnya.
Dalam ucapannya kepada para graduan, beliau menyentuh perjalanan penuh pengorbanan di sebalik kejayaan yang diraikan hari ini.
“Ijazah ini bukan sekadar kertas dan dakwat.
“Ia adalah mahakarya cinta yang ditenun daripada keringat ibu ayah dan pengorbanan keluarga,” katanya.
Profesor Dr. Yatimah turut mengajak para alumni untuk terus kembali menyumbang kepakaran kepada universiti.
“Mereka yang pernah duduk di kerusi ini telah membuktikan bahawa ilmu yang ditimba di UMPSA adalah asas kukuh untuk membina menara kejayaan.
“Semoga anda terus membawa nama UMPSA ke persada dunia dengan integriti dan prinsip yang tinggi,” katanya.
Pada sesi keempat, Fathiah Najibah Mohd Hamka, penerima Anugerah Prihatin Komuniti PUSPANITA menyampaikan ucapan mewakili graduan manakala pada sesi kelima, ucapan disampaikan oleh Kapten Ts. Mohd Awiskarni Shamsudin, penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced bagi program profesional dan eksekutif.
Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA yang berlangsung selama tiga hari itu menutup tirainya dengan penuh rasa bangga apabila kesemua graduan melangkah keluar sebagai sebahagian daripada 52,632 alumni UMPSA yang kini berbakti di pelbagai sektor strategik negara dan antarabangsa.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 46 views
Reports by: