42 graduan UMPSA terima Diploma CBTM
GAMBANG, 24 Oktober 2023 - Seramai 42 graduan program kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan (UMPSA) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di bawah agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) menerima diploma masing-masing yang disampaikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-18 baru-baru ini.
Program yang dilaksanakan melalui pusat pengajian sepanjang hayatnya, UMP Advanced Education (UMPA) itu berjaya melahirkan graduan dalam bidang Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM).
Sehingga kini, UMP Advanced telah berjaya melahirkan seramai 157 graduan.
Menurut Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Kualiti Akademik), Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM), Profesor Dato’ Dr. Norhasni Zainal Abidin, keperluan untuk mempelajari konsep dan metadologi pengurusan bakat berdasarkan kompetensi menyokong kepada pembangunan staf secara berstruktur seterusnya membentuk budaya kerja yang lebih berdaya saing.
Manakala bagi Timbalan Pengarah Pusat Pemprofilan Kepimpinan AKEPT, Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah yang juga merupakan graduan CBTM kohort keempat berkata, program CBTM yang dijalankan oleh UMPSA bersama AKEPT adalah satu-satunya program komprehensif yang meliputi pengenalan, analisis dan aplikasi kompetensi untuk pengurusan bakat.
“Program CBTM ini adalah satu program asas yang amat baik dengan menawarkan modul-modul yang relevan dan terkini serta ia menepati keperluan asas CBTM yang telah direka bentuk khas buat individu yang ingin mendalami arena pengurusan bakat atau sumber manusia dengan menggunakan kompetensi sebagai penanda aras.
“Dalam era yang menuntut dan menekankan peranan baharu pengurusan bakat sumber manusia yang tidak lagi konvensional, CBTM bertindak sebagai satu pendekatan pengenalpastian, penilaian dan pengukuhan kompetensi bakat, bagi menjelaskan serta meningkatkan sumbangan bakat kepada institusi masing-masing.
Menurutnya lagi, sebagai seorang pentadbir, keperluan alaf ke-21 kini menjurus kepada penerapan aplikasi kompetensi yang boleh digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi mencorakkan data kepada maklumat berharga berkenaan pembangunan bakat dan potensi seseorang individu,” tambah beliau.
Bagi Pengarah Pusat Kepimpinan dan Kompetensi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Madya Dr. Hazana Abdullah yang juga hadir menerima diploma CBTM menyatakan program ini adalah salah satu keperluan bagi jawatan pentadbir UA.
“Program ini banyak membantu dari aspek penanda aras dan juga penilaian pelaksanaan CBTM sedia ada dan boleh dijadikan platform pertukaran maklumat yang berupaya menjadi pencetus perubahan dalam pentadbir universiti awam di Malaysia,” ujarnya.
Kejayaan program CBTM ini telah berjaya dibuktikan dengan pelaksanaan kelas kohot kelima hasil daripada komitmen bersama antara semua pihak dalam usaha memberikan pendidikan serta pengetahuan baharu bagi memastikan pengurusan bakat di universiti awam dapat diuruskan dengan cemerlang.
Turut hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Hamdan Hussin dan yang Menjalankan Fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad.
Disediakan oleh: Sakinah Abdullah, UMP Advanced
- 124 views