4,259 graduan UMPSA bakal bergraduasi mulai esok
GAMBANG, 7 November 2025 - Seramai 4,259 graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung pada 8 hingga 10 November ini di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Daripada jumlah ini seramai 243 graduan pascasiswazah termasuk 94 doktor falsafah (PhD) dan 149 sarjana, 2,900 graduan prasiswazah meliputi 2,096 sarjana muda, 97 ijazah dual, enam sarjana muda separuh masa, 701 diploma serta 1,116 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced bakal diraikan.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, daripada jumlah keseluruhan, 78 orang merupakan graduan antarabangsa dari 16 negara termasuklah Bangladesh, China, Yemen, Libya, Indonesia dan lain-lain.
Pada sesi pertama seramai 340 graduan pascasiswazah dan Ijazah Dual akan menerima penganugerahan daripada Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Abi Musa Asa’ri Mohamed Nor dan beliau turut akan menyampaikan penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 1,046 orang graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik serta Fakulti Komputeran kepada termasuk 48 orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik pada sesi kedua.
Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Abi juga akan menyampaikan penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 808 orang graduan Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses serta Pusat Sains Matematik termasuk 36 orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik pada sesi ketiga.
Manakala pada hari kedua sesi keempat menyaksikan Naib Canselor, Prof. Dr Yatimah Alias menyampaikan penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 949 orang graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Pengurusan Industri serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik termasuk 43 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik.
Bagi sesi kelima menyaksikan Prof. Dr Yatimah menyampaikan penganugerahan ijazah sarjana eksekutif, bachelor eksekutif dan diploma professional dan eksekutif kepada seramai 1,116 graduan UMPSA Advanced termasuk dua orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik.
“Majlis pada kali ini turut mencipta sejarah dengan penganugerahan kepada 45 graduan perintis program ijazah dual UMPSA dan Beijing Jiaotong University (BJTU) dalam bidang Kejuruteraan berkaitan Rel, menjadikan UMPSA universiti awam pertama di Malaysia menawarkan program ijazah dual dengan di negara ini,” katanya.
Tambah Prof Dr Yatimah, UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.
Program Kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia.
Ujarnya, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam di negara ini yang mempunyai program kerjasama antarabangsa dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) yang kini masuk tahun ke-15 dan sehingga kini sebelas program ijazah dual telah dilaksanakan dengan berjaya melahirkan 354 alumni.
"Sejak konvokesyen pertama pada 2006, UMPSA telah melahirkan lebih 52,000 graduan termasuk lebih 1,100 graduan antarabangsa dalam pelbagai bidang kejuruteraan, teknologi dan pengurusan.
Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kadar kebolehpasaran graduan UMPSA 2024 mencapai 99 peratus dengan 357 graduan kini bekerja di luar negara," katanya yang hadir mempengerusikan Sidang Media sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 di Kompleks Sukan UMPSA.
Katanya, berdasarkan Sistem Kajian Pengesahan Graduan (SKPG), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UMPSA mencapai 99.1 peratus bagi Kadar Graduan Bekerja (GE) 2024 yang merujuk kepada perkadaran graduan bekerja dalam tenaga buruh.
Manakala Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) 2024 berjaya mencapai 99.0 peratus merangkumi status bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan pekerjaan.
Dalam masa yang sama Profesor Dr. Yatimah turut menzahirkan penghargaan kepada graduan kurang upaya (OKU) dan mendoakan kesembuhan buat Dr. Siti Hawa Apandi, graduan PhD Fakulti Komputeran yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Beliau sepatutnya hadir menerima anugerah pada majlis konvokesyen kali ini pada sesi pertama.
Selain itu, katanya lima penganugerahan anumerta turut bakal disampaikan kepada waris graduan yang meninggal dunia sepanjang tempoh pengajian sebagai tanda penghargaan universiti terhadap usaha dan pencapaian mereka.
Hadir sama dalam sidang media adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pendaftar, Dato Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 16 views
Reports by: