Abd Karim buktikan ilmu tiada batasan, tekad perjuang nasib OKU dan anak istimewa
GAMBANG, 10 November 2025 – Kisah kejayaan Abd Karim Mat Jidi, graduan Master Eksekutif Pengurusan Korporat daripada UMPSA Advanced membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak pernah mengenal usia atau batasan.
Berbekalkan pengalaman luas sebagai Sales & Marketing Executive, Abd Karim sebelum ini merupakan graduan Bachelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan juga dari UMPSA Advanced, kini sekali lagi melangkah ke pentas konvokesyen sebagai penerima ijazah.
Katanya, menuntut ilmu adalah perjalanan seumur hidup.
“Ia bukan hanya untuk kerjaya, tetapi juga untuk memperkukuh peranan saya sebagai insan dan ayah kepada dua anak istimewa,” ujar beliau dengan penuh ketenangan.
Sebagai bapa kepada dua anak penghidap autisme, Abd Karim aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak serta masa depan golongan OKU, khususnya komuniti autisme.
Penglibatan ini menjadikan beliau antara individu yang komited memperjuangkan kesedaran dan kebajikan golongan berkeperluan khas di peringkat masyarakat.
Dalam bidang profesional, Abd Karim turut mempunyai pengalaman luas membawa perniagaan syarikat ke pasaran antarabangsa meliputi Asia Tenggara, Eropah dan Afrika, selain terus mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan swasta.
Kejayaan beliau diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA yang menjadi bukti bahawa keazaman dan semangat untuk terus belajar mampu menjadikan seseorang lebih matang, berdaya saing dan berjiwa besar dalam memberi manfaat kepada masyarakat.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 219 views