Skip to main content

Akmal Safwan Shahriman, graduan TVET UMPSA raih Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd.

GAMBANG, 9 November 2025 – Kejayaan bukan datang dengan mudah, namun bagi Akmal Safwan Shahriman, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), perjalanan beliau dari aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hingga berjaya membina kerjaya di industri automotif merupakan bukti nyata kelebihan pendidikan berasaskan kemahiran.

Atas kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam bidang teknologi automotif, beliau turut menerima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd. bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan pencapaian cemerlang sepanjang pengajian beliau di universiti.

Akmal memulakan perjalanan akademiknya di Kolej Vokasional Seri Iskandar (KVSI) dalam bidang Teknologi Automotif dan memperoleh Diploma Vokasional Malaysia (PNGK 3.71) serta Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (Pengurusan). 

Menurut Akmal yang dilahirkan di Lumut, Perak dan dibesarkan di Seri Kembangan, Selangor, pengalaman di kolej vokasional memberi asas yang kukuh dalam bidang kemahiran automotif dan membuka jalan untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti.

“Ramai beranggapan pelajar TVET hanya terhad kepada pekerjaan teknikal, namun sebenarnya aliran ini juga memberi ruang luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. 

“Saya sendiri merupakan bukti bahawa TVET boleh menjadi platform permulaan kepada kerjaya profesional,” jelasnya.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di UMPSA dan berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dengan PNGK 3.70. 

Sepanjang tempoh pengajian, beliau aktif dalam pelbagai aktiviti seperti sukan kayak, memanah, 3D Design dan 3D Printing, di samping menyertai projek clay modelling serta projek kumpulan bersama industri luar.

Menurut beliau, aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal tetapi turut membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. 

“Pengalaman bekerja dalam projek kumpulan memberi saya peluang memahami kepentingan kerjasama dan disiplin masa, terutamanya apabila melibatkan tugasan teknikal dan laporan projek,” ujarnya.

Kini, Akmal berkhidmat sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan di DRB-HICOM Auto Solutions Sdn. Bhd. (DHAS). 

Ujarnya, beliau terlibat dalam penyediaan cadangan perniagaan untuk kelulusan pihak pengurusan, penyediaan tender, analisis pasaran dan strategi pengukuhan kerjasama industri. 

“Saya juga turut membantu dalam penyediaan laporan, pemantauan teknikal projek dan aktiviti pemasaran syarikat. 

“Pendekatan pembelajaran di UMPSA yang menekankan keseimbangan antara teori dan amali banyak membantu saya menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan sebenar. 

“Ilmu dan latihan praktikal di UMPSA menjadikan saya lebih bersedia untuk memahami proses teknikal dan perniagaan dalam industri automotive,” tambahnya. 

Jelas beliau lagi, kandungan kokurikulum seperti 3D Design dan 3D Printing juga sangat berguna apabila saya terlibat dalam projek retrofit di tempat kerja. 

“Kemudahan pembelajaran di UMPSA seperti makmal berteknologi tinggi dan tenaga pengajar yang berpengalaman turut menjadi antara faktor utama kejayaannya dan pensyarah di UMPSA bukan sahaja mendidik tetapi juga membimbing dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai potensi diri sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang dibesarkan dalam keluarga yang menekankan nilai disiplin dan tanggungjawab hasil didikan kedua ibu bapanya, Anida Abdul Rahman, 57, seorang suri rumah manakala bapanya, Shahriman Mahmud, 56, bertugas sebagai Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menzahirkan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapanya. 

“Doa dan pengorbanan ibu bapa menjadi sumber kekuatan utama yang mendorongnya untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya. 

“Antara perkara paling menyentuh hati ialah pengorbanan keluarga yang sanggup berulang-alik jauh untuk menghantar dan memberi sokongan ketika waktu sukar. 

“Pengalaman ini menjadi pemangkin semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa mereka melalui kejayaan,” katanya. 

Tambahnya lagi, setiap kejayaan yang beliau capai hari ini datang daripada doa dan sokongan mereka kerana mereka tidak pernah berhenti memberi semangat serta dorongan agar saya terus berusaha. 

Akmal turut berkongsi prinsip hidup yang dipegangnya sejak di bangku universiti iaitu kejayaan bukan diukur oleh apa yang kita capai, tetapi oleh cabaran yang berjaya kita atasi.

Sebagai bekas pelajar vokasional, Akmal turut berpesan kepada pelajar aliran kemahiran agar terus berusaha dan tidak memandang rendah dengan keupayaan diri.

Malah, beliau juga berhasrat untuk terus mengembangkan ilmu dan kemahiran dalam bidang yang diceburi serta menyumbang kepada pembangunan industri dan masyarakat. 

“Selain itu, saya ingin menjadi individu yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain untuk tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

“TVET bukan sekadar laluan kepada pekerjaan, tetapi juga peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti di UMPSA dan seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim