Skip to main content

Anugerah Kecemerlangan Malakoff Corporation Berhad bukti kecemerlangan inovasi dan ketekunan Lim Wei Jie

GAMBANG, 8 November 2025 – Kecekalan dan semangat pembelajaran berterusan menjadi kunci kejayaan Lim Wei Jie, 25, graduan Program Ijazah Dual dalam Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kejuruteraan Elektrik dan Automasi di Beijing Jiaotong University (BJTU), China, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Malakoff Corporation Berhad sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20. 

Anak kelahiran Melaka ini menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Terkumpul (PNGK) 3.90, dan kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains Data di Universiti Malaya (UM). 

Beliau kini berkhidmat sebagai Full Stack Developer (Remote) di Wanren AI, Beijing, yang terlibat dalam pembangunan sistem penjejakan masa nyata menggunakan teknologi MediaPipe dan Unity untuk visualisasi 3D.

Sepanjang pengajian, Lim aktif dalam penyelidikan dan inovasi, termasuk mengetuai projek ‘COVID-19 Monitoring System with Edge AI Technology’ yang menjuarai Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2021, serta memenangi pingat Perak CITREX 2021 dan tempat ketiga dalam UMP x Huawei Hackathon 2022. 

Beliau juga turut menerbitkan tiga jurnal antarabangsa berindeks Scopus dalam bidang Automasi dan Kecerdasan Buatan.

Katanya, ilmu bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk memberi manfaat kepada orang lain. 

“Setiap cabaran adalah peluang untuk belajar dan berkembang,” ujar Lim yang berhasrat menjadi pakar dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Kesihatan Digital.

Lim juga menyifatkan pendekatan Project-Based Learning (PBL) di UMPSA sebagai pemangkin utama kejayaannya  kerana melatih pelajar berfikir kritikal, berinovasi dan berani mencipta solusi sebenar industri

Disediakan  Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim