Skip to main content

Azreen Suzeana cemerlang akademik dan kepimpinan, kini pakar kelestarian bangunan hijau

GAMBANG,10 November 2025 – “Jangan hanya jadi seseorang yang berjaya, tapi jadilah seseorang yang memberi makna.”

Itulah prinsip hidup yang dipegang teguh oleh Azreen Suzeana Natasha Syaiful Adzril, penerima Anugerah Kecemerlangan IR Kee Book Hee dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Anak kelahiran Muadzam Shah ini kini bertugas sebagai Environmental Sustainable Design (ESD) Consultant di DME Solutions Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat perunding yang terlibat dalam pensijilan bangunan hijau seperti GreenRE, GBI dan LEED. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Infrastruktur) dengan Kepujian ini mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79 dan juga merupakan penerima Anugerah Dekan bagi setiap semester sepanjang pengajiannya di UMPSA.

Di sebalik kejayaan akademik, Azreen merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini dibesarkan oleh ibunya, Siti Aida Ahmad, selepas pemergian ayah tercinta pada tahun 2013. 

Menurut Azreen, ibunya adalah penyumbang terbesar kejayaan hari ini.

“Ibu adalah sumber kekuatan dan doa beliau yang tidak pernah putus sentiasa mengiringi kejayaan saya,” ujarnya. 

Sepanjang di UMPSA, Azreen aktif dalam kepimpinan dan kesukarelawanan, antaranya sebagai Presiden Sekretariat Mahasiswa Anak-anak Pahang (SeMAMPAN), Naib Presiden kumpulan koir Vocal Intensity, serta pengarah program komuniti SeMAMPAN Bakti 2.0. 

Penglibatan ini, katanya, membentuk disiplin, empati, dan kemahiran kepimpinan yang kini menjadi aset penting dalam kerjayanya.

“Cabaran terbesar saya ialah mengimbangi antara komitmen akademik dan tanggungjawab kepimpinan.

“Namun, pengalaman itu mengajar saya untuk menyusun keutamaan dan bekerja dengan sistematik,” katanya. 

Bagi Azreen, keunikan UMPSA terletak pada sistem pembelajaran yang praktikal dan berpaksikan industri. 

“Pensyarah sentiasa membantu dengan pendekatan yang padat dan mudah difahami. 

“Malah, kemudahan di Kampus Gambang pula sangat efisien, menjadikan pengalaman belajar di UMPSA amat bermakna,” tambahnya. 

Mengenang pengalaman manis, Azreen bersyukur dapat mengekalkan keputusan cemerlang sambil aktif dalam pelbagai aktiviti universiti. “

Ujarnya, yang paling berharga ialah persahabatan dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang.

“Merekalah yang membentuk saya menjadi lebih terbuka dan matang. 

“Saya kini berhasrat untuk terus berkembang dalam bidang Kelestarian Infrastruktur serta memperoleh pensijilan profesional LEED Green Associate.

“Malah, saya juga mahu menjadi inspirasi kepada pelajar wanita luar bandar agar berani mengejar impian walau dari mana pun mereka bermula,” katanya. 

Beliau turut menitipkan nasihat kepada para pelajar yang lain agar jangan mudah putus asa. 

“Dunia bukan tempat berehat.

“Teruskan belajar, bantu orang lain, dan percayalah bahawa setiap usaha kecil yang konsisten akan membawa kejayaan besar,” pesannya mengakhiri wawancara.

Disediakan Oleh: Ratna Wilis Haryati Mustapa, Perpustakaan UMPSA
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim