Skip to main content

Cinta terhadap Kejuruteraan bawa Chua Hong Xiang raih Verein Deutscher Ingenieure (VDI) Award di Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA

GAMBANG, 8 November 2025 – Kecekalan dan minat mendalam dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik menjadi kunci kejayaan Chua Hong Xiang, 26, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Verein Deutscher Ingenieure (VDI) Award (Association of German Engineers) bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Berasal dari Padang Serai, Kedah, beliau merupakan graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), dalam program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman.

Menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Terkumpul (PNGK) 3.79, Hong Xiang membuktikan kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kepimpinan dan aktiviti kokurikulum. 

Kini, beliau berkhidmat sebagai Mechanical Design Engineer di Greatech Integration Sdn. Bhd., sebuah syarikat automasi industri yang berpangkalan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Katanya, VDI Award ini amat bermakna baginya kerana ia mengiktiraf usaha dan semangat pelajar dalam bidang Kejuruteraan, khususnya bagi program Ijazah Dual Jerman-UMPSA. 

“Ia menjadi motivasi untuk saya terus menyumbang kepada pembangunan teknologi dan industri di Malaysia,” ujarnya yang juga penerima Biasiswa Pelajaran Cemerlang Politeknik daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sepanjang pengajian, beliau aktif sebagai Naib Pengarah IEM Engineering Week 2023, ahli pasukan Robocon UMPSA, serta Team Leader Hackathon Competition 2024/2025. 

Beliau turut menjadi penterjemah dan pengiring bagi International Inbound Mobility Programme Edu-tourism to UMPSA serta Program Pertukaran Ilmu di Padang, Indonesia.

Hong Xiang menzahirkan rasa syukur atas sokongan keluarga, rakan serta pensyarah yang banyak membantu sepanjang perjalanan akademiknya.

Malah, beliau percaya kejayaan tidak datang dengan mudah. 

“Setiap cabaran yang ditempuh di UMPSA mengajar saya tentang disiplin, tanggungjawab dan kerja berpasukan. 

“Saya berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di luar negara, khususnya di Jerman bagi memperkukuh kepakaran dalam bidang Mekatronik dan membawa pulang ilmu tersebut untuk dimanfaatkan kepada negara,” ujarnya. 

Disediakan  Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim