Dari baking kepada pembinaan, Nurin Syauqina terima Anugerah Srikandi Matahari
GAMBANG, 9 November 2025 – Berbekalkan tekad, disiplin dan minat yang mendalam dalam bidang Kejuruteraan Awam, Nurin Syauqina Yusof, 24 mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima Anugerah Srikandi MATAHARI hari ini sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian ini menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.74.
Nurin turut memperoleh Anugerah Dekan sebanyak enam kali sepanjang tempoh pengajian yang mencerminkan kecemerlangan yang konsisten dan dedikasi luar biasa.
Anak kepada pasangan Yusof Abdul Latif, 53 dan Suzanah Miskon, 50 itu menaruh harapan untuk terus berkembang sebagai jurutera profesional yang bukan hanya mahir secara teknikal, tetapi juga berperanan memberi impak positif kepada masyarakat melalui hasil kerja yang berkualiti dan bermanfaat.
Katanya, struktur bukan sekadar komponen binaan tetapi tulang belakang yang menentukan kekuatan dan kestabilan sesebuah reka bentuk.
“Saya mahu membina struktur yang bukan sekadar kukuh, tetapi juga bermakna untuk manusia dan alam sekitar,” ujarnya.
Anak jati Klang, Selangor itu turut gemar membuat kek, pastry dan manisan.
Baginya baking bukan sekadar hobi tetapi satu bentuk terapi yang mengajar erti ketelitian, kesabaran dan kesempurnaan.
“Saya belajar bahawa dalam setiap perkara, pasti ada jalan penyelesaian, walaupun kadang kala jalan itu berbeza daripada yang dirancang dan pada akhirnya, hasilnya memberi makna dan kepuasan yang menutup segala kepayahan.
“Penyumbang terbesar kejayaan pastinya dari keluarga yang menjadi sumber kekuatan di setiap langkah, dari saat saya hampir menyerah sehinggalah di saat saya berjaya,” ujarnya.
Nurin turut berkongsi kenangan manis apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Tahun Akhir Terbaik UMPSA.
Katanya, beliau percaya masih ramai pelajar lain yang turut layak menerima pengiktirafan tersebut, namun Alhamdulillah, rezeki itu menjadi miliknya.
Pada 19 April 2025, saya sekali lagi dapat membanggakan ibu bapa dan diri sendiri apabila berdiri di pentas menerima anugerah tersebut.
Hari itu bukan sahaja menjadi detik bersejarah, tetapi juga pengalaman berharga yang sukar dilupakan, kerana berpeluang untuk bertemu dengan ramai individu hebat, termasuk jurutera profesional dan wakil industri dan universiti dari seluruh Malaysia.
Jelasnya, dapat berada dalam kalangan mereka yang berpengalaman dan berwibawa membuatkan beliau berasa kecil namun sangat terinspirasi.
“Hingga ke hari ini, saya masih menganggap momen itu sebagai kenangan manis yang terasa seperti mimpi setiap kali saya mengenangnya kembali.
Nurin Syauqina Yusof kini berkhidmat sebagai Jurutera Building Information Modelling (BIM) di Kuala Lumpur.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 138 views