Detik indah pasangan suami isteri, terima Master Eksekutif bersama
GAMBANG, 10 November 2025 – Pasangan suami isteri, Kapten Ts. Mohd Awiskarni Shamsudin, 41 dan Siti Farhanna Zainol, 37, kedua-duanya graduan Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada UMPSA Advanced melakar detik manis berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Universiti, UMPSA Kampus Gambang hari ini.
Lebih istimewa, pasangan ini diraikan pada sidang konvokesyen yang sama, menjadikan momen itu sebagai kenangan paling berharga dalam perjalanan hidup mereka.
Kapten Ts. Mohd Awiskarni terus menggarap kecemerlangan dalam akademik apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced (Program Profesional/Eksekutif).
Berpegang pada prinsip hidup bahawa ‘ilmu dan integriti adalah asas kepada kepimpinan yang berkesan’, bapa kepada dua cahaya mata ini menjadikan nilai tersebut sebagai panduan dalam setiap langkah seharian sama ada ketika mengemudi kapal di lautan luas mahupun ketika menuntut ilmu.
Sepanjang pengajian di UMPSA, beliau berdepan pelbagai cabaran, antaranya kekangan masa untuk menghadiri sesi fizikal atau aktiviti kampus, tekanan mental dan fizikal serta menyusun jadual dalam keutamaan antara keluarga, kerjaya dan pengajian.
Namun begitu, dengan semangat yang tinggi dan pengurusan masa yang berkesan, beliau berjaya mengatasi segala cabaran tersebut.
Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Pengurusan Perniagaan (Teknologi dan Pengurusan Maritim) secara hibrid di sebuah universiti persendirian di Switzerland.
Berbekalkan lebih 15 tahun pengalaman dalam kepimpinan maritim global, beliau telah memainkan peranan penting dalam operasi pelayaran antarabangsa, pengurusan armada dan pembangunan teknologi maritim yang berdaya saing.
Pengalaman luas ini menjadikan beliau contoh pemimpin maritim yang bukan sahaja berwibawa, tetapi juga berwawasan dalam memajukan industri di peringkat global.
Sebagai individu yang berpengalaman luas dalam dunia nautika dan pengurusan maritim, Kapten Mohd Awiskarni berhasrat untuk menjadi mentor kepada generasi muda dalam bidang tersebut serta mewujudkan platform pembelajaran maritim yang inklusif dan berimpak tinggi bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyempurnakan impiannya menamatkan pengajian bersama isteri tersayang.
“Kami saling memberi motivasi dan menjadi tulang belakang antara satu sama lain.
“Konvokesyen ini bukan sekadar majlis penyampaian ijazah, tetapi simbol perjalanan hidup kami yang penuh perjuangan,” katanya.
Manakala menurut Siti Farhanna Zainol, kejayaan ini merupakan simbol perjalanan panjang yang dilalui.
“Pada akhirnya, di setiap cabaran dan ujian yang hadir sampai ke penghujungnya.
“Pastinya pelbagai rasa yang hadir.
“Sebak, gembira dan bersyukur semuanya bercampur,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sebenarnya ini adalah impian suami saya untuk melihat kami bergraduasi di hadapan anak-anak.
“Biar mereka lihat sendiri bahawa menuntut ilmu tak pernah mengenal usia.
“Hari ini, bukan cuma hari kejayaan kami tetapi juga satu bentuk pesanan buat anak-anak.
“Selagi ada semangat dan usaha, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya yang kini bekerja sebagai Pengurus, Jualan dan Pemasaran.
Jelasnya, perjalanan akademik ini menjadi satu platform penting untuk memperkukuh pengetahuan serta kemahiran dalam dunia pengurusan dan keusahawanan.
“Saya berharap tidak terhenti di peringkat Master Eksekutif sahaja tetapi ke peringkat Ijazah Kedoktoran Eksekutif supaya dapat menyumbang semula kepada komuniti dan universiti melalui perkongsian pengalaman industri dan idea-idea baharu dalam bidang pemasaran serta pengurusan perniagaan.
“Semoga UMPSA terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berdaya saing, berintegriti dan mempunyai nilai profesionalisme tinggi dalam mendepani cabaran dunia korporat masa depan,” ujarnya.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2014 itu berharap perjalanan ni dapat memberi semangat kepada pasangan lain agar terus menuntut ilmu.
Beliau menambah, jangan pernah rasa terlambat untuk belajar atau kejar impian, walau apa pun usia atau keadaan.
“Bila kita saling menyokong dan percaya antara satu sama lain, apa sahaja boleh jadi kenyataan.
“Ilmu adalah untuk semua yang masih ingin belajar, membolehkan kita memperbaiki diri sendiri,” katanya.
Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 4,259 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing selama tiga hari bermula 8 hingga 10 November 2025.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat dan Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced
- 255 views