Dr. Afrig Aminuddin dinobat graduan antarabangsa cemerlang di Konvokesyen UMPSA Ke-20
GAMBANG, 8 November 2025 – Kejayaan dan dedikasi dalam bidang penyelidikan menjadi kebanggaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila Dr. Afrig Aminuddin, graduan antarabangsa dari Fakulti Komputeran (FK) dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Graduan Antarabangsa (Kategori Pascasiswazah – Penyelidikan) bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20.
Dr. Afrig, yang berasal dari Ketapang, Indonesia berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Komputer.
Beliau kini berkhidmat sebagai Lektor (Pensyarah Kanan) di Universitas Amikom Yogyakarta, Indonesia.
Beliau diiktiraf atas sumbangan signifikan dalam bidang Keselamatan Imej Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) menerusi inovasi penyelidikan utamanya bertajuk ‘AuSR1: Authentication and self-recovery using a new image inpainting technique with LSB shifting in fragile image watermarking’.
Inovasi tersebut telah memperkukuh aspek keselamatan data imej melalui pendekatan pengesahan dan pemulihan kendiri yang inovatif.
Dalam tempoh pengajian beliau, Dr. Afrig turut menerbitkan lebih daripada 60 makalah dalam jurnal dan prosiding berindeks Scopus, termasuk jurnal berimpak tinggi seperti Journal of King Saud University – Computer and Information Sciences, Engineering Science and Technology: An International Journal, dan IEEE Access.
Beliau juga mencatat H-Indeks Scopus sebanyak 10 serta H-Indeks Google Scholar 12, yang membuktikan impak dan pengiktirafan global terhadap hasil penyelidikannya.
Selain aktif dalam penerbitan, Dr. Afrig turut memperoleh beberapa Hak Kekayaan Intelektual (HKI), antaranya AUSR: Authentication Software for Detection of Tampered Image and Self-Recovery yang berdaftar di Malaysia, serta model NR-Modified SMOTE bagi menangani data kesihatan tidak seimbang yang telah didaftarkan pada tahun 2025.
Selain itu, antara pencapaian membanggakan beliau termasuklah Wisudawan Terbaik Kategori PhD Antarabangsa (UMPSA, 2025), Excellent Publication Award (UMPSA, 2023), Best Paper Award (UMPSA, 2023), Pingat Emas ITEX 2022 oleh Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan pingat Emas CITREX 2022 oleh UMPSA.
Menurut Dr. Afrig, kejayaan ini merupakan hasil sokongan berterusan penyelia, rakan penyelidik, dan ekosistem penyelidikan kondusif yang disediakan oleh UMPSA.
“UMPSA bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi sebuah ekosistem penyelidikan yang menggalakkan inovasi dan kolaborasi rentas sempadan.
“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti akademik yang progresif ini,” ujar beliau.
Kejayaan Dr. Afrig mencerminkan komitmen UMPSA dalam melahirkan graduan antarabangsa berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu dan teknologi di peringkat global, selaras dengan visi universiti sebagai institusi teknikal terunggul berteraskan teknologi dan kemanusiaan.
Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
- 1953 views