Skip to main content

Irdahayu terima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced buktikan tekad dalam Industri TVET

GAMBANG, 10 November 2025 – Irdahayu Zatul Aqma Ahmad Nazri graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) dengan Kepujian meluahkan rasa syukur apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20 di bertempat di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.

Di sebalik kejayaan anak sulung kepada pesara guru dan tentera ini, Irdahayu yang mempunyai lapan orang adik-beradik ini juga turut memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga orang anak.

Lebih mencabar, anak keduanya merupakan anak istimewa (OKU autisme), namun keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus maju dalam pengajian dan kerjaya, khususnya dalam industri TVET.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini memiliki pengalaman selama 21 tahun dalam industri TVET dan kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Latihan Vokasional di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam. 

Beliau turut berkongsi bahawa kejayaan paling bermakna di UMPSA apabila berjaya memperoleh keputusan 4.00 bagi Projek Tahun Akhir. 

Menurutnya, pencapaian tersebut amat membanggakan kerana proses itu menuntut komitmen tinggi, penyelidikan mendalam serta aplikasi menyeluruh.

“Ia merupakan pengalaman paling manis dan tidak akan saya lupakan kerana menjadi penutup yang bermakna kepada perjalanan pengajian saya. 

“Kejayaan yang dikecapi hari ini tidak datang dengan mudah. 

“Sejak dahulu lagi, saya sentiasa berpegang teguh pada prinsip hidup bahawa ‘berusaha sehabis baik dan sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Prinsip inilah yang menjadi sumber kekuatan buat dirinya setiap kali saya berdepan cabaran seharian.

Di UMPSA, Irdahayu turut aktif dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan. 

Beliau merupakan anggota RELA yang terlibat dalam kawalan lalu lintas, rondaan keselamatan serta gotong-royong komuniti. 

Selain mewakili UMPSA dalam Program Baktisiswa Negeri Kedah 2025, beliau juga menjadi sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan, ahli PUSPANITA Negeri Pulau Pinang serta Fun Run RELA 2025 peringkat Negeri Pulau Pinang. 

Berbekalkan kemahiran dalam bidang Mekatronik, harapan beliau untuk terus maju sebagai seorang profesional berjaya dalam bidang tersebut sekali gus memberi sumbangan bermakna kepada universiti serta komuniti melalui ilmu dan pengalaman yang telah diperoleh sepanjang perjalanan hidup dan pengajiannya. 

Beliau bertekad untuk sentiasa meningkatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman bagi mengembangkan potensi diri dalam kerjaya.

Disediakan Oleh: Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim