Janji kepada arwah ayah jadi sumber kekuatan Auzaie Aiman tamatkan pengajian ijazah sarjana
GAMBANG, 8 November 2025 – Kehilangan ayah tercinta di semester ketiga hampir meragut semangat pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Projek, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ts. Auzaie Aiman Zaiyap, 32 untuk meneruskan pengajian.
Berbekalkan pesanan dan harapan arwah ayah agar beliau menamatkan pengajian, Auzaie bangkit meneruskan perjuangan hingga berjaya mengenggam segulung ijazah sarjana.
Katanya, kebangkitan ini menjadi bukti bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah.
“Ia menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa dan semangat yang luar biasa.
“Ada masa saya hampir berputus asa selepas pemergian ayah.
“Tetapi saya teringat pesanan beliau supaya menamatkan pengajian ini walau apa pun cabarannya,” ujarnya dengan penuh emosi.
Ujarnya, pesanan itulah yang memberi kekuatan kepadanya untuk meneruskan pengajian.
“Ketika di semester keempat, ia menjadi antara tempoh paling mencabar buat saya apabila terlibat dalam projek pembaikan bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Projek besar itu menuntut sepenuh perhatian dan tenaga sehingga terpaksa mengambil cuti seminggu penuh bagi menyiapkan penulisan tesis projek sebelum tarikh serahan.
“Alhamdullilah, hasil ketekunan dan disiplin tinggi, saya akhirnya berjaya menyiapkan tesis dan viva tepat pada waktunya,” katanya.
Tambahnya lagi, kejayaan ini adalah simbol kasih sayang dan penghargaan kepada ibu serta arwah ayah yang banyak berkorban.
“Pastinya kenangan ini tidak akan dilupakan.
“Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini hari ini,” ujarnya penuh syukur.
Auzaie yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif Teknikal Marin di PERNEPA Engineering & Maritime Service Sdn. Bhd, Kuantan berkata, dedikasi kejayaan ini dituju buat ibu, arwah ayah, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan tanpa henti.
Lebih manis lagi, Auzaie turut berkongsi pentas konvokesyen bersama pelajar di bawah bimbingannya, Nur Athirah Syazana yang menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal pada sesi kedua Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 ini.
Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 42 views