Skip to main content

Kecacatan Bukan Halangan  Muhammad Zabri 

Kuantan, 10 November - Meskipun terpaksa menggunakan kaki palsu untuk berjalan namun itu ianya tidak sedikit pun mematahkan semangat buat Muhammad Zabri Abu Bakar,32,untuk menamatkan pengajian Sarjana Kejuruteraan Elektrikal dan bergraduasi sempena Majlis Konvokesyen Ke-13 Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini. 

Beliau menggunakan kaki palsu sejak 2004 akibat terlibat dalam kemalangan sewaktu menuntut di Melaka. Katanya, akibat kemalangan tersebut kakinya tidak dapat diselamatkan kerana mengalami kecederaan yang serius sehingga terpaksa mengunakan alat sokongan.

“Kecacatan ini bukanlah penghalang untuk saya berjaya dan mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah, malah kecacatan ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk berusaha,” ujar beliau.  Berpegang teguh pada prinsip tidak ingin menyusahkan orang lain, Zabri menganggap kehidupan ini suatu perjuangan. Beliau gembira dengan kejayaannya mengharungi tiga tahun pengajian meskipun berdepan pelbagai rintangan. 

“Saya berasa amat gembira kerana  akhirnya dapat mengenggam segulung sarjana walaupun melalui pelbagai perit getir. Segala usaha dan penat jerih saya akhirnya membuahkan hasil,” katanya. 

Menurut anak kedua daripada sembilan adik-beradik itu, keluarga terutamanya isteri dan anak-anak merupakan sumber kekuatan dan pendorong paling istimewa dalam apa jua yang dikecapinya kerana tanpa mereka yang memberikan semangat di samping minat yang mendapat beliau tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat ini.

Walaupun berstatus orang kelainan upaya (OKU), Zabri berharap agar golongan yang senasib dengannya tidak mudah berputus asa serta belajar untuk berpijak atas kaki sendiri tanpa mengharapkan pertolongan orang lain. Anak jati Pekan, Pahang ini berharap agar dapat menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti. Beliau kini bertugas sebagai guru ganti di Sekolah Kebangsaan Pahang Tua.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim