Kegigihan dan komitmen luar biasa, Nabil Aiman raih Anugerah Emas Universiti
GAMBANG, 8 November 2025 – Kegigihan dan komitmen luar biasa dalam menimba ilmu akhirnya membuahkan kejayaan apabila Muhammad Nabil Aiman Abu Bakar, graduan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), dinobat sebagai penerima Anugerah Emas Universiti sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20
Anugerah berprestij itu diberikan kepada graduan yang menunjukkan kecemerlangan menyeluruh dalam bidang akademik, kepimpinan, sahsiah dan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum sepanjang tempoh pengajian.
Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dibesarkan di Pahang ini berjaya menamatkan pengajian diplomanya dengan memperoleh PNGK 3.84, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UMPSA.
Kejayaan beliau diserikan lagi dengan pencapaian Anugerah Dekan bagi setiap semester dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) 2023.
Dalam temu bual bersama beliau, Nabil Aiman menzahirkan rasa syukur dan menganggap penganugerahan ini sebagai simbol penghargaan terhadap usaha berterusan dan sokongan keluarga.
“Anugerah ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi juga untuk ibu bapa yang sentiasa mendoakan dan menyokong saya tanpa henti.
“Mereka adalah pendorong utama kejayaan ini,” katanya.
Anak kedua daripada empat orang adik-beradik kepada pasangan Abu Bakar Ali dan Normaslinda Zaili, masing-masing bertugas dalam bidang kesihatan, mengakui bahawa perjalanan akademiknya tidak terlepas daripada cabaran, terutamanya dari segi tekanan emosi untuk mengekalkan kecemerlangan.
“Ada masa saya berasa tertekan dan hilang motivasi.
“Namun doa dan kasih sayang keluarga dan sokongan rakan-rakan menjadikan saya kuat untuk terus melangkah,” tambahnya.
Selain cemerlang dalam akademik, Nabil Aiman turut aktif dalam Persatuan Belia Harmoni (BHG), sebuah organisasi pelajar berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menekankan pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.
Bagi beliau, pengalaman paling bermakna sepanjang pengajian ialah ketika menjalani latihan industri, yang menjadi platform pertama untuk meneroka dunia pekerjaan sebenar dan memahami peranan sebenar seorang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Katanya, beliau sangat menghargai bimbingan penyelia dan rakan sekerja semasa latihan industri.
“Ia membuka mata saya terhadap realiti kerja dan memberi semangat untuk terus menimba ilmu dalam bidang ini,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai hasrat masa depannya, beliau berharap dapat menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dengan kecemerlangan lebih tinggi dan seterusnya berkhidmat dalam sektor yang menyumbang kepada pembangunan keselamatan dan kesejahteraan industri negara.
Prinsip hidup yang dipegangnya, ‘lakukan segala perkara kerana Allah SWT’ menjadi panduan utama dalam setiap langkah yang diambil.
“Saya percaya dengan niat yang betul dan keikhlasan, setiap usaha pasti diberkati dan membawa manfaat kepada diri serta orang lain,” jelasnya.
Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung dengan penuh meriah ini turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan kepada graduan terbaik fakulti dan penerima anugerah khas universiti, sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigih pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah.
Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
- 125 views