Kejayaan sebenar adalah kekuatan untuk terus melangkah, matlamat penyelidikan sasaran Dr. Wan Amnin Wan Yahaya
GAMBANG, 8 November 2025 - Bagaikan rumah kedua, Dr. Wan Amnin Wan Yahaya merasakan bahawa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) adalah tempat yang penuh dengan ilmu, persahabatan dan ketenangan serta membuatkan beliau berasa nyaman dan ingin kembali.
Berasal dari Pasir Mas Kelantan, Dr. Wan Amnin adalah penerima anugerah Hadiah Penyelidikan Pascasiswazah UMPSA dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).
Ayahnya Wan Yahaya Wan Hamat adalah seorang pesara kerajaan dan ibunya Allahyarhamah Paridah Awang Kechik, telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2002 semasa umurnya tujuh tahun.
Kini, anak kesepuluh daripada 11 orang adik-beradik itu telah bekerja sebagai Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Innovation di Koosan Industries Berhad, Shah Alam, Selangor.
Beliau yang suka melancong merasai bahawa setiap perjalanan membuka ruang untuk mengenali diri, menghargai keindahan ciptaan Allah SWT, dan memberi inspirasi baharu dalam kehidupan.
Inspirasi ini juga adalah sumber kejayaan terbesar Wan Amnin yang telah berjaya merangkul beberapa anugerah dan pingat kemenangan dalam penyelidikannya.
Kejayaan terbesar dan pengalaman paling bermakna sepanjang berada di UMPSA termasuklah meraih Top 5 Winner dalam National Nanotechnology Innovation Research Project Competition anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Kuala Lumpur; pingat emas dan Anugerah Khas di International Warsaw Invention Show (IWIS) di Warsaw, Poland; serta Best Paper Award di International Symposium on Advanced Material and Application (ISAMA) di Seoul, Korea.
Pencapaian ini menjadi bukti kepada komitmen tinggi terhadap penyelidikan inovatif dan kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa.
Selain itu Dr. Wan Amnin juga sangat aktif sepanjang pengajiannya di UMPSA, malah telah menjawat beberapa jawatan penting dalam beberapa aktiviti penyelidikan, program, persatuan dan tugas-tugas sukarelawan.
Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Program bagi Digital Boot Camp (SPSS), Pengarah Program bagi aktiviti sukarelawandi Rumah Anak Yatim, Fakir Miskin Baitul Husna, Bukit Pelindung, Kuantan, Bendahari bagi Persatu Pascasiswazah 2022 dan beberapa anugerah serta pencapaian lain.
Kejayaan Dr. Wan Amnin ini juga telah melayakkan beliau terpilih sebagai penerima Biasiswa Penyelidikan peringkat Doktor Falsafah serta penerima Biasiswa Penyelidikan Pascasiswazah.
Dalam mencipta pelbagai kejayaan, Dr. Wan Amnin juga amat selesa dengan suasana pembelajaran di UMPSA yang dianggap sebagai rumah kedua.
Menurut beliau, fasiliti pembelajaran lengkap dan mudah diakses oleh pelajar.
“Makmal, perpustakaan dan sistem dalam talian berfungsi dengan baik bagi menyokong proses pembelajaran dengan berkesan.
“Selain itu, tenaga pengajar di UMPSA sangat membantu dan sentiasa memberikan bimbingan kepada pelajar sama ada dari segi akademik mahupun penyelidikan.
“Persekitaran universiti juga kondusif dan mesra pelajar menjadikan pengalaman belajar di UMPSA lebih selesa serta produktif,” ujarnya.
Setiap kejayaan pastinya ada cabaran dan cabaran utama yang dihadapi sepanjang pengajian ialah memastikan penyelidikan dan kajian yang dijalankan mencapai hasilnya.
Katanya, proses ini menuntut ketekunan dan kesabaran yang tinggi, termasuk berjaga di makmal sehingga lewat malam.
“Kadang kala sehingga jam 4.00 pagi bagi mendapatkan keputusan yang tepat dan konsisten.
“Namun, pengalaman ini mengajar saya erti disiplin, ketabahan, dan komitmen dalam mencapai matlamat penyelidikan.,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pengalaman manis sepanjang berada di UMPSA terlalu banyak untuk dihitung.
“Setiap detik bersama rakan, pensyarah, dan suasana kampus meninggalkan kenangan yang amat mendalam.
Baginya, kejayaan bukan sekadar tentang sampai ke garisan penamat, tetapi tentang kekuatan untuk terus melangkah ketika orang lain memilih untuk berhenti.
Dr. Wan Amnin menasihati para pelajar yang ingin berjaya agar sentiasa perbaiki niat, belajar dengan hati yang ikhlas, dan jadikan ilmu sebagai jalan untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Beliau juga percaya bahawa apabila kita berusaha kerana Allah SWT, setiap langkah kecil pun akan membawa kita menuju kejayaan yang besar.
“Kejayaan bukan hanya untuk membanggakan diri, tetapi juga memberi sinar kepada agama, bangsa, dan negara,” katanya.
Disediakan Oleh: Ratna Wilis Haryati Mustapa, Perpustakaan UMPSA
- 163 views