Skip to main content

Kembar cilik rai kejayaan ayah di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20

GAMBANG, 10 November 2025 – Gelagat dan kecomelan dua cilik kembar, Aliya Maisarah dan Aliya Marissa, mencuri perhatian apabila kemunculan mereka mewarnai suasana Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20 bersama ayah tersayang.

Pasangan kembar berusia setahun tiga bulan itu tampil comel mengenakan jubah mini seolah-olah turut sama meraikan detik kejayaan sang ayah di pentas konvokesyen.

Bapa mereka, Mohamad Haikal Fikri Mohd Hezri, 24, graduan Bacelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA Advanced ini berkata, kehadiran anak kembarnya ke majlis itu memberi makna yang cukup besar dalam hidupnya.

“Saya rasa terharu dan bangga kerana dapat menamatkan pengajian ini dan menunjukkan kepada anak-anak bahawa tiada halangan untuk berjaya walau apa jua keadaan.

“Idea untuk menyediakan jubah khas buat si kembar lahir daripada cadangan ahli keluarganya yang ingin menjadikan hari bersejarah itu lebih bermakna.

“Idea jubah mini ini datang daripada ibu, kakak, adik serta isteri dan keluarga mertua saya. Mereka semua sama-sama membantu menyiapkannya demi meraikan hari istimewa ini,” katanya sambil tersenyum melihat gelagat dua puterinya. 

Berkongsi pengalamannya sepanjang pengajian, Haikal mengakui perjalanan menamatkan pengajian bukan mudah apabila perlu menggalas tanggungjawab sebagai anak, suami dan bapa dalam masa sama.

Ujarnya, cabaran utama pastinya dalam menyeimbangkan masa antara pelajaran dan keluarga.

Kembar cilik rai kejayaan ayah di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20

“Alhamdulillah, dengan doa dan sokongan isteri serta keluarga, saya berjaya menamatkan pengajian tepat pada waktunya. 

“Pada awalnya, ada keluarga yang kurang yakin dengan keputusan saya untuk berkahwin semasa belajar. 

“Tapi berkat sokongan isteri dan keluarga, saya buktikan saya mampu menghabiskan pengajian dengan baik,” jelasnya. 

Beliau turut menitipkan harapan agar anak-anaknya membesar menjadi insan berilmu dan beradab.

Katanya, semoga agar anak-anak tidak berputus asa dalam menjalani kehidupan dan sentiasa mengutamakan agama serta adab. 

“Ilmu tanpa adab ibarat kuda tanpa tali,” ujarnya penuh makna.

Mohamad Haikal antara 4,259 graduan yang menerima Ijazah dan Diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 hari ini. 

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim