Skip to main content

Kenangan manis Yeoh Tze Wei terima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID Sdn. Bhd.

GAMBANG, 8 November 2025 - Yeoh Tze Wei anak kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Kimia Industri dengan Kepujian dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatatkan kenangan manis apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Dimension BID. Sdn. Bhd.

Anak sulung dari dua beradik itu kini bertugas sebagai Jurutera Proses di Analog Devices Sdn. Bhd. 

Ayahnya masih bekerja sebagai seorang juruteknik sementara ibunya, Chow Yar Ling adalah seorang pengurus.

Yeoh Tze Wei juga adalah penerima biasiswa Penang Future Foundation Scholarship dan berjaya meraih Anugerah Dekan setiap semester sepanjang pengajiannya. 

Beliau juga pernah memenangai pingat emas di The 14th  Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2024 dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Program untuk Karnival Kebudayaan UMPSA. 

Wanita muda ini mengisi masa lapangnya dengan mencuba resipi baharu yang memberi kepuasan kepadanya, 

Katanya, memasak dan membakar memberikan saya rasa tenang.

“Malah, ia juga  membolehkan saya mengembangkan kesabaran dan kreativiti,” katanya. 

Menurut Yeoh Tze Wei, UMPSA telah menyediakan kemudahan yang baik bagi menyokong pembelajaran yang berkesan.

“Saya juga pernah memenangai pingat emas di The 14th  Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2024 dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Program untuk Karnival Kebudayaan UMPSA. 

“Kedua-dua pengalaman tersebut melibatkan pembangunan dan pelaksanaan idea baharu, mencabar kecekapan, perlu berfikir secara kreatif dan memimpin dengan berkesan. 

“Pengalaman tersebut, pengiktirafan yang diberi, semuanya menjadi kenangan manis buat saya,” jelasnya. 

Beliau yang berpegang kepada prinsip perlu mempercayai setiap proses yang telah ditetapkan, dan setiap cabaran adalah peluang untuk belajar dan berkemban, dengan berfikiran positif dan dedikasi, hasilnya tetap akan tiba. 

“Matlamat utama saya adalah untuk membina kerjaya yang stabil dan menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga saya. 

“Saya bercita-cita untuk membuat mereka bangga dan membalas jasa mereka yang telah menyokong saya selama ini. 

“Penyumbang terbesar kepada kejayaan saya ialah keluarga saya kerana mereka adalah sumber kekuatan dan inspirasi utama yang mendorong saya untuk terus maju dan mencapai matlamat saya,” katanya. 

Bagi Yeoh Tze Wei, salah satu cabaran utama yang dihadapi semasa pengajian adalah menguruskan pelbagai tanggungjawab pada satu masa. 

“Tidak mudah untuk menyesuaikan dan membahagikan masa, antara diri, akademik, aktiviti kokurikulum, dan komitmen peribadi apabila semuanya berlaku serentak.

“Namun, pengalaman ini telah mengajar saya untuk lebih berdisiplin dan meningkatkan kemahiran pengurusan masa.

“Kenangan terindah sepanjang pengajian di UMPSA ialah apabila dapat bertemu rakan-rakan yang sentiasa menyokong, telah menjadikan perjalanan saya lebih bermakna,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, pengalaman dan detik yang kami kongsikan melalui projek dan acara kumpulan sememangnya tidak dapat dilupakan.

Di akhir temu bual, Yeoh Tze Wei turut berkongsi pesanan kepada semua pelajar-pelajar UMPSA supaya sentiasa amalkan sifat ingin tahu, terus bekerja keras, dan jangan takut untuk mendapatkan bimbingan apabila diperlukan.

Disediakan Oleh: Ratna Wilis Haryati Mustapa, Perpustakaan UMPSA
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim