Ketabahan anak Gaza, Dr. Yasin Albarqouni dinobat Hadiah Kecemerlangan Akademik Graduan Antarabangsa UMPSA
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Di sebalik kecemerlangan akademik yang diraih, tersimpan kisah ketabahan seorang anak Palestin yang terus memilih ilmu sebagai jalan untuk membina masa depan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Dr. Yasin M. Y. Albarqouni, 34, membuktikan bahawa cabaran kehidupan tidak menghalang seseorang untuk terus melangkah apabila beliau berjaya meraih Hadiah Kecemerlangan Akademik Graduan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi kategori Pascasiswazah (Penyelidikan) sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21.
Berasal dari Gaza, Palestin, Yasin kini meneruskan perjalanan akademiknya sebagai Felo Penyelidikan Pascakedoktoran di UMPSA selepas menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD).
Sebelum melanjutkan pengajian, beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Al-Azhar Gaza.
Namun, peperangan yang memusnahkan universiti tersebut tidak memadamkan semangatnya untuk meneruskan pendidikan dan menyumbang kepada masyarakat.
Dalam keadaan serba mencabar, beliau bersama rakan-rakan pendidik memilih untuk meneruskan proses pendidikan secara sukarela demi memastikan komuniti dan pelajar mereka terus mendapat akses kepada ilmu.
Sepanjang tiga tahun pengajian di UMPSA, Dr. Yasin membuktikan keupayaan sebagai penyelidik melalui pelbagai pencapaian akademik yang membanggakan.
Beliau berjaya menerbitkan lebih daripada sepuluh artikel sebagai penulis pertama dalam jurnal berprestij tinggi, selain bersama penyelianya memperoleh geran iMAP berdasarkan tajuk penyelidikan PhD yang dilaksanakan.
Lebih membanggakan, hasil penyelidikan berkenaan turut membawa kepada pendaftaran sebuah paten, sekali gus memperlihatkan potensi penyelidikan universiti untuk menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai dan aplikasi praktikal.
Pencapaian tersebut didukung oleh kesungguhannya meneroka ilmu baharu, termasuk menyertai persidangan di Ho Chi Minh, Vietnam, untuk membentangkan hasil penyelidikan.
Beliau turut berpeluang bekerjasama dengan penyelidik dari negara India, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus memperluas jaringan akademik pada peringkat antarabangsa.
Bagi Dr. Yasin, pengalaman di UMPSA bukan sekadar memenuhi keperluan pengajian, malah membentuk keupayaan untuk bekerja secara berdikari, berfikir secara kritis dan menghasilkan penyelidikan yang berimpak.
Beliau turut berkhidmat sebagai Pembantu Pengajar selama satu semester dan Pembantu Penyelidik selama tiga tahun.
Selain itu, beliau bersama isterinya memainkan peranan sebagai wakil komuniti Palestin dengan menganjurkan Hari Kebudayaan dan Hari Antarabangsa di universiti.
Penglibatan dalam program mobiliti selama 14 hari di Surabaya, Indonesia, turut membuka ruang kepada pemindahan ilmu bersama Universiti Airlangga, khidmat kepada komuniti setempat serta perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam bidang sains bahan.
Bagi Dr. Yasin, pengalaman menuntut di UMPSA membawa makna yang jauh lebih besar daripada pencapaian akademik.
Kemudahan pembelajaran, budaya penyelidikan yang menggalakkan penerokaan dan sokongan warga universiti menjadi antara faktor penting yang membantunya berkembang sebagai penyelidik.
Beliau menghargai peluang yang diberikan untuk mempelajari perisian penyelidikan baharu, mengikuti bengkel penulisan dan penerbitan jurnal berimpak tinggi, serta mendalami kemahiran menyediakan cadangan geran penyelidikan.
Namun, perkara yang paling dekat di hatinya ialah sokongan warga UMPSA ketika keluarganya berdepan situasi getir di Gaza.
Menurutnya, ketika keluarganya terperangkap di Gaza, warga universiti memberikan sokongan emosi dan kewangan bagi membantu usaha membawa keluarganya ke Malaysia.
“Sokongan tersebut menjadi sumber kekuatan ketika saya berhadapan dengan ketidakpastian dan kehilangan insan tersayang akibat peperangan.
“Ketika saya dimaklumkan bahawa saya akan menerima anugerah ini, air mata saya mengalir.
“Saya berasa amat diberkati dan istimewa kerana segala kerja keras, keletihan dan usaha sehingga lewat malam akhirnya dihargai oleh pihak pengurusan tertinggi UMPSA,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyelianya, Dr. Arman Abdullah dan Dr. Nurulhuda Abu Bakar, atas bimbingan serta sokongan akademik, emosi dan moral sepanjang pengajian.
Dr. Yasin juga turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukan hasil usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya turut didukung oleh doa ibu bapa, pengorbanan isteri, sokongan keluarga dan bimbingan para pendidik.
Antara cabaran paling berat yang dilalui Dr. Yasin ialah tempoh selepas 7 Oktober, apabila beliau dimaklumkan bahawa keluarganya telah dipindahkan dan rumah mereka di Gaza musnah.
Keadaan itu memberi kesan mendalam sehingga beliau merasakan kehidupannya seolah-olah terhenti selama lebih lima bulan, sebelum berpeluang bertemu semula dengan keluarganya.
Pengalaman tersebut mengubah perspektifnya terhadap kehidupan, mengajarnya untuk lebih bersyukur dan melihat cabaran dengan penuh ketabahan serta kebergantungan kepada Allah SWT.
Bagi Dr. Yasin, penyelidikan sendiri menuntut kesabaran dan usaha yang berterusan.
Katanya, setiap persoalan memerlukan penerokaan, manakala setiap kesukaran membuka ruang untuk belajar dan menemukan penyelesaian baharu.
Beliau menjadikan keikhlasan dalam setiap usaha, ketabahan mendepani cabaran dan rasa syukur sebagai pegangan hidup, selain percaya bahawa ilmu yang dimiliki perlu dikongsi agar manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai, khususnya golongan yang memerlukan.
Mengorak langkah ke hadapan, Dr. Yasin berhasrat untuk meneruskan kerjaya akademik dan penyelidikan sehingga mencapai cita-cita menjadi profesor serta menubuhkan kumpulan penyelidikannya sendiri.
Beliau turut menyasarkan untuk berada dalam kelompok dua peratus penyelidik terbaik dunia, di samping memperluas sumbangan kepada negara dan rakyat Palestin, khususnya komuniti di Gaza.
Baginya, kejayaan sebenar bukan sekadar pengiktirafan atau pencapaian peribadi, tetapi sejauh mana ilmu dan kepakaran yang dimiliki dapat membantu masyarakat serta membuka peluang kepada generasi akan datang.
“Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain, terutamanya dalam membantu mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Kisah Dr. Yasin Albarqouni mencerminkan bahawa kecemerlangan akademik bukan hanya diukur melalui penerbitan, paten atau anugerah, tetapi turut terserlah melalui ketabahan menghadapi ujian, kesediaan berkongsi ilmu dan keazaman untuk terus menyumbang kepada kemanusiaan.
Melalui pengiktirafan ini, UMPSA bukan sahaja meraikan kejayaan seorang graduan antarabangsa, malah mengetengahkan nilai ilmu, kemanusiaan dan daya tahan yang mampu merentas sempadan negara serta latar belakang kehidupan.
Oleh: WALLID WAHIDI HAMZAH, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 12 views
Reports by: