Skip to main content

Ketabahan membawa kejayaan Tc. Mohd hafeez bangkit di pentas Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA

GAMBANG, 10 November 2025 – Bagi Tc. Mohd Hafeez Johari, kejayaan yang diraikan di pentas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20 bukan sekadar pengakhiran sebuah perjalanan akademik tetapi simbol kebangkitan seorang insan yang tidak pernah mengalah walau diuji dengan dugaan hidup yang berat.

Berusia 42 tahun dan berasal dari Johor Bahru, beliau merupakan graduan Bacelor Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran daripada UMPSA Advanced yang kini berkhidmat sebagai Penolong Jurutera Awam. 

Dalam masa yang sama, beliau turut aktif secara sambilan sebagai Traffic Safety Advisor dan Trainer dalam bidang pengurusan keselamatan jalan raya serta Traffic Management Plan (TMP).

Namun di sebalik senyuman dan jubah konvokesyen yang disarungnya, tersimpan kisah getir yang pernah hampir memadamkan semangatnya untuk terus melangkah. 

Sekitar tahun 2021, Mohd Hafeez disahkan menghidap Generalized Anxiety Disorder (GAD), Depression dan Bipolar Disorder yang memberi kesan besar terhadap kerjaya dan pengajiannya.

Katanya, pada ketika itu, beliau hilang pekerjaan dan terpaksa menangguhkan pengajian. 

“Ia adalah detik paling sukar dalam hidup saya. 

“Namun, saya yakin setiap ujian pasti hadir bersama hikmah. 

“Saya memilih untuk bangkit, bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri dan keluarga,” ujar beliau dengan nada penuh kesyukuran ketika ditemui selepas majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang. 

Ketabahan membawa kejayaan Tc. Mohd hafeez bangkit di pentas Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA

Dalam menghadapi fasa gelap itu, Mohd Hafeez tidak menunggu simpati. 

Beliau terus bangkit mencari rezeki dengan bekerja sambilan sebagai penghantar e-hailing serta menyediakan lukisan teknikal bagi menampung kehidupan. 

Usaha dan doa itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menerima bantuan daripada Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofea Johor, yang membuka peluang untuknya menyambung semula pengajian di UMPSA.

Kini, setelah melalui liku-liku penuh cabaran, Mohd Hafeez berdiri megah di atas pentas konvokesyen, bukan sekadar sebagai seorang graduan, tetapi sebagai simbol ketabahan dan kekuatan jiwa.

Disediakan oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim