Skip to main content

Ketekunan dan semangat juang tinggi kunci kejayaan Raja Salahuddin raih Anugerah Kecemerlangan Akademik MUIP

GAMBANG, 7 November 2025 – Ketekunan dan semangat juang yang tinggi menjadi kunci kejayaan Raja Salahuddin Raja Muda, 25, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20.

Ketekunan dan semangat juang tinggi kunci kejayaan Raja Salahuddin raih Anugerah Kecemerlangan Akademik MUIP

Anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Kimia Industri dengan Kepujian dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dengan memperoleh PNGK 3.73.

Malah, beliau turut tersenarai dalam Anugerah Dekan bagi tujuh semester berturut-turut. 

Di sebalik kejayaan itu, tersimpan kisah ketabahan apabila beliau kehilangan kedua ibu bapa pada usia 15 tahun dan dibesarkan oleh kakak sulungnya.

Kini, beliau berkhidmat sebagai Chemist Assistant di Alchem Ventures Sdn. Bhd.

Raja Salahuddin terlibat dalam analisis rawatan air sisa industri dan pembangunan bahan kimia mesra alam, hasil daripada kepakaran yang diperoleh di UMPSA.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyelianya, Ts. Dr. Siti Noor Hidayah Mutapha dan Ts. Dr. Ahmad Zamani Abdul Halim atas bimbingan dalam penyelidikan penghasilan buih poliuretana daripada minyak masak terpakai.

Ujarnya, projek ini  menguji ketekunan dan kemahiran penyelidikannya. 

“Setiap ujian adalah peluang untuk menjadi lebih kuat. 

“Saya percaya bahawa usaha yang konsisten dan doa yang berterusan pasti membuahkan hasil,” ujar beliau penuh rendah hati.

Raja Salahuddin berhasrat untuk terus menyumbang kepakaran dalam bidang Kimia Industri dan Kelestarian Alam Sekitar, selain mengekalkan hubungan dengan UMPSA sebagai alumni yang aktif memberi kembali kepada universiti.

Disediakan  Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim