Khairul Syahmi, simbol kecekalan anak Sabah di pentas kecemerlangan UMPSA
GAMBANG, 8 November 2025 – Kejayaan anak kelahiran Kota Belud, Sabah, Khairul Syahmi Saidul, menjadi antara detik membanggakan buat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Akademik Anak Sabah bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) ini menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71 serta menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester.
Kini berkhidmat sebagai Design Engineer Consultant di Eramaju Synergy Sdn. Bhd., Khairul Syahmi menyifatkan pengiktirafan ini sebagai hasil daripada doa dan sokongan ibunya, Masinan Perag, yang bekerja sebagai guru serta menjadi penyumbang utama kejayaannya selepas kehilangan ayah tercinta.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran berasaskan amali dan penyelesaian masalah (hands-on dan problem-based learning) di UMPSA menjadikan graduan universiti ini lebih bersedia menghadapi cabaran industri.
“Keunikan UMPSA ialah keseimbangan antara teori dan praktikal, serta penekanan terhadap kemahiran insaniah dan kepimpinan yang sangat membantu dalam dunia kerja,” ujarnya.
Sepanjang pengajian, beliau turut aktif menyertai pelbagai program seperti UMP Library Fun Run, Program Pembersihan Pantai Kempadang, lawatan teknikal ke kilang dan tapak projek, serta Kursus Building Information Modelling (BIM).
Berpegang kepada prinsip hidup ‘usaha tanpa henti akan membawa hasil yang setimpal’, Khairul Syahmi berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara melalui reka bentuk kejuruteraan yang selamat, lestari dan inovatif.
Beliau turut berpesan kepada pelajar lain agar tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, tetapi turut mengasah kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan bagi menjadi insan yang seimbang dan berdaya saing.
Turut menerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Akademik Anak Sabah ialah Soddiki Sylvester Theobold, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 40 views