Skip to main content

Komitmen luar biasa, Dhineskumar pacu Syarikat Logistik ke puncak kejayaan selepas tamat pengajian

GAMBANG, 10 November 2025 – Usahawan dan Pengarah Syarikat dalam sektor perkhidmatan pengangkutan logistik, Dhineskumar a/l Jaya Kumaran, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu. 

Beliau yang baharu sahaja menamatkan pengajian Master Eksekutif dalam Pengurusan Korporat dari UMPSA Advanced kini bersedia untuk membawa syarikatnya ke peringkat seterusnya.

Dhineskumar, yang merupakan pengurus syarikat dalam bidang logistik pengangkutan, menjelaskan bahawa perancangannya selepas tamat belajar adalah untuk membawa perniagaan ke tahap yang lebih tinggi mengikut projek akhirnya. 

Ini menunjukkan komitmennya untuk mengaplikasikan ilmu dan strategi pengurusan korporat yang dipelajari secara langsung dalam operasi syarikat.

Mengakui cabaran yang dihadapi sebagai pelajar sambilan, Dhineskumar berkongsi bahawa cabaran paling besar adalah masalah kekurangan capaian internet (internet lacking).

Katanya, walaupun sibuk menguruskan perniagaan, keluarga dan pengajian, beliau tetap berjaya menamatkan pengajian berkat sokongan padu keluarga. 

"Isteri dan bapa saya adalah tulang belakang utama untuk saya terus belajar dan menyambung pengajian," kata Dhineskumar bapa kepada tiga orang anak ini. 

Dalam pada itu, semangat Dhineskumar untuk menimba ilmu turut mengalir dalam keluarganya. 

Sepupu beliau, Sree Gowri a/p Kalai Seluan turut menuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam program Bacelor Eksekutif dalam Pengurusan Perniagaan. 

Selain fokus dalam dunia perniagaan dan akademik, Dhineskumar juga aktif dalam penglibatan komuniti sebagai ahli Persatuan Komuniti Harvest Green Industrial Park menunjukkan keseimbangan antara kerjaya, pendidikan dan tanggungjawab sosial.

Mengakhiri perkongsiannya, Dhineskumar memberikan satu petikan inspirasi buat tatapan umum terutamanya kepada mereka yang berhasrat untuk menyambung pengajian.

“Pendidikan di UMPSA bukan hanya tentang memperoleh ilmu, tetapi tentang memupuk inovasi, kepimpinan, dan semangat untuk menyumbang secara bermakna kepada dunia,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Mohd Izairey Ali, UMPSA Advanced
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim