Lai Pei Yi dinobat penerima Anugerah Emas Universiti di Konvokesyen Ke-20 UMPSA
GAMBANG, 8 November 2025 – Kecemerlangan akademik dan ketabahan menempuh cabaran menjadikan Lai Pei Yi, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sebagai penerima Anugerah Emas Universiti sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20.
Anak kelahiran Ipoh, Perak ini membuktikan bahawa latar belakang keluarga sederhana bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan.
Beliau berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 serta tersenarai dalam Senarai Dekan bagi setiap semester, selain menerima Anugerah IKON BoBA atas kecemerlangan akademik sepanjang pengajian.
Selain kecemerlangan akademik, Pei Yi turut aktif dalam pelbagai aktiviti universiti termasuk program mobiliti ke Vietnam, Axiata Digital Leadership Program (ADLP 2024) serta penyertaan dalam Datathon dan Hackathon.
Malah, beliau turut meraih pingat perak dan tempat kedua dalam Strategic Business Management Innovation Award (CITREX 2025) bagi kategori staf dan pascasiswazah, serta menerima Anugerah Best Product Award bagi projek tahun akhir.
Kini, beliau melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UMPSA sambil bekerja sebagai Application & Data Management Specialist di Yee Lee Group, Ipoh.
Lai Pei Yi sering menjadikan prinsip hidup ‘things come true when you work hard’ sebagai pegangan dalam setiap langkah.
Ujarnya, beliau percaya bahawa kejayaan bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi hasil daripada usaha konsisten, ketahanan mental dan semangat untuk terus belajar.
“Saya amat bersyukur atas sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan,” katanya.
Pei Yi berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha, berani mencuba perkara baharu dan memanfaatkan setiap peluang yang ditawarkan oleh universiti sebagai persediaan menghadapi dunia sebenar selepas graduasi.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 131 views