Muhammad Akmal Haikal graduan UMPSA kini Jurutera Perisian di Robopreneur raih Anugerah Kecemerlangan PERODUA
GAMBANG, 8 November 2025 – Kejayaan tidak datang dalam sekelip mata, namun hasil kerja keras dan semangat ingin belajar tanpa henti telah membawa Muhammad Akmal Haikal Adnan, 23, untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan PERODUA sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) itu memperoleh pencapaian cemerlang PNGK 3.71, serta tersenarai menerima Anugerah Dekan sebanyak lima kali sepanjang pengajian.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Perisian (Software Engineer) di Robopreneur Sdn. Bhd., turut terlibat secara langsung dalam pembangunan RoboFleet, iaitu sistem pengurusan armada robot autonomi (Autonomous Mobile Robot, AMR) yang digunakan dalam sektor automasi industri.
Menurutnya, pengalaman menjalani latihan industri di Robopreneur membuka peluang untuk beliau meneroka potensi sebenar dalam bidang Robotik dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Latihan industri memberi saya peluang untuk membangunkan penyelesaian dunia sebenar dan belajar terus daripada jurutera profesional.
“Saya berterima kasih kepada UMPSA kerana menyediakan asas teknikal dan kemahiran praktikal yang kukuh,” katanya.
Sepanjang pengajian, Akmal aktif dalam pelbagai projek dan penyelidikan robotik termasuk pembangunan Automatic License Plate Recognition System menggunakan Python dan TensorFlow, serta Pesticide Spraying Robot yang dibina berasaskan Arduino dan sensor automasi.
Bagi beliau, kekuatan UMPSA terletak pada keseimbangan antara teori dan amalan industri.
Katanya, UMPSA bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga keyakinan untuk meneroka idea baharu.
“Tenaga pengajar sangat berdedikasi dan terbuka kepada pandangan pelajar, menjadikan pengalaman belajar di sini sangat bermakna,” tambahnya.
Anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini menzahirkan penghargaan kepada ibunya, Junainah Abu Bakar yang menjadi sumber inspirasi dan kekuatan utama dalam perjalanan akademiknya.
Ujarnya, ibu adalah sebab utama beliau tidak pernah berputus asa.
“Saya juga terinspirasi oleh arwah ayah saya, Allahyarham Adnan Arifin yang sentiasa menekankan pentingnya ilmu dan kerja keras.
“Saya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang AI dan terus menyumbang kepada pembangunan teknologi automasi di Malaysia.
Kejayaan Muhammad Akmal Haikal menjadi bukti bahawa graduan UMPSA bukan sahaja berpengetahuan tinggi, tetapi juga berdaya saing, inovatif dan mampu memimpin perubahan dalam industri teknologi masa depan.
Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
- 63 views