Ong Lee Xuan tembusi industri teknologi Eropah terima Hadiah Kecemerlangan Akademik Ijazah Dual UMPSA–Jerman
PEKAN, 31 Oktober 2026 – Berbekalkan kecemerlangan akademik, kesungguhan menimba ilmu dan keberanian meneroka peluang antarabangsa, Ong Lee Xuan membuktikan bahawa pendidikan berkualiti mampu membuka laluan kepada kerjaya dalam industri teknologi di peringkat global. Graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu merupakan penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Ijazah Dual UMPSA–Jerman bersempena dengan Majlis Konvokesyen Kali Ke-21 (MKK21) UMPSA Tahun 2026.
Lee, 25, berasal dari Muar, Johor, menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian melalui program ijazah dual antara UMPSA dengan Hochschule Karlsruhe (HKA), Jerman, dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.53.
Lebih membanggakan, beliau berjaya memperoleh Anugerah Dekan selama lapan semester berturut-turut sepanjang pengajiannya.
Bagi Lee, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghargaan bermakna terhadap usaha yang dicurahkan sepanjang pengajian, selain menjadi motivasi untuk terus mencapai kejayaan yang lebih besar.
“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka akan terpilih menerima anugerah ini.
“Saya hanya menjalani pengajian seperti biasa dan berusaha melakukan yang terbaik dalam setiap perkara.
“Peluang mengikuti program ijazah dual UMPSA–Jerman merupakan antara pengalaman paling berharga dalam perjalanan akademik saya,” ujarnya.
Program tersebut bukan sahaja memperkukuh asas ilmu kejuruteraan, malah memberinya peluang mempelajari bahasa asing dan menyesuaikan diri dengan persekitaran antarabangsa.
Sepanjang pengajian, beliau memberikan tumpuan kepada bidang robotik, sistem terbenam dan kejuruteraan kawalan.
Beliau turut menghasilkan pelbagai projek teknikal, termasuk pembangunan kenderaan autonomi menggunakan OpenCV dan YOLO, prototaip lengan robotik serta sistem digital dan simulasi berasaskan kejuruteraan.
Pengalaman tersebut membantu memperkukuh kemahiran dalam pengaturcaraan, reka bentuk berbantukan komputer, sistem penderia dan pembangunan penyelesaian teknikal.
Di sebalik kejayaan akademik yang diraih, Lee turut melalui cabaran apabila berdepan beberapa subjek yang sukar difahami dan memerlukan pendekatan pembelajaran berbeza.
Namun, beliau memilih untuk tidak berputus asa, sebaliknya memperkasakan pembelajaran kendiri melalui pembacaan, kursus dalam talian dan perkongsian ilmu bersama rakan-rakan bagi memastikan setiap cabaran dapat diatasi.
Pengalaman itu mengajarnya bahawa kejayaan bukan sekadar bergantung pada kebolehan memahami sesuatu perkara dengan cepat, tetapi turut memerlukan kesungguhan, kesabaran dan kesediaan mencari pendekatan pembelajaran yang berkesan.
Kini, Lee berkhidmat sebagai Field Application Engineer di Eropah dalam bidang Automated Guided Vehicle (AGV), iaitu kenderaan berpandu automatik yang digunakan dalam aplikasi automasi.
Sebelum itu, beliau menjalani latihan dalam Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Grundfos Dosing & Disinfection GmbH pada tahun 2025, dengan pendedahan kepada sistem terbenam dan integrasi sistem.
Beliau turut menjalankan penyelidikan projek tahun akhir berkaitan teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) untuk sistem pam dos.
Pengalaman tersebut membolehkan beliau menghubungkan pengetahuan yang diperoleh di universiti dengan aplikasi teknologi dalam industri.
Asas kejuruteraan mekatronik, pengaturcaraan dan sistem kawalan menjadi antara pengetahuan penting dalam membina kompetensi bagi bidang automasi moden.
Lee berhasrat untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan agar mampu menghasilkan teknologi serta produk yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia.
“Saya masih berada di peringkat awal dalam bidang ini dan mempunyai banyak perkara untuk dipelajari.
“Saya mahu terus menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran untuk mencapai cita-cita tersebut,” katanya.
Selain kecemerlangan akademik, Lee turut aktif dalam kegiatan kokurikulum di UMPSA.
Beliau menyertai UMPSA-HKA Community Club (UHCC), yang menghubungkan pelajar dengan senior yang pernah mengikuti mobiliti di Jerman, sekali gus menyediakan ruang untuk perkongsian pengalaman dan pengetahuan.
Beliau juga aktif dalam Kelab Tae kwan do Titans serta pernah menjadi ahli orkestra universiti sebelum mengikuti mobiliti ke Jerman.
Penglibatan ini memberinya peluang membina persahabatan, memupuk disiplin dan mengembangkan diri di luar bilik kuliah.
Bagi Lee, pengalaman menuntut di UMPSA bukan hanya tentang memperoleh keputusan akademik yang baik, tetapi turut merangkumi pembelajaran daripada kegagalan, kerjasama dengan rakan-rakan dan usaha bangkit apabila berhadapan cabaran.
Beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, Tay Huat Peng dan Ong Chen Kiong, yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan sepanjang perjalanan pendidikannya.
Kejayaan Lee Xuan Ong menerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Ijazah Dual UMPSA–Jerman pada MKK21 UMPSA 2026 menjadi bukti kesungguhannya dalam mengekalkan kecemerlangan akademik sambil membina pengalaman untuk menghadapi dunia pekerjaan.
Daripada Muar ke Eropah, perjalanan beliau membawa mesej bahawa kejayaan dibina melalui usaha yang konsisten, kesediaan mempelajari perkara baharu dan keberanian meneroka peluang di luar zon selesa.
Pengalaman yang diperoleh di UMPSA kini menjadi asas untuk beliau terus berkembang sebagai jurutera dan menyumbang kepada kemajuan teknologi pada masa hadapan.
Oleh: HALIZAN MOHMOOD, PUSAT SAINS MATEMATIK (PSM)
- 12 views
Reports by: