Sambung belajar di UMPSA buka peluang kenaikan pangkat staf Tabung Haji
GAMBANG, 10 November 2025 – Keazaman untuk terus maju dalam kerjaya mendorong Ketua Kewangan Tabung Haji Negeri Sembilan, Syazrina Maria Talib, 47, untuk menyambung pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Beliau yang telah berkhidmat di Tabung Haji selama 27 tahun sebelum ini hanya berkelulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting bermula sebagai Eksekutif Kewangan kemudian dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Kewangan dan selepas lapan tahun berkhidmat dalam jawatan tersebut, beliau ditukarkan ke jawatan Ketua Pemasaran berikutan penyesuaian gred semasa.
Terinspirasi dengan rakan sekerja yang mencadangkan agar beliau menyambung pelajaran selepas kecewa kekal pada gred yang sama walaupun berpengalaman luas, beliau akhirnya memilih untuk mengikuti Bacelor Eksekutif Pengurusan Perniagaan di UMPSA Advanced.
Ujarnya, beliau amat tertarik dengan struktur program yang fleksibel dan sangat sesuai untuk golongan bekerja.
“Saya memilih UMPSA kerana modulnya amat bertepatan dengan keperluan warga kerja yang ingin menambah ilmu tanpa menjejaskan komitmen harian.
“Malah, saya turut menggalakkan rakan-rakan lain untuk menyambung pengajian sebagai langkah meningkatkan pencapaian diri,” katanya.
Hasil dorongan itu, seramai 11 orang staf Tabung Haji turut menyertai pengajian di UMPSA dalam program yang sama.
Mengamalkan moto ‘Adab’ Syazrina Maria sentiasa memastikan kehadiran ke semua kelas sama ada secara bersemuka atau dalam talian.
Di samping itu juga, beliau turut aktif berinteraksi bersama pensyarah bagi memastikan kefahaman terhadap setiap topik.
Sikap hormat dan berdisiplin yang ditunjukkan olehnya ternyata menjadi contoh kepada rakan-rakan sekelas.
Beliau juga sering membantu memberi penerangan dan bimbingan kepada rakan lain semasa menyiapkan tugasan menjadikan proses pembelajaran lebih mudah dan berkesan.
Hari ini menjadi detik bersejarah buat beliau dan 11 lagi staf Tabung Haji apabila mereka bersama-sama meraikan kejayaan masing-masing di Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20, hasil usaha gigih menyeimbangkan antara kerjaya, keluarga, dan pelajaran.
Lebih membanggakan, beliau menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.73 iaitu satu pencapaian yang membuktikan komitmen tinggi dan kesungguhan beliau sepanjang tempoh pengajian.
Katanya, Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT dan sokongan keluarga dan pihak UMPSA Advanced, beliau kini telah kembali ke tanggungjawab asal dengan gred baharu yang lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMPSA Advanced atas peluang pembelajaran yang membuka ruang peningkatan kerjaya dan memperkukuh semangat warga kerja untuk terus menuntut ilmu.
Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
- 165 views