Skip to main content

Tc Mohd Husaini bukti kecekalan dan disiplin bawa pulang Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced 

GAMBANG, 10 November 2025 - Kecekalan, disiplin dan semangat ingin belajar tanpa henti menjadi resipi kejayaan Tc Mohd Husaini Seman graduan Bacelor Eksekutif Pengurusan Operasi Industri yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced (Program Profesional/Eksekutif) bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20.

Anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini membuktikan bahawa semangat dan kesungguhan mampu membuka jalan kejayaan walau berdepan pelbagai cabaran dalam kerjaya dan pembelajaran. 

Perjalanan Mohd Husaini berdepan pelbagai ejekan dan cemuhan, dari cabaran hinggalah kepada kekangan kewangan sepanjang pengajian di UMPSA. 

Mohd Husaini turut menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada isterinya sebagai penyumbang terbesar dalam kejayaannya pada kali ini.

Tc Mohd Husaini bukti kecekalan dan disiplin bawa pulang Anugerah Kecemerlangan UMPSA Advanced 

Berpegang pada prinsip hidup ‘selalu ingat asal-usul; di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’, Mohd Husaini menegaskan bahawa segala kejayaan yang dikecapi adalah kurniaan Allah SWT.

Berpengalaman luas dalam bidang operasi rel dan pengurusan kualiti, Mohd Husaini kini mengetuai Unit Sokongan Teknikal, QA LRT Aliran Monorel, setelah diamanahkan untuk kepakaran dan pengetahuan mendalamnya dalam operasi rel, peraturan keselamatan serta sistem pengurusan kualiti.

Beliau turut mempunyai rekod pencapaian pekerjaan yang terbukti cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan projek (Projek LRT3), Operasi Tren Mekah Metro, pengoptimuman proses Preventive Maintenance (PM) dan Corrective Maintenance (CM) serta koordinasi kerja antara jabatan dalam industri pengangkutan rel, pengeluaran automotif dan pembuatan.

Kini, selepas menamatkan pengajian di UMPSA, Mohd Husaini berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui program Doctorate of Professional Practices. 

Katanya, beliau juga bercita-cita untuk menjadi pengajar bertauliah atau pakar perunding dalam industri pengangkutan, khususnya bidang Rel (Railways).

Disediakan Oleh: Mohammad Syafiq Syahmi Suhaimi, UMPSA Advanced

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim