Terapkan prinsip hidup cemerlang, Sonia Devi a/p Dharmalingam terima Anugerah Srikandi Matahari UMPSA
GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Potensi luar biasa, keikhlasan, kerjasama, kesabaran dan pengalaman hidup menjadi kunci kejayaan buat Sonia Devi a/p Dharmalingam, 23, yang merupakan penerima Anugerah Srikandi Matahari pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-19.
Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak menganggap pelbagai rintangan yang dihadapinya sepanjang tempoh pembelajaran sebagai satu memori yang akan dikenang sepanjang hidupnya.
Katanya, beliau percaya bahawa setiap individu mempunyai potensi yang luar biasa.
“Oleh itu saya berusaha untuk mengembangkan diri secara berterusan, baik dari segi intelektual, emosi mahupun spiritual.
“Saya yakin bahawa dengan memperkasakan diri, saya dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat,” ujarnya.
Sonia Devi a/p Dharmalingam juga sempat berkongsikan pengalaman paling berharga dan tidak boleh dilupakan sepanjang masa pengajiannya adalah apabila beliau terpilih sebagai salah seorang daripada 24 penerima geran Malaysia untuk menghadiri Persidangan Tahunan dan Ekspo ISPE 2024.
Katanya, peluang ini tercetus semasa beliau menjalani latihan industri.
“Pengalaman ini bukan sahaja telah memperluas pengetahuan saya dalam bidang Kejuruteraan tetapi juga telah memberikan saya keyakinan diri yang tinggi.
“Saya turut berpeluang untuk berinteraksi dengan para profesional terkemuka, membentangkan hasil penyelidikan saya dan belajar daripada pengalaman mereka.
“Pengalaman ini telah membuka mata saya terhadap peluang-peluang yang luas dalam industri peranti perubatan dan farmaseutikal.” katanya.
Semasa di kampus, beliau juga turut menyandang beberapa jawatan dalam persatuan dan kelab seperti Skuad Yayasan UMPSA dan EXCO Rekreasi PEKA 3.
Sonia Devi a/p Dharmalingam yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian di UMPSA itu kini bertugas sebagai Jurutera Pembuatan di Boston Scientific, Pulau Pinang.
Tambah anak kepada pasangan Malini a/p Ramachandran, 51 dan Dharmalingam a/l Vyapury, 54 itu, beliau sudah menetapkan sasaran untuk berjaya cemerlang dalam pelajaran.
Beliau juga amat gembira apabila berjaya memperoleh Anugerah Dekan 7 Semester berturut-turut.
Jelas beliau lagi, abangnya juga banyak memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaannya.
“Beliau menjadi sumber sokongan moral dan praktikal semasa saya menghadapi tekanan pelajaran.
“Malah, beliau juga telah menunjukkan kepada saya kaedah-kaedah belajar yang efektif dan membantu saya untuk menyeimbangkan kehidupan akademik dengan aktiviti kokurikulum.” ujarnya lagi.
Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
- 76 views